Tag: projek

  • Kerajaan Melaka mohon PM kaji semula keputusan projek RTB

    Kerajaan Melaka mohon PM kaji semula keputusan projek RTB

    KERAJAAN Melaka memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula keputusan projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM7 bilion, yang telah tidak diteruskan baru-baru ini.

    Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia berikutan masalah banjir menjadi isu utama di negeri itu dan sekiranya ditangguh atau disiasat semula, ia dilihat akan menjejaskan usaha mengurangkan masalah tersebut.

    “Di Melaka terdapat empat atau lima projek RTB  ini yang telah bermula sejak September dan ada dilaksanakan melalui rundingan terus, juga ada yang melalui proses tender, kerana ia khusus untuk mengurangkan masalah banjir.

    “Saya mohon pertimbangan semula dan melihat semula kawasan-kawasan projek RTB ini yang perlu segera disiapkan,” katanya kepada pemberita di Duyong di sini hari ini.

    Terdahulu beliau hadir mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyempurnakan majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Seri Duyong di sini hari ini.

    Mengulas lanjut Sulaiman berkata Melaka menerima kelulusan peruntukan berjumlah RM932 juta bagi melaksanakan projek RTB, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berisiko yang dikenal pasti.

    Beliau berkata antara projek RTB yang telah diluluskan sebelum ini ialah di Krubong, RTB Sungai Duyong, RTB Alor Gajah, RTB Jasin dan RTB Merlimau.

    Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion, daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender untuk diteliti semula.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. – BERNAMA

  • Proses berkaitan projek naik taraf loji tangguh selepas Parlimen bubar – KASA

    Proses berkaitan projek naik taraf loji tangguh selepas Parlimen bubar – KASA

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menangguhkan semua proses rundingan bersama kontraktor atau perunding berkaitan projek naik taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas.

    Kementerian itu memaklumkan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan sementara atau caretaker, pihaknya turut menangguhkan pengeluaran Surat Niat, Surat Pelawaan dan Surat Setuju Terima.

    “KASA sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kerajaan sementara ini.  Justeru, kenyataan yang tular ini adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak telah dijalin antara kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini,” menurut KASA dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kementerian itu mengulas dakwaan pihak tertentu mengenai pemberian kontrak bernilai RM285 juta kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd selepas 17 hari Parlimen dibubarkan.

    Menurut KASA, projek naik taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan telah diluluskan pada November 2021 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) 2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Proses perolehan projek ini telah bermula sejak 6 Okt 2021 sedangkan pembubaran Parlimen pada 10 Okt 2022,” menurut kenyataan itu.

    Menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan tidak berasas, KASA menegaskan perkara itu perlu dibuktikan kebenaran melalui siasatan pihak berkuasa.

    Menurut KASA, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 18 Okt, berkaitan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras peranan dan fungsi kerajaan sementara serta garis panduan peranan dan fungsi kerajaan sementara antara lain menetapkan apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji hendaklah dielakkan.

    Ia turut menetapkan apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu hendaklah dielakkan.

    Mengenai dakwaan kononnya terdapat surat kelulusan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, KASA menegaskan perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa dari segi ketepatan fakta, bukannya dengan cara mendedahkan kepada rakyat secara umum dengan niat mewujudkan persepsi tidak baik. – BERNAMA

  • Tujuh projek tebatan banjir bernilai RM259.5 juta akan dilaksana di Pulau Pinang

    Tujuh projek tebatan banjir bernilai RM259.5 juta akan dilaksana di Pulau Pinang

    KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM259.5 juta bagi melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pulau Pinang  yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

    Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman berkata daripada tujuh projek berkenaan, enam adalah projek sambungan RTB manakala satu projek baharu yang akan membawa pelbagai manfaat kepada penduduk, khususnya dalam menangani isu banjir kilat di negeri ini.

    “Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui agensi pelaksana termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan tujuh projek tersebut yang kini masih dalam pelbagai fasa kerja antaranya proses pelantikan perunding bagi reka bentuk terperinci, kerja ukur, penyiasatan tanah, panggilan tender kerja dan tempoh pembinaan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke RTB Pondok Upeh/Sungai Burong, di sini hari ini.

    Beliau berkata antara RTB yang sedang dilaksanakan ialah RTB Lembangan Sungai Pinang membabitkan kos RM150 juta, RTB Sungai Kechil (RM16.8 juta), RTB Pondok Upeh/Sungai Burong (RM10 juta) RTB Sungai Dua melibatkan peruntukan RM45 juta dan kesemua projek tersebut dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

    Selain itu, KASA juga sedang menjalankan kajian keberkesanan RTB di Pulau Pinang yang akan dijadikan projek perintis bagi projek RTB di seluruh negara dalam usaha memastikan pelaksanaan lancar dan impaknya memberi manfaat kepada rakyat.

    “Menerusi kajian itu, Pulau Pinang akan menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk projek RTB dan kita dapat membuat penilaian serta penambahbaikan untuk projek (RTB) di negeri lain berdasarkan kajian tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Mansor berkata RTB Pondok Upeh/Sungai Burung yang dilawatinya hari ini dijangka dilaksanakan pada tahun depan dengan kos keseluruhan RM10 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di penempatan penduduk kawasan Sungai Burong, Kampung Pondok Upeh, Jalan Lintang Pondok Upeh, Jalan Genting, Jalan Balik Pulau dan Kampung Pulau Betong.

    Katanya selain itu, RTB Teluk Kumbar membabitkan nilai RM10 juta yang dilaksanakan pada 2019 itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober yang akan dapat menangani masalah banjir yang sering dihadapi kira-kira 80,000 penduduk di Kampung Nelayan, Kampung Sulup, Kampung Paya dan Kampung Masjid.

    “Pelaksanaan kedua-dua projek RTB itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berisiko banjir, malah ia juga dapat mengurangkan perpindahan penduduk sehingga 80 peratus,” katanya sambil berharap kerosakan harta benda akibat banjir juga dapat dikurangkan melalui pelaksanaan projek RTB tersebut.- BERNAMA