Tag: Projek PSI

  • Apa jaminan tiada kaum tertentu terpinggir daripada projek tambak laut P. Pinang?

    Apa jaminan tiada kaum tertentu terpinggir daripada projek tambak laut P. Pinang?

    PERTUBUHAN Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat mempunyai perancangan jangka panjang supaya tidak ada kaum yang dipinggirkan daripada projek tambakan laut di perairan selatan negeri itu (PSI).

     Pengerusinya, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, adakah kerajaan negeri dan Pusat dapat memastikan ketiga-tiga pulau buatan yang akan dibina kelak dihuni secara adil antara rakyat Pulau Pinang dan antara warga tempatan dan bukan warganegara.

     Malah, beliau turut menarik perhatian berkenaan projek tambakan laut di Straits Quay atau di Seri Tanjung Pinang yang kini menjadi kawasan elit.

    “Cuba lihat siapakah yang tinggal di Straits Quay atau di Seri Tanjung Pinang. Golongan mana yang tinggal di situ, adakah golongan B40?

    “Golongan manakah yang memonopoli tanah dan rumah di kawasan tambakan itu? Ia telah menjadi kawasan elit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI itu membabitkan penambakan laut seluas kira-kira 1,700 hektar telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

    Mengulas mengenai kelulusan EIA daripada JAS itu, Muhamad Farid berkata, ia merupakan keputusan yang sudah diduga.

    Katanya, kelulusan itu juga diberikan walaupun beberapa tahun dulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menentangnya, namun kini setelah berada dipuncak kuasa, projek yang mendapat bantahan rakyat telah diluluskan.

    “Apakah manfaatnya projek ini kepada rakyat? Apakah benar hasil jualan tanah pulau itu nanti akan digunakan untuk membiayai projek infrastruktur negeri semata-mata atau ada agenda lain?

    “Kerajaan Negeri Pulau Pinang ebih mengetahui. Malah, bakal Ketua Menteri yang akan mengetuai kerajaan pimpinan DAP  pasti lebih mengetahui sasaran sebenar kerana projek ini akan dimulakan disuku ketiga tahun ini,” katanya.

    Jelasnya, memandangkan Anwar pernah membantah projek itu, Perdana Menteri wajar menyediakan dana daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai projek infrastruktur atau mencadangkan kaedah pembiayaan lain yang bersesuaian dengan prinsip Kerajaan Madani.

     
    Jelasnya, menjadikan projek tambakan laut di Tanjang Tokong yang kini dikenali sebagai Straits Quay atau Seri Tanjung Pinang sebagai contoh, golongan nelayan merana sepanjang projek tambakan itu dijalankan.

    Menerusi projek PSI pula, jelasnya, kerja-kerja tambakan yang bermula dengan Pulau A dan dikuti dengan Pulau B dan Pulau C berkemungkinan akan berakhir dalam tempoh melebihi 20 tahun.

    “Begitu panjang proses tambakan berlaku, begitu panjang juga nelayan akan kehilangan pendapatan.

    “Apakah bot-bot yang mereka perolehi sebagai habuan menyokong pihak kerajaan negeri itu mampu bertahan selama itu dan nilai pampasan yang mereka terima mencukupi untuk membiayai kehidupan mereka?” katanya.

    Jelasnya lagi, projek tambakan laut itu bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan Pulau Pinang tetapi juga kepada nelayan di Perak.

    Ini kerana, ujar beliau, pencemaran laut juga akan memberi kesan langsung kepada negeri Perak kerana tanah laut akan diambil dari negeri itu.

  • Gerakan tuntut janji, komitmen Anwar tolak projek tambak laut

    Gerakan tuntut janji, komitmen Anwar tolak projek tambak laut

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menuntut janji dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini pernah membuat kenyataan menentang projek tambakan laut di bahagian selatan Pulau Pinang (PSI).

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong mendakwa, Anwar pernah membuat kenyataan yang membayangkan tidak bersetuju dengan projek tambakan berskala besar itu dalam program perjumpaan bersama komuniti nelayan setempat pada Julai 2019.

    Sehubungan itu, tegas beliau, Anwar harus tegas dan campur tangan sebagai Perdana Menteri untuk membatalkan projek terbabit bagi mengelakkan daripada merosakkan ekologi semula jadi dan menjejaskan mata pencarian nelayan.

    Dalam masa sama, beliau menempelak Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang penuh yakin menyatakan projek itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri termasuk pada pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    “Kon Yeow seolah-olah tidak mengendahkan suara-suara penentangan daripada rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini beliau masih menganggap sokongan pengundi Pulau Pinang kepada Pakatan Harapan (PH) adalah satu perkara yang pasti.

    “Inilah akibat daripada sokongan pengundi tanpa syarat kepada PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang merayu penduduk negeri itu mempertimbangkan secara serius kesan dan akibat buruk daripada projek tersebut.

    Jelasnya, pengundi Pulau Pinang perlu menolak gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang sebagai cara menyatakan bantahan mereka terhadap projek tambakan besar-besaran tersebut.

    “Pengundi Pulau Pinang khususnya mereka yang tinggal di kawasan sekitar projek penambakan di selatan Pulau Pinang itu perlu menggunakan undi mereka untuk memberi pengajaran kepada kerajaan PH yang bongkak dan angkuh pada PRN akan datang,” katanya.

    Tambah beliau, sebagai bantuan kepada Pulau Pinang untuk mempromosikan projek perkhidmatan awam, pihaknya merayu Anwar meluluskan peruntukan khas daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai pembinaan projek transit aliran ringan (LRT).

    “Langkah ini adalah sama seperti ketika Gerakan memerintah Pulau Pinang suatu ketika dahulu dalam menyiapkan dua buah jambatan di Pulau Pinang tanpa melibatkan projek tambakan besar-besaran untuk mencari modal pembiayaan,” katanya.