Tag: PRU-15

  • Bersatu keluar PH bukan tindakan pengkhianat : Rina

    Bersatu keluar PH bukan tindakan pengkhianat : Rina

    BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) bukan satu tindakan pengkhianat, tegas Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Sepang itu menegaskan, langkah itu diambil kerana mahu menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

    Dakwanya, ketika PH menjadi kerajaan, ia dilihat tidak mesra kakitangan kerajaan dan rakyat berbilang kaum, sekali gus menyebabkan Bersatu turut terpalit dengan persepsi berkenaan.

    “Kerana itulah, Bersatu ini, dalam tempoh 22 bulan, bukan sahaja tidak mesra kakitangan kerajaan, juga tidak mesra antara kaum sesama kita.

    “Pilihan raya kita lima tahun sekali, tetapi dalam setahun, kita sambut pelbagai hari yang ada cuti umum. Kerana apa? Kerana kita di Malaysia masyarakatnya berbilang kaum.

    “Keluar PH ini bukan kerana (kita) pengkhianat, tetapi kerana nak menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Kalau kita tak keluar, mungkin kita tak duduk sepentas seperti hari ini.

    “Ada banyak rahmatnya di sebalik apa yang berlaku,” katanya semasa Ceramah Pentas PRU-15 PN Kuala Langat malam tadi.

    Dalam pada itu, Rina berkata, beliau memilih untuk bertanding di Sepang kerana berasal dari kawasan Parlimen itu dan sedia berkhidmat untuk pengundi di situ.

    “Saya sebelum ini adalah Ahli Parlimen Titiwangsa. Ada yang tanya, lari dari Parlimen Titiwangsa? Ini saya nak cakap, saya asal Sepang.

    “Ibu saya lahir di Sepang, datuk saya imam Masjid Salak Tinggi. Memang asal Sepang.

    “Sebab itu saya menawarkan diri di Sepang. Saya harap semua dapat bantu saya untuk saya terus bantu rakyat Sepang,” ujarnya lapor portal BeritaBersatu.

  • PRU-15: Kempen secara sihat, jangan ikut emosi

    PRU-15: Kempen secara sihat, jangan ikut emosi

    AHLI serta penyokong Perikatan Nasional (PN) diminta berkempen secara sihat dan tidak mengikut emosi, kata Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais.

    Beliau berkata, laporan kes bahan kempen calon dirosakkan di beberapa lokasi di ibu negara tidak akan berlaku jika penyokong calon bertanding bertenang dan berkempen dengan aman.

    “Saya sering mengingatkan ahli-ahli parti termasuk penyokong PN sendiri supaya tidak melakukan provokasi ataupun apa sahaja yang boleh merencatkan suasana berkempen,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden merosakkan bahan kempen yang berlaku di beberapa lokasi di ibu negara sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Setakat ini saya tidak menerima apa-apa aduan berkenaan bahan kempen PN yang dirosakkan di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Bilik Gerakan PN Wilayah Persekutuan berkata, insiden merosakkan bahan kempen hanya akan menggagalkan negara meraikan demokrasi terpimpin.

    “Jangan lakukan sesuatu yang bukan budaya kita, berlainan ideologi bukan bermaksud bermusuh buat selama-selamanya, kita ada agama dan setiap tindakan itu akan memberi contoh kepada generasi akan datang,” jelas beliau, lapor portal BeritaBersatu.

    Pada Selasa, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan pelaku yang merosakkan bendera serta poster BN di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku di persimpangan Jalan Athinahpan dan jambatan Jalan Burhanuddin Helmi 1.

    Selain itu, tiga poster dan gegantung calon PH Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah dirosakkan individu tidak bertanggungjawab. Dalam kejadian itu, bahan kempen yang digantung di tepi jalan telah dikoyak dan digunting.

  • Kad Peduli Sihat antara lima fokus PN Batu

    Kad Peduli Sihat antara lima fokus PN Batu

    PERIKATAN Nasional (PN) Batu akan memperkenalkan Kad Peduli Sihat yang memberi akses dan manfaat kepada kesihatan, kenderaan awam, kebajikan serta perlindungan sosial.

    Calon PN Batu, Azhar Yahya berkata, perkara tersebut antara lima manifesto yang akan difokuskan selain aspek pembangunan belia sebagai peneraju, melindungi kumpulan rentan, memperuntuk RM1 bilion untuk dana makanan meliputi projek sekuriti makanan, program pembangunan modal insan berkonsep kerohanian dan keagamaan.

    Menurutnya, itu adalah lima janji terbaik yang realistik, sesuai dan boleh dilaksanakan terus jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Kami mahu jadikan belia sebagai peneraju termasuk melantik senator dalam kalangan belia. Selain itu, memberi diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk graduan kelas kedua atas serta menyediakan skim perumahan mikro belia mampu sewa.

    “Bagi melindungi kumpulan rentan, kami akan mempertingkatkan perkhidmatan kepada warga emas, wanita, orang kurang upaya (OKU) melalui jabatan dan latihan kemahiran,” katanya pada Program Munajat dan Malam bersama calon PN Parlimen Batu di Markas Pas Batu, One Maxim di Kuala Lumpur, semalam.

    Beliau yang kali kedua menjadi calon bagi Parlimen Batu memberi keyakinan lebih bersedia dan mampu menang dalam pertembungan 10 penjuru pada PRU15, 19 November depan.

    Jelas anak jati Sentul itu, pengalaman 2018 sebagai calon Pas dan memperoleh 10,000 undi dalam tempoh persediaan kurang tiga bulan menunjukkan parti itu mempunyai akar umbi yang kuat.

    “Jadi selepas diberikan kepercayaan menjadi calon sekali lagi pada PRU15, walaupun komposisi itu agak sukar kerana bertanding di kawasan majoriti bukan Muslim, namun saya anggap itu sebagai cabaran.

    “Di bawah kerajaan PN, Pas diberi ruang dan peluang untuk mainkan peranan yang lebih besar kepada masyarakat menerusi lantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan kemasyarakatan. Peluang itu kami gunakan sebaiknya untuk belajar dan mendekati komuniti,” katanya.

    Selain itu katanya, persaingan 10 kerusi itu juga memberikan kelebihan untuk Pas lebih menonjol berbanding calon-calon lain yang dilihat telah pecah undi.

    “Jika saya menang, ini memberikan peluang kepada parti Islam untuk mentadbir dalam keadaan majmuk yang mana masyarakat di sini adalah 47 peratus Melayu sementara bakinya bukan Islam.

    “Batu ini ibarat satelit yang menjadi tempat tumpuan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ia sangat sesuai dijadikan contoh kepada Malaysia Sejahtera,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.

  • PRU-15: PN jauh di depan raih sokongan pengundi

    PRU-15: PN jauh di depan raih sokongan pengundi

    KAJIAN risikan terbaharu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) sudah jauh ke hadapan meninggalkan parti lawan untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan itu berdasarkan kepada manifesto ditawarkan PN yang dilihat jauh lebih baik dan prihatin rakyat secara keseluruhannya.

    Menurut beliau, rakyat juga melihat calon PN ditampilkan pada PRU15 terdiri dalam kalangan mereka yang tidak terpalit dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

    “Terbukti dalam tempoh dua tahun PN diberi tanggungjawab memerintah negara, kita telah berjaya mengangkat martabat umat dan rakyat.

    “Mereka (rakyat) ingin melihat PN kembali ke Putrajaya untuk meneruskan usaha ini dan saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Insya-ALLAH PN akan dinobatkan sebagai kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap di Pentas PRU15 PN Kuala Langat di Kampung Kanchong Darat di sini pada malam Rabu.

    Mohamed Azmin yang juga calon PN Parlimen Gombak memberitahu, manifesto yang dilancarkan PN tiga hari lalu itu memberikan pelbagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

    Jelas beliau, PN telah menyediakan tawaran besar dalam sektor ekonomi, pendidikan dan juga pelbagai inisiatif lain sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan parti itu kepada umat dan rakyat Malaysia.

    Beliau memberitahu, PN mengangkat tema besar iaitu prihatin, bersih dan stabil, namun ada rakyat mungkin keliru dengan manifesto yang turut ditawarkan parti lain.

    “Bagi saya jawapannya mudah kerana pendirian yang diambil PN tidak sama dengan pendirian di sebelah sana.

    “Mereka bicara soal bersih, reformasi tetapi lihat sahaja ada dalam kalangan calon mereka sedang turun naik mahkamah, bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

    “Malah mereka tidak langsung berasa malu untuk mengemukakan kertas penamaan calon pada 5 November lalu,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.

    Sehubungan itu, Mohamed Azmin menjelaskan, parti lawan tidak mempunyai komitmen dan kesungguhan untuk membentuk sebuah kerajaan bersih dan prihatin rakyat berbanding dengan apa ditawarkan PN pada masa ini.

    Mohamed Azmin berkata, rakyat juga diingatkan bijak dalam memilih pemimpin dan sudah tentu calon dikemukakan PN terdiri dalam kalangan mereka bersih daripada gejala rasuah serta tidak pernah didakwa di mahkamah.

    “Walaupun tempoh pentadbiran PN singkat, inilah yang harus diberikan pertimbangan (pengundi) kerana pemimpin PN sewaktu memerintah negara mempunyai wawasan jauh dan berfikiran panjang serta bergabung tenaga untuk membentuk kerajaan kuat, bersih dan stabil demi umat dan rakyat kesemuanya,” jelas beliau.

  • Rosol hormat Idris sebagai ‘sifu’ politik, anggap tuduhan tiada modal

    Rosol hormat Idris sebagai ‘sifu’ politik, anggap tuduhan tiada modal

    PENYANDANG kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan beliau tetap menghormati Tan Sri Idris Jusoh di sebalik kenyataan bekas Ahli Parlimen Besut itu yang meminta orang Pas lebih baik berhati-hati dengan beliau.

    Rosol yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu menyifatkan tuduhan bekas Menteri Besar Terengganu itu kerana tiada modal kempen untuk menyerang keperibadiannya.

    “Saya anggap itu provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan pimpinan dan penyokong Pas,” katanya.

    Menurut Rosol, beliau tetap menghormati Idris sebagai ‘sifu’ yang banyak mengajarnya untuk menjadi pemimpin dan menguruskan kerjaya di pentas politik.

    Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu memaklumkan, Idris juga antara individu yang maklum dan merestui penghijrahannya dari UMNO untuk menyertai Bersatu.

    “Saya tetap hormat beliau sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik, namun untuk mengatakan saya berjiwa UMNO walaupun bersama Pas (komponen PN), itu hanyalah satu provokasi politik.

    “Sekarang saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya, sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek. Setakat ini Alhamdulillah sejak menceburkan diri dalam politik pada 1999, saya tidak terpalit sebarang isu seumpamanya.

    “Jadi parti lawan terpaksa mencari-cari isu untuk melemahkan saya,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh kepemimpinan dan jentera parti yang memberikan sokongan kuat bagi memastikan kemenangan PN pada PRU-15.

    Selasa lalu, portal memetik Idris meminta orang Pas lebih baik berhati-hati dengan Rosol yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha UMNO Terengganu kerana Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa UMNO.

    Atas sebab itu, Idris yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2004 hingga 2008 melihat PN sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 ditandingi bekas EXCO kerajaan negeri di bawah pentadbiran UMNO itu.

    Mengenai perkembangan kempennya, Rosol berkata, sejak bermula kempen Sabtu lalu, beliau sudah menemui 50 peratus pengundi di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu, iaitu Ajil, Kuala Berang, Manir dan Telemong.

    “Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen, termasuk ke lubuk UMNO sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, insya-Allah. Saya nampak akar umbi menyokong kesepaduan dan menunjukkan kebersamaan yang jitu terhadap PN.

    “Sokongan dan semangat ditunjukkan akar umbi termasuk yang di atas pagar dan tidak berparti, mereka semua mengharapkan perpaduan dan kesatuan parti-parti Melayu. Itu mesej yang saya terima setakat ini.

    Rosol satu-satunya calon Bersatu mewakili PN bertanding kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15 menggunakan lambang Pas, manakala tujuh lagi kerusi Parlimen ditandingi wakil Pas.

  • ‘Saya tak gilakan jawatan Perdana Menteri’ – Muhyiddin

    ‘Saya tak gilakan jawatan Perdana Menteri’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau bukannya seorang yang gilakan jawatan Perdana Menteri kerana pernah memegang jawatan itu sebelum ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau juga boleh menjadi Perdana Menteri buat kali kedua sebagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang merupakan Perdana Menteri Kelapan negara berkata, pencalonannya sebagai Perdana Menteri PN dibuat dan dipersetujui oleh pimpinan tertinggi dan ahli gabungan itu.

    “Saya rayu pengundi Pagoh tunai tanggungjawab dan dokong Perikatan Nasional, mana tahu orang Pagoh jadi Perdana Menteri.

    “Cerita pasal jawatan Perdana Menteri ini bukan saya gila jawatan, saya pernah duduk di situ. Tun M pernah pusing balik dua kali (pegang jawatan), saya pun boleh juga,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa ceramah kelompok bersama masyarakat PDM Bukit Pasir, PDM Craigilea dan Kampung Paya Panjang, Pagoh.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN akan membentuk sebuah jawatankuasa bebas dalam memastikan gabungan politik itu sudah menunaikan janji yang ditawarkan kepada rakyat atau belum jika diberi mandat mentadbir negara.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, jawatankuasa itu akan bertindak seperti kad laporan yang menjadi pelaporan petunjuk prestasi.

    Beliau turut mempersoalkan keberanian parti lawan dalam membuat perkara serupa.

    “Sebabtu masa UMNO, Barisan Nasional dahulu mereka janji nak bina sejuta rumah (rumah mampu milik) tapi kurang 200,000 dia buat. Itu masalah kalau kita tak teliti, kita akan dipermainkan pihak parti di sebelah sana,” katanya.

  • Gelombang sokongan PN memuncak, tsunami tolak BN, PH bakal melanda: Muhyiddin

    Gelombang sokongan PN memuncak, tsunami tolak BN, PH bakal melanda: Muhyiddin

    GELOMBANG sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya berbaki sembilan hari lagi.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat sendiri gelombang penolakan itu kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen di Kedah dan Perlis sejak dua hari lalu.

    Menurutnya, beliau menjangkakan negeri utara tanah air itu akan dapat ditawan dalam PRU-15 ini.

    “Saya jangka sekarang ni dah ada di Melaka pun ada gelombang walaupun masih sedikit… saya pergi ke Perlis, Kedah. Sokongannya hebat (apa lagi)dengan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

    “Bila Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional di Parlimen Arau, porak-peranda UMNO dibuatnya. (Sebab itu) saya yakin Perlis akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok bersama penduduk Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Aungai Terap, di Pagoh, malam ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berharap tsunami yang berlaku di Perlis akan terus melanda sehingga ke Johor.

    “Mudah-mudahan (gelombang besar) itu mampu menghanyutkan segala sampah-sarap amalan rasuah dan salah guna kuasa, agar Perikatan Nasional dapat membentuk kerajaan yang berintegriti.

    “Saya nampak rasa-rasa tumbang banyak kerusi kat sana (Perlis). Jadi untuk gelombang utara dia akan turun sampai ke Selatan… kita harap dan berdoa dalam tempoh dua tiga hari ini (gelombang) akan jadi terus membesar.

    “Sebagaimana pada 2018 berlaku tsunami dan kali ini tsunami yang lebih besar untuk menghumbankan UMNO (BN) dan PH ke Laut China Selatan.

    “Moga misi dan visi kita untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) tercapai,” katanya lagi.

    Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa pengundi supaya beramai-ramai keluar mengundi memilih Perikatan Nasional kerana peratusan undi yang rendah menyebabkan BN berpeluang menang.

  • Muhyiddin ajak rakyat ubah perkara mungkar agar kehidupan lebih baik

    Muhyiddin ajak rakyat ubah perkara mungkar agar kehidupan lebih baik

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat terutamanya umat Islam diajak mengubah perkara yang mungkar atau perkara mengingkari perintah Tuhan agar kehidupan mereka menjadi lebih baik.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, sebagai seorang Muslim, mereka dituntut supaya tidak berdiam diri apabila melihat kemungkaran berlaku.

    Menurutnya, beliau sendiri akan menentang setiap perkara yang salah kerana ia adalah prinsipnya.

    “Segala perkara yang salah saya akan tentang. Ini adalah prinsip saya. Apatah lagi sebagai seorang Muslim, kita dituntut supaya tidak berdiam diri apabila melihat kemungkaran berlaku.

    “Ubahlah yang mungkar itu supaya kehidupan kita menjadi lebih baik,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah lalui pelbagai rintangan dalam perjuangan menentang kemungkaran semata-mata untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih.

    Malah tegasnya, beliau yakin rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bersih dengan pemimpinnya bebas rasuah.

    “Saya yakin semua dari kita mahukan Kerajaan yang bersih. Kerajaan yang dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bebas rasuah.

    “Kami di Perikatan Nasional memberi komitmen untuk ini. Kerajaan Bersih. Selain dari Kerajaan Prihatin dan Kerajaan Stabil,” tambahnya.

  • Tak dicalonkan bertanding PRU-15, ini perkara dilakukan Nik Abduh

    Tak dicalonkan bertanding PRU-15, ini perkara dilakukan Nik Abduh

    PENYANDANG kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak dicalonkan semula oleh Pas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) giat membantu calon parti yang menggantikannya di kawasan itu, Mohd Syahir Che Sulaiman berkempen.

    Beliau yang merupakan anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara nama besar pemimpin parti itu yang tidak dicalonkan semula.

    Turut digugurkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) adalah penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kemudian dipilih Barisan Nasional (BN) sebagai calon langsungnya bertanding mempertahankan kerusi sama.

    Sejak penamaan calon pada Sabtu lalu, anak bekas Menteri Besar Kelantan itu dirakam bergerak seiring dengan Mohd Syahir untuk memberi sokongan walaupun nama beliau tidak tercalon pada PRU kali ini.

    “Sepanjang berkempen, beliau juga bersama-sama dengan saya turun padang untuk berjumpa pengundi serta melawat jentera Pas kawasan.

    “Saya berasa cukup bertuah apabila anak bekas Menteri Besar Kelantan itu menyatakan komitmen untuk membantu sepanjang tempoh berkempen,” kata Mohd Syahir pada sidang media di Pejabat Penerangan Pas Kelantan, di sini hari ini.

    Sebelum ini, ada pihak menjangkakan Nik Mohamad Abduh mungkin tetap bertanding PRU-15 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok diwakilinya walaupun tidak mewakili Pas, namun bukan itu yang berlaku.

    Media melaporkan, Pas menyifatkan tindakan parti itu tidak mencalonkan semula Nik Mohamad Abduh bagi mempertahkan kerusi Parlimen Bachok, bukan untuk mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz.

    Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut menegaskan Nik Mohamad Abduh sebaliknya secara sukarela memberi laluan kepada calon muka baharu.

    Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, bagi beliau, bukan mudah untuk menandingi aura legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz yang kini dibawa Nik Mohamad Abduh.

    “Walaupun sedikit gentar, saya perlu menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan memastikan kemenangan PAS pada PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik Presiden Pas itu memperkenalkan konsep 5K, iaitu kefahaman agama, kecemerlangan akademik, keusahawanan dalam kalangan belia, keberhasilan pertanian dan keunikan pelancongan khususnya di daerah Bachok.

  • Masyarakat Siam di Kelantan semakin terbuka terima PN

    Masyarakat Siam di Kelantan semakin terbuka terima PN

    MASYARAKAT Siam di Kelantan yang sebelum ini menjadi penyokong setia parti Barisan Nasional (BN), kini mula menunjukkan perubahan dalam kalangan mereka yang dilihat semakin terbuka menerima Perikatan Nasional (PN).

    Ia terbukti apabila baru-baru ini, ketua-ketua komuniti Siam menghadiri perjumpaan dengan calon PN Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.

    Mumtaz berkata, berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang, sudah ada perubahan dalam kalangan masyarakat Siam yang semakin menunjukkan potensi menyokong Pas dan PN.

    “Kita melihat mereka semakin berminat bersama PN. Mereka mahu gandingan yang mantap di peringkat negeri dan parlimen demi kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU-15 PAS Kelantan, semalam, lapor Harakah Daily.

    Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri menegaskan bahawa perkembangan positif yang berlaku itu memperlihatkan ada gelombang PN di Tumpat sekarang.

    “Mereka tertarik dengan slogan yang dibawa PN iaitu Prihatin-Bersih-Stabil (BEST) yang dilihat berbeza dengan BN sebelum ini,” tambah beliau.

    Mengulas lanjut, ujar Mumtaz, masyarakat Siam sangat terbuka dan akan melihat siapakah yang boleh tawarkan kepada mereka pembangunan dan kestabilan.

    “Kita melihat ini satu perkembangan baharu, yang mana masyarakat Siam di Kelantan mudah menerima PN walaupun mereka mengenali BN sejak sekian lama,” katanya.