Tag: program

  • Program JMKM catat nilai jualan lebih RM25.8 juta – Rosol

    Program JMKM catat nilai jualan lebih RM25.8 juta – Rosol

    PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang bermula pada pertengahan Ogos lepas di seluruh negara berjaya mencatatkan nilai jualan lebih RM25.80 juta setakat ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata program yang melibatkan lima kementerian itu sehingga kini juga merekodkan sebanyak 1.04 juta pengunjung.

    “Kesemua pihak yang diberi kuasa menjalankan program ini telah pun melaksanakannya dengan baik. Kementerian juga hampir 100 peratus telah melaksanakan program yang memberi peluang kepada rakyat terutama golongan B40 mendapatkan bekalan barangan keperluan pada harga yang murah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program JMKM di IQI Mart di Kampung Beladau Kepong, di sini hari ini.

    JMKM ialah program yang dijenamakan semula daripada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM). PJKM sebelum ini dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

    Untuk JMKM, pelaksanaannya melibatkan lima kementerian iaitu KPDNHEP, MAFI, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

    Dalam pada itu, Rosol berkata sekiranya Program JMKM dilaksanakan dalam bentuk ekspo, kos tambahan akan diperlukan seperti utiliti, pemasangan khemah dan pengangkutan, justeru kaedah sekarang yang dilakukan secara serentak di premis terpilih dilihat lebih berkesan.

    “Kerajaan pusat berpendapat pelaksanaan Program JMKM di premis terpilih di setiap Dewan Undangan Negeri seperti yang dilakukan sekarang menjimatkan kos logistik,” katanya mengulas mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahukan JMKM diadakan dalam bentuk ekspo.

    Rosol berkata perkara itu sudah dibincangkan di bawah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk mengikut kaedah sedia ada.- BERNAMA

  • Jual ikan selayang segar 20 sen seekor

    Jual ikan selayang segar 20 sen seekor

    SATU program amal di Kuantan, Pahang yang menjual sebanyak 165 kilogram (kg) ikan selayang segar pada harga 20 sen seekor habis dijual dalam tempoh sejam sahaja.

    Program anjuran Dapur Infaq Ummah itu diadakan khusus untuk membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

    Menurut Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid, mereka memperoleh bekalan ikan selayang itu daripada nelayan tempatan.

    “Kita bukan mencari keuntungan sebaliknya hanya untuk membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP3.0,” katanya, semalam.

    Mengulas lanjut, Zahir Shah berkata, aktiviti jualan itu bermula pada pukul 9.30 pagi dan orang ramai mula beratur panjang mengikut jarak ditetapkan.

    “Namun satu keluarga hanya boleh membeli sekilogram ikan dengan harga RM5 sahaja.

    Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan untuk menjual barangan keperluan lain bagi membantu orang ramai.

    “Kita juga mempelawa mana-mana pihak yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bagi mengisi dana untuk membantu golongan memerlukan.

    “Selain itu, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menghulurkan sumbangan beberapa pihak lain,” tambahnya.