Tag: PRU

  • ‘Wallahi… sehari selepas PRU, Tok Mat datang ke rumah saya’ – Hamzah

    ‘Wallahi… sehari selepas PRU, Tok Mat datang ke rumah saya’ – Hamzah

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa tidak bercakap jujur apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas yang menjadi antara alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, ia kerana Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya sebelum ini.

    “Saya wallahi nak cerita… sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), beliau (Mohamad) ada datang ke rumah saya.

    “Apa yang disampaikan kepada saya ialah: ‘Brother, saya hendak maklumkan sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang’.

    “Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi pertemuan dan kata-kata itu.

    “Namun, apabila beliau kini menyatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik… apahal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini, mereka sentiasa bercakap pusing-pusing,” dakwanya, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di Tumpat, hari ini.

    Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Takiyuddin.

    Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam, berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

    Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa PAS tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.

    Mengulas lanjut, Hamzah mengaku terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada perhimpunan agung parti itu, semalam.

    “Jika mereka menyatakan DAP lebih baik daripada Pas, ini bermakna UMNO sudah tidak betul… mana boleh DAP lebih baik (daripada PAS).

    “Justeru, saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas,” katanya.

  • PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PERSEDIAAN Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk pengagihan kerusi telah siap 80 peratus.

    Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan berkenaan telah diadakan bersama parti-parti komponen dalam gabungan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas.

    “Persediaan untuk menghadapi PRN serta pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi asas perbincangan kami pada masa itu. 

    “Boleh dikatakan 80 peratus telah siap dan seterusnya kami akan perhalusi strategi untuk menghadapi PRN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, malam tadi. 

    Terdahulu Abdul Hadi yang juga Presiden PAS mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Gerakan termasuk Pengerusi Gerakan pusat Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

    Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Abdul Hadi berkata ia bertujuan merapatkan hubungan antara parti itu dengan Gerakan serta memberi maklumat tepat kepada masyarakat khususnya yang bukan Islam termasuk isu Islamofobia. – BERNAMA

  • 2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 Nov ini.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata TTA itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya itu, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

    Beliau berkata pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh raya bermula 16 hingga 18 Nov sebelum 10 pagi manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.

    Menurut Zakaria, bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur bermula 20 hingga 21 Nov pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

    “Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

    “Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zakaria berkata persediaan itu merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

    Beliau berkata PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 hingga 21 Nov kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

    “PLUS juga menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik bagi mempercepat kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya,” katanya.

    Menurut Zakaria, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol serta 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik bagi memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan dan PLUS mengucapkan semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

    Jadual TTA boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App di Google Play Store atau App Store selain di laman web www.plus.com.my serta Twitter PLUSTrafik. – BERNAMA