Tag: prn

  • Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    PELUANG parti-parti kerajaan untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dilihat lemah berikutan isu lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Menurut penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan hilang kelayakan moral untuk mendakwa mereka berlainan daripada kerajaan sebelumnya.

    Beliau berkata, dengan mengikuti amalan lapuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pembatalan pelantikan politik sebelum ini akan dipandang sinis sebagai semata-mata untuk merampas imbuhan daripada yang kalah, bukannya untuk menjaga kepentingan awam.

    “Amalan sebegini sudah berlaku di zaman BN dan menjadi paling teruk semasa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila hampir 90 peratus ahli Parlimen kerajaan yang bukan menteri diberikan jawatan lumayan.

    “Jadi, apabila amalan ini diteruskan, pandangan sinis terhadap kerajaan baharu meningkat, maka pengundi medan tengah yang pada asalnya mungkin cendorong menyokong Kerajaan Perpaduan mungkin malas mengundi.

    “Ia seterusnya melemahkan peluang kemenangan parti kerajaan dalam PRN akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, pelantikan ahli politik untuk mengisi jawatan tinggi di badan berkanun dan GLC juga akan menimbulkan dua masalah utama.

    “Pertama, kalau ahli-ahli politik ini tidak berkeupayaan untuk memegang tanggungjawab, maka pelantikan ini bermaksud kepentingan awam dikorbankan untuk menyaji orang parti pemerintah. Ini kerana badan-badan berkanun dan GLC dinafikan peluang untuk mendapat bakat terbaik.

    “Kalau yang dilantik ialah wakil rakyat, sekalipun mereka berkeupayaan akan terjadi percanggahan kepentingan kerana mereka yang seharusnya menyelia pantau di Dewan Rakyat kini duduk dalam pihak yang patut diselia pantau,” jelasnya.

    Kerajaan dikritik hebat susulan beberapa siri pelantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Antara yang dilantik ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sementara Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Pengerusi Felcra.

    Selain itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi cabang pelaburan milik Kementerian Kewangan iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd.

    Terbaharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Risda.

  • PRN: PN guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, lambang PN di 4 negeri

    PRN: PN guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, lambang PN di 4 negeri

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, logo Pas pula akan digunakan di Kelantan serta Terengganu sebagaimana berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    “Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, MTPN turut membuat tiga pelantikan baharu semasa mesyuarat semalam.

    Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional.

    “Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Sabah manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan.

    “Turut diputuskan ialah pelantikan Tuan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Tuan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif
    Perikatan Nasional,” tambahnya.

  • Kempen antirasuah kerajaan hanya mahu jatuhkan pemimpin pembangkang – Dr M

    Kempen antirasuah kerajaan hanya mahu jatuhkan pemimpin pembangkang – Dr M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kempen antirasuah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bertujuan menyingkirkan pemimpin pembangkang menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Beliau sebaliknya berkata, pemimpin kerajaan yang diketahui terlibat dengan rasuah pula tidak disiasat.

    “Ini menunjukkan kempen antirasuah adalah berkaitan menjatuhkan pemimpin pembangkang supaya tidak ada penentangan terhadap kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

    Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal mengadakan PRN pertengahan tahun ini, setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

    Kenyataan Dr Mahathir berkaitan menyingkirkan pemimpin pembangkang itu dipercayai menjurus kepada tindakan kerajaan PH-BN yang mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; dan beberapa pemimpin Bersatu yang lain.

    Dalam pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan dendam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa kononnya menerima rasuah dan pengubahan wang haram, sedangkan sumbangan politik yang diterima Bersatu semuanya dimasukkan ke dalam akaun parti, bukan akaun peribadi, seperti dilakukan beberapa pemimpin UMNO.

    Dalam kenyataan terbaharu itu, Dr Mahathir juga berkata kerajaan PH-BN yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sekarang ini telah memutuskan bahawa rakyat tidak boleh bercakap mengenai bangsa dan agama.

    Jelas sekali katanya, peraturan itu ditujukan kepada orang Melayu.

    “Peraturan ini sebenarnya bersifat perkauman kerana menafikan hak orang Melayu. Bercakap tentang berbilang kaum dan agama tidak mengapa. Tidak mengapa kerana ia memihak kepada kaum lain. Ini juga rasis.

    “Tiada siapa boleh menafikan bahawa di negara ini orang Melayu berhadapan dengan pelbagai masalah. Adalah jelas bahawa jika masalah ini tidak ditangani sekarang ia akan menjadi lebih teruk. Kerajaan tahu ini.

    “Larangan ke atas orang Melayu membincangkan masalah mereka dan mencari jalan untuk mengatasinya adalah paling tidak demokratik dan anti-Melayu. Itu sekali lagi adalah perkauman.

    “Sebenarnya kerajaan tidak tahu apa yang akan diperkatakan pada perhimpunan tersebut. Malah deklarasi itu tidak menyalahkan kaum lain. Ia menyalahkan pemimpin Melayu yang telah didapati bersalah kerana mencuri wang kerajaan, pengubahan wang haram dan rasuah,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • BN-PH Pulau Pinang bincang PRN selepas pemilihan parti

    BN-PH Pulau Pinang bincang PRN selepas pemilihan parti

    UMNO Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) negeri itu bagi membincangkan gerak kerja dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaik sahaja pemilihan parti tersebut di peringkat Bahagian dan Pusat selesai.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, buat masa ini, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang belum mengadakan pertemuan rasmi dengan PH meskipun kedua-dua parti telah mendapat arahan rasmi untuk memulakan rundingan daripada Pusat.

    Ujar beliau, meskipun kedua-dua parti bakal mengadakan kerjasama dalam PRN negeri itu kelak, namun ia adalah atas dasar Kerajaan Perpaduan yang terbina ketika ini dan BN tetap akan bertanding atas tiket serta logo parti itu sendiri.

    “Arahan sudah ada untuk kita bincang bersama PH Pulau Pinang dan kita akan bincang berkenaan pengagihan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu terlebih dahulu khususnya dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Berkenaan perkara lain (termasuk pengahihan baki kerusi DUN melibatkan kedua-dua parti komponen BN dan PH) akan dibincang pada pertemuan seterusnya,” katanya.

    Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, ditanya berhubung penerimaan pengundi terhadap kerjasama pertama kali BN dan PH pada PRN Pulau Pinang kelak, Musa berkata, kerjasama kedua-dua parti tersebut hanyalah bermatlamat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang stabil dari sudut ekonomi dan politik dalam negara.

    “Tentang parti, kita tidak bergabung dengan PH, cuma soal kerjasama untuk berdepan pilihan raya itu memang ada.

    “Kita akan bertolak ansur, yang mana kerusi PH bertanding kita tidak akan bertanding, kita pun berharap mana-mana kerusi yang kita tanding, PH tidak akan bertanding.

    “Sebab kalau kita mahu lawan tiga penjuru sudah pasti kita (PH dan BN) akan kalah. Jadi kerjasama ini lebih kepada tolak ansur sebab kita mahu tubuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • Mudahkan rakyat mengundi dalam PRN, kata Idris

    Mudahkan rakyat mengundi dalam PRN, kata Idris

    AHLI Parlimen Pembangkang, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi diadakan pada hari cuti atau Sabtu.

    Jelas beliau, ini membolehkan agar semua pengundi dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk keluar mengundi.

    “Kita tidak mahu mengulangi sejarah Pilihan Raya Kecil di Tioman, baru-baru ini, kita tengok keluar mengundi hanya 58.39 peratus.

    “Berikan hak kepada pengundi terutama mereka nak pulang dari negeri yang jauh,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Idris yang juga Naib Presiden Pas pada masa sama membangkitkan subsidi pengurusan kuarters dan rumah rasmi kerajaan.

    “Kita dapat melihat banyak hari ini, rumah kediaman untuk kakitangan kerajaan, terutama kuarters Kementerian Pendidikan yang dibina, kebanyakannya tidak digunakan.

    “Mungkin dulu dibuat hanya semata-mata nak buat, tapi tidak memikirkan tentang keperluan untuk diadakan kuarters tersebut,” katanya.

  • MB dari Bersatu jika menang PRN Selangor, N. Sembilan, kata Muhyiddin

    MB dari Bersatu jika menang PRN Selangor, N. Sembilan, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) akan mentadbir Selangor dan Negeri Sembilan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, kedua-dua negeri itu akan dipimpin oleh parti berkenaan.

    “Pulau Pinang kita akan dihalusi dan diteliti macam mana situasi keadaannya, mungkin ada pihak kata sukar untuk menang. Tetapi tidak sukar untuk kurangkan majoritinya, jadi pastinya ada.

    “Yang lain-lain kita dah dengar sendiri tentang azam, tekad dan iltizam daripada ahli parti yang agak nyata dan jelas. Bersatu juga sudah bersedia untuk menghadapi apa juga cabaran daripada mana-mana pihak sekali pun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerusi yang ada di pihak Pas dan Bersatu akan dikekalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali ada persefahaman untuk melakukan pertukaran.

    Katanya, bagi kerusi yang tidak dimiliki sesiapa kecuali oleh parti pembangkang, ia akan dirundingkan.

    “Siapa nak dapat kerusi berkenaan akan diputuskan dalam perbincangan nanti,” katanya.

  • Belajar daripada kesilapan lalu, kata Ahmad Faizal

    Belajar daripada kesilapan lalu, kata Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setiap ahli perlu belajar mengenai kesilapan yang terjadi dalam pilihan raya yang lalu.

    Tegas beliau, kesilapan serupa tidak seharusnya diulangi dalam pilihan raya enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    “Kita perlu belajar apa yang sudah terjadi pada tempoh lalu agar ia tidak diulangi dalam pilihan raya di enam negeri.

    “Jika ada bendera, janganlah tidak dinaikkan atau jika mahu mencari pengundi, janganlah ditangguh-tangguh sehingga ke hari esok,” katanya, lapor SatuBerita.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan pergulungan di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali kelima Bersatu di Menara PGRM di Cheras, hari ini.

    Ahmad Faizal yang mesra disapa Peja berkata, walaupun Bersatu kini tidak mempunyai dana namun ia tidak akan mematahkan semangat ahli parti yang sebelum ini menubuhkan parti itu dengan hati yang ikhlas.

    “Akaun Bersatu telah dibekukan. Kita sudah tiada apa lagi. Tapi kita kena ingat dahulu ketika kita mahu kumpulkan ahli, kita tiada apa tetapi kita lakukan jualan amal atau melelong barangan.

    “Kita masih boleh berusaha sekiranya kita ikhlas. Ini juga adalah ingatan daripada Allah dan tidak mustahil kita akan Kembali jadi kerajaan,” katanya.

  • PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    SAYAP wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.

    “Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

    Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

    Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.

    “Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan,” katanya.

    Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi. 

    Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung ‘hibah abah’ dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Hari  ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. – BERNAMA

  • Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    PERWAKILAN dijangka mendesak supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan segera pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022 yang bermula hari ini.

    Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun perkara itu tidak berada dalam senarai usul, namun beliau percaya ia akan disentuh ramai pembahas pada perhimpunan tiga hari itu.

    “Ia terpulang kepada para pembahas…dalam Bersatu kita tak tentukan apa yang akan diperkatakan, mereka bebas suarakan apa sahaja. Yang penting, mereka dapat menjaga masa agar perhimpunan dapat berlangsung dalam jangka masa ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Srikandi, di Kuala Lumpur, hari ini.

    PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu melibatkan isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan agama.

    Ahmad Faizal, dalam pada itu, berkata pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah tidak akan memecahbelahkan parti serta sokongan ahli kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    Esok akan diadakan  Perhimpunan Agung Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Ahad ini. — BERNAMA

  • PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    SRIKANDI Bersatu perlu bekerja lebih keras dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata selain itu, ahli dituntut untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan.

    “Terima kasih kepada Srikandi yang masih setia bersama parti sepanjang berlaku kemelut politik. Srikandi akan terus berdiri gagah dan pastikan Bersatu terus relevan selamanya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Srikandi di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, yang bermula hari ini dengan Perhimpunan Agung Srikandi, menyaksikan buat pertama kali tiada perasmian serentak bagi sayap itu dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ia susulan terdapat pindaan terhadap perjalanan perhimpunan tiga hari itu berikutan perkembangan semasa membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perhimpunan Armada pula akan berlangsung esok.

    Selain itu, ucapan dasar presiden sekali gus merasmikan perhimpunan agung parti yang dijadual berlangsung pada 8 malam esok, ditiadakan dan digantikan dengan perhimpunan serta ceramah umum di Pusat Tarbiyah PAS Pusat di Gombak, Selangor. – BERNAMA