Tag: Pru-15 musim banjir

  • Warganet kecewa PRU-15 musim tengkujuh, dakwa bebankan rakyat

    Warganet kecewa PRU-15 musim tengkujuh, dakwa bebankan rakyat

    PEMBUBARAN Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengundang kekecewaan rakyat yang berang dengan tempoh pelaksanaannya yang berlaku semasa musim tengkujuh.

    Tinjauan Warta Rakyat dalam ruangan komen berkaitan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, kebanyakan warganet menyifatkan pembubaran Parlimen ketika ini bukan setakat memenuhi impian pemimpin politik gila kuasa malah bakal membebankan rakyat.

    Seorang pengguna Facebook, Arechik Imma berkata, demi kuasa, kerajaan sanggup membebankan rakyat yang berkemungkinan besar mengalami bencana banjir.

    “Maka saya juga bubar UMNO dan BN (Barisan Nasional) dari kamus hidup saya.Parti yang sangat tak berhati perut.

    “Demi kuasa sanggup membebankan rakyat yang berkemungkinan besar menghadapi bencana banjir,” katanya.

    Bagi Saihatul Dewiah Kamsiran, semasa banjir adalah masa bagi penduduk terjejas menyelamatkan harta benda mereka.

    Katanya, ini sekali gus menyukarkan mereka keluar mengundi.

    “Maaf lah… kalau banjir memang tak pergi mengundi lah.Mangsa banjir sibuk nak selamatkan harta benda,” katanya.

    Senada dengan pendapat Saihatul Dewiah, Aziz Shamsudin menegaskan ramai pengundi tidak dapat keluar mengundi jika PRU-15 dilaksanakan pada musim tengkujuh.

    Malah dakwanya, pada tempoh itu dibimbangi berlakunya perbuatan khianat termasuk gangguan bekalan elektrik yang memungkinkan kewujudan pengundi hantu.

    “Ada tempat terpadam lampu dewan, kira semula,tong tidak bertambah,tapi menang, rupanya dah siap undi hantu dalam karung sampah,masa lampu terpadam,masa yang sama karung sampah dibawa,” dakwanya.

    Sementara itu, pengguna Facebook Sczu Yed mendakwa PRU-15 semasa musim tengkujuh menyusahkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang baru sahaja memulakan pengajian minggu lalu.

    “Tak kan ibu-bapa nak suruh diorang (anak mereka) balik mengundi.Siapa nak tanggung kos,” tegasnya.

  • PRU-15 ketika banjir beri peluang manipulasi kiraan undi

    PRU-15 ketika banjir beri peluang manipulasi kiraan undi

    KEPUTUSAN mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada musim tengkujuh memberi peluang kepada pihak tertentu memanipulasi kiraan undi selain membataskan hak pengundi keluar mengundi.

    Lapot portal BeritaBersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata banyak perkara boleh terjadi ketika cuaca buruk berlaku terutama kertas undi rosak serta peti undi hilang, sekali gus memberi kesempatan pihak tertentu menang.

    Malah katanya, sekiranya berlaku banjir, kemungkinan ramai pengundi tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang diingini apabila tidak dapat pulang, malah ada yang terputus hubungan jalan untuk keluar mengundi.

    Lebih teruk lagi, katanya, kebanyakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) mungkin akan ditenggelami banjir terutama kawasan yang mudah dilanda bencana itu.

    “Kesan daripada ini, bukan saja peratusan mengundi rendah, malah mana-mana parti yang menang sebenarnya tidak dapat mandat sepenuhnya oleh rakyat.

    “Akhirnya, selepas PRU15, kerajaan yang ditubuhkan tidak stabil, menyebabkan ramai rakyat yang selayaknya keluar mengundi tidak dapat mengundi akan mengadakan protes.

    “Bagi BERSATU, mengadakan PRU15 dalam keadaan ‘huru-hara’ (cuaca buruk) adalah sesuatu yang tidak sihat kerana sudah pasti hak mengundi ramai rakyat tidak dipenuhi,” katanya, baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, PRU adalah satu kunci terbesar apabila Malaysia adalah negara demokrasi berparlimen.

    Katanya, Perdana Menteri seharusnya memikirkan masa sesuai untuk mengadakan PRU, bukannya tergopoh-gapah menyebabkan hak memilih rakyat hilang.

    “Walaupun isu memanupulasi undi jarang berlaku, tapi risiko cukup tinggi untuk berlaku ketika PRU15 diadakan dalam keadaan banjir, ribut, serta hujan lebat.

    “Kita kena ambil kira perkara ini dan BERSATU menolak sekeras-kerasnya untuk mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh,” katanya.

  • Rafizi lancar petisyen bantah PRU-15 semasa banjir

    Rafizi lancar petisyen bantah PRU-15 semasa banjir

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli semalam melancarkan petisyen bagi membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan semasa musim banjir.

    Memetik laporan Sinar Harian, Rafizi menjelaskan hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat jelas bahawa mereka mahukan ahli politik untuk menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir dan bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.

    “Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.

    “Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.

    Tambah laporan itu, Rafizi memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat dari UMNO untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

    “Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU-15 akan diadakan semasa musim banjir. Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini.

    “Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk,” ujarnya.

    Tambah beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

    “Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU-15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

    “Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya.

    Menurutnya, PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 bilion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya.

    “Sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

    “Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya malahan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir,” ujarnya lagi.

  • Mangsa tak setuju PRU-15 diadakan pada musim banjir

    Mangsa tak setuju PRU-15 diadakan pada musim banjir

    MANGSA-mangsa banjir di negara ini tidak bersetuju dengan desakan kem Presiden UMNO, atuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini juga sekalipun berdepan dengan bencana banjir.

    Bagi Abdul Rahman Said, 71 yang kehilangan isteri, menantu dan anak berusia 14 tahun dalam banjir di Iboi, Kedah bulan Julai lalu berkata, tindakan mengadakan pilihan raya itu dilihat pada musim banjir dilihat tergesa-gesa.

    “Kalau berlaku banjir, pengundi tak fikir hendak pergi mengundi.

    “Keselamatan dan nyawa lebih penting,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Minggu lalu Zahid berkata Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir jika berlaku bencana itu ketika kempen PRU-15, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

    Sambil menyifatkan tindakan pihak yang mendesak PRU15 sebagai kalut, Abdul Rahman berkata banjir yang berlaku pada hujung tahun bukan berskala kecil, apatah lagi di tempat seperti Pantai Timur.

    Katanya, dia dan mangsa-mangsa banjir lain di Iboi baru menyerahkan memorandum kepada perdana menteri pada 1 September lepas bagi menuntut sedikit pampasan.

    Menurut Rahman, pampasan tersebut bagi mengisi barangan keperluan dalam rumah yang bakal mereka terima.

    “Rumah baru yang dijanjikan pun ada yang sedang dibina, ada yang belum dibina,” katanya.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengumumkan pembubaran Parlimen akan diadakan “sedikit masa” lagi.

    Rata-rata pemerhati beranggapan Parlimen mungkin dibubarkan selepas pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.

    Penggal PRU14 lalu sepatutnya tamat pada Julai tahun depan.

    Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan PRU15 akan diadakan dalam keadaan banjir kilat dan ribut petir jika diadakan pada hujung tahun ini, akibat musim peralihan monsun.

    Sementara itu, Safarina Napiah, 40, yang turut menjadi mangsa banjir di Iboi berkata, dia tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengadakan pilihan raya ketika bencana.

    “Keadaan hari itu pun jadi kucar-kacir, apatah lagi kalau ada pilihan raya.

    “Saya sendiri masih dalam proses membaiki rumah selepas kejadian tempoh hari,” katanya yang kehilangan hampir 100% harta benda selepas banjir tersebut.

    Menurut Safarina, dia menggunakan duit sendiri untuk membaiki rumahnya.

    Menurut wanita itu, dia dan keluarga tidak bersemangat untuk merasai kehangatan kempen pilihan raya yang kebiasaannya sengit dan meriah.

    Mazlan Ali, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata Ismail kelihatan mengiakan gambaran bahawa PRU15 akan diadakan hujung tahun ini.

    “Adakah Ismail akan bubarkan juga? saya fikir ia akan memberi backfire kepada kerajaan kerana Umno kelihatan mengutamakan parti daripada rakyat.

    “Kalau betul-betul berlaku banjir semasa PRU, ramai rakyat tidak akan menyertai proses pilihan raya,” tambahnya.

    Mazlan berkata, rutin harian rakyat akan terganggu jika berlaku banjir dan sukar untuk mereka menumpukan kepada proses pilihan raya.

    Sebarang keputusan kerajaan katanya wajar mengambil kira faktor-faktor tersebut. Isu-isu lain turut tidak memihak kepada kerajaan.

    “Orang akan marah jika pilihan raya diadakan pada musim banjir,” tambahnya.

    Bagi Rahman, dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri setelah kematian ahli keluarga tercinta. Dia tidak lagi pergi ke kebun getah miliknya, mengenangkan kebun itu diusahakan oleh dia dan isteri.

    “Sekarang, tiap kali saya lalu kebun itu, saya terkenangkan dia,” katanya.