Tag: prn

  • ‘Saya tak mungkir janji pada Abang Jo’, Muhyiddin ulas PN tanding di Sarawak

    ‘Saya tak mungkir janji pada Abang Jo’, Muhyiddin ulas PN tanding di Sarawak

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN)Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau “mungkir janji” dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berhubung keputusan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Muhyiddin berkata, hanya wujud persetujuan bahawa Bersatu tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, bukan pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen.

    “(Abang Johari) kata saya mungkir janji. Siapa mungkir (janji)?” soal bekas perdana menteri itu.

    Beliau mengulas mengenai kritikan Abang Johari terhadap PN kerana dikatakan melanggar janji tidak bertanding di Sarawak pada PRU15, lapor Borneo Post. Perjanjian itu dibuat sebelum PRN Sarawak ke-12.

    Minggu lepas, PN mengumumkan ia akan bertanding di empat kerusi Parlimen Sarawak, iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar.

    Muhyiddin berkata, sebelum PRN itu, Abang Johari telah menemuinya dan meminta presiden Bersatu itu menyokong GPS dengan tidak bertanding di Sarawak, kerana bekas ADUN Krian Ali Biju berkata beliau mahu bertanding pada PRN.

    Permintaan itu dibuat walaupun Bersatu mempunyai Ali, yang ketika itu ADUN Krian dan Ahli Parlimen Saratok, serta puluhan ribu ahli di kawasan DUN Kemena dan Parlimen Bintulu, katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau kemudiannya meminta Ali untuk tidak bertanding, serta mengorbankan hasrat PN untuk bertanding pada PRN sebagai menghormati permintaan Abang Johari.

    Biju akhirnya bertanding di kerusi Krian sebagai calon bebas, tetapi kemudian menarik balik pencalonannya dan menyokong calon GPS.

    “Kita menyokong dasar GPS, tapi kita sudah berada di sana (Sarawak). Saya juga mesti menghormati dan menghargai pemimpin PN dan Bersatu di sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah anjuran PN Kedah malam tadi.

    “Beliau (Abang Johari) kata negeri tak mengapa…bagilah saya. Parlimen ‘you can’ (anda boleh bertanding). Parlimen tak sentuh negeri, Parlimen kerusi untuk kerajaan pusat.”

    Kata Muhyiddin, Abang Johari sepatutnya bertemunya bagi membincangkan isu PN bertanding di Sarawak pada PRU15, sebaliknya beliau menghantar dua individu yang dikatakan “orang kepercayaannya”, Ibrahim Saki dan seorang lagi individu bernama “Datuk Abdul Rahman”.

    Muhyiddin memberitahu kedua-duanya mengenai perjanjian dengan Abang Johari dan menambah, dalam sistem demokrasi, mana-mana parti boleh bertanding.

    Beliau berkata, PN juga akan bertanding di Parlimen Bintulu dan Lubok Antu sebagai ganti susulan bekas Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    “Apa-apa pun, perkara itu sudah dibincangkan. Jadi, berhubung kenyataan (Abang Johari mengenai PN mungkir janji), saya tak gaduh dengan Abang Jo.

    “Beliau rakan saya, beliau menyokong saya ketika saya menjadi perdana menteri. Saya hargai itu (sokongan), tapi dia juga perlu memahami,” katanya lapor FMT.

  • BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BERSATU yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan populariti kerajaan ketika ini sangat rendah, ditambah sentimen terhadap pemimpin UMNO yang terkait kluster mahkamah.

    Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata malah BN dijangka hilang banyak kerusi Parlimen dalam usaha gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan.

    “Saya cukup yakin, sebetulnya Perikatan Nasional (PN) lebih popular kerana ketelusannya, integritinya dan keupayaan mentadbir sewaktu negara dilanda Covid-19.

    “Masyarakat menilai. Sebetulnya PN tetap terbaik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN boleh menang selesa pada PRU-15 seperti dilakukan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Sahruddin berkata, BN ketika ini juga berdepan pelbagai isu seperti kepimpinan dan pentadbiran dalam menghadapi PRU-15.

    Pada PRN Johor, BN meraih kemenangan selesa apabila memperoleh majoriti dua pertiga selepas menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PN hanya menang tiga kerusi.

    Manakala, pada PRN Melaka BN menang 15 daripada 28 kerusi DUN dipertandingkan.

    Sahruddin yakin kerusi kubu kuat UMNO semasa PRU-14 akan berjaya dirampas PN berikutan sokongan Melayu semakin meningkat.

    Beliau mendakwa, kecenderungan pengundi Melayu memilih PN sangat tinggi berikutan jasa dan bantuan oleh pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

    “Antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda. Mereka lihat yang menyelamatkan dan membantu mereka adalah PN.

    “Apa lagi pengundi dan masyarakat Felda. Begitu juga masyarakat Melayu dengan kecenderungan mereka melihat Muhyiddin bersih, berintegriti, amanah dan jujur jika dibandingkan dengan pemimpin parti lain,” katanya.

    PRU15 dan PRN Johor berbeza

    Sementara itu, Sahruddin berkata PRU-15 dan PRN Johor adalah berbeza dan terdapat banyak faktor yang memenangkan BN sebelum ini.

    Katanya, antaranya adalah ramai jentera daripada parti BN turun ke Johor untuk menguatkan jentera masing-masing selain jumlah yang keluar mengundi tidak terlalu ramai.

    Bagaimanapun, beliau berkata di kedua-dua PRN iaitu Johor dan Melaka, Bersatu melihat terdapat peningkatan signifikan masyarakat untuk mengundi PN.

    “Harus diingat kedua-dua negeri ini bubar DUN sewaktu kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob. Umno itu sendiri.

    “Sebetulnya Umno ini menyebabkan kerajaan negeri, pusat jadi tidak stabil dan sangat mengganggu pentadbiran kerajaan yang ada,” katanya.

    Bekas menteri besar Johor itu turut menyasarkan kerusi utama perlu dimenangi pada PRU-15 adalah Parlimen Muar, Pagoh, Mersing dan Batu Pahat.

    PAS bukan liabiliti

    Dalam perkembangan lain, Sahruddin berkata kehadiran PAS dalam PN bukan liabiliti kepada gabungan itu.

    Beliau berkata, PAS merupakan parti sederhana dan ini perlu diterangkan kepada masyarakat bukan Melayu.

    “PAS telah memerintah Kelantan 32 tahun dan saya dimaklumkan PAS paling kurang amalan rasuahnya. Sebetulnya mereka tidak faham, jadi tanggungjawab sebagai ahli parti adalah menerangkan kepada pengundi bukan Melayu untuk tidak takut dengan PAS,” katanya.