Tag: provokasi

  • Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969. 

    MCMC dalam kenyataan memaklumkan penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar. 

    Selain itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

    Sebuah portal berita hari ini melaporkan terdapat pengguna media sosial yang menyatakan beberapa video berhubung amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tular di TikTok mempunyai label “paid partnership” atau perkongsian berbayar. – BERNAMA

  • PRU-15: Hormati proses demokrasi, elak cetus provokasi

    PRU-15: Hormati proses demokrasi, elak cetus provokasi

    TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menasihati semua penyokong parti politik agar menghormati proses demokrasi dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata para penyokong parti politik perlu menanam sifat toleransi dan kerjasama yang jitu antara satu sama lain bagi menjamin keharmonian sepanjang tempoh PRU15.

    “PRU15 adalah proses untuk kita memilih pemimpin dan kita sebagai penyokong tidak perlu bermusuh atau dengan sengaja mewujudkan kekecohan atau provokasi.

    “Malah pemimpin-pemimpin juga akan menjaga ukhwah dan keharmonian kerana selepas habis PRU15 ini, kita akan berkawan seperti biasa,” katanya.

    Ahmad Marzuk berkata demikian selepas beramah mesra dengan pemenang pingat emas Para Sukma 2022 Kuala Lumpur bagi acara catur berpasukan kategori (PI) Norazlin Juarih dan Faris Iqbal Ahmad dekat Pengkalan Chepa di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas video tular di media sosial yang memaparkan insiden provokasi dan perang mulut antara dua penyokong parti politik dalam program ceramah di Sungai Dulang, Bagan Datuk pada Ahad lepas.- BERNAMA