Tag: PRN Selangor

  • Noh Omar sahkan bertanding PRN Selangor atas tiket PN

    Noh Omar sahkan bertanding PRN Selangor atas tiket PN

    ENGGAN jadi sekadar penonton, Tan Sri Sri Noh Omar akhirnya mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, keputusan itu diambil memandangkan beliau sudah “sebati” dengan politik dan mahu terbabit dalam pilihan raya.

    “Saya sudah sebati dengan politik. Saya bukan penonton, saya mesti terbabit sama dalam pertandingan politik.

    “Jika pasukan dahulu (UMNO), selepas saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak sahaja,” katanya menurut Berita Harian.

    Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.

    Pada Januari lalu, Noh disingkir UMNO selepas memohon dipecat berbanding hukuman asalnya iaitu penggantungan selama enam tahun.

    Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

    Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang bawah tiket Bersatu.

    Nurul kini ketua srikandi muda di Tanjong Karang, menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.

    Noh berkata, beliau memahami kekecewaan anaknya terhadap UMNO dan tidak menghalang niat Syazwani bertanding dalam PRN membawa cabaran PN.

    “Sebagai bapa, sudah tentu saya akan turun berkempen untuknya jika benar dicalonkan bertanding dalam PRN Selangor nanti,” katanya.

  • Pas Selangor sahkan Shahidan tiada dalam senarai calon

    Pas Selangor sahkan Shahidan tiada dalam senarai calon

    AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim tiada dalam senarai calon parti itu bagi PRN akan datang, kata Pas Selangor.

    Menurut Setiausaha perhubungan Pas Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir, ini kerana tiada sebarang perbincangan untuk meletakkan Shahidan calon dan Pas juga telah membuat senarai pendek calon yang mungkin diletakkan di negeri itu.

    “Setakat ini, calon yang disenarai pendek Pas Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan.

    “Bagaimanapun, di peringkat pusat kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkannya sebagai calon di mana-mana kerusi DUN untuk PRN akan datang,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

    Spekulasi bahawa bekas menteri besar Perlis itu akan bertanding di Selangor berlegar selepas dia dikatakan sudah turun ke Semenyih beberapa kali.

    Shahidan juga malah memberi bayangan mungkin melibatkan diri dalam usaha PN untuk merampas pentadbiran Selangor dari PH.

    Untuk rekod, dia mempertahankan kemenangannya di Arau di bawah tiket Pas pada PRU lalu, selepas namanya digugurkan oleh kepimpinan BN.

    Shahidan sebelum ini memberitahu bahawa dia tidak mempunyai sebarang agenda untuk merebut apa-apa jawatan tetapi akan menggunakan pengaruhnya untuk membina “gelombang yang dahsyat” untuk PN di Selangor.

    Roslan mengambil maklum bahawa Shahidan ada menawarkan diri sebagai calon dan pihaknya akan memberi sokongan jika kepimpinan parti berpandangan ia boleh membantu memberi kemenangan dalam PRN akan datang.

    Pada masa sama, dia berkata pembahagian kerusi DUN Selangor antara Pas, Bersatu dan Gerakan sudah hampir selesai dan akan memperkenalkan calon setelah senarai tersebut mendapat lampu hijau daripada kepimpinan tertinggi.

    “Ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada Pas pusat untuk menyelesaikannya,” katanya lagi.

  • Tiada kepastian KJ, Shahidan bertanding PRN Selangor

    Tiada kepastian KJ, Shahidan bertanding PRN Selangor

    PAS Selangor tidak pasti berhubung cakap-cakap bahawa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.

    Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, Pas Selangor tiada maklumat dan tidak dimaklumkan berkenaan perkara itu.

    Pas bagaimanapun katanya terbuka menerima pemimpin berwibawa dan kompeten untuk bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam misi menawan Selangor.

    “Pas sendiri telah menyediakan calon-calon berkelayakan untuk mendepani gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN.

    “Pas Selangor tidak tahu KJ (Khairy Jamaluddin) dan DSSK (Shahidan) akan bertanding di Selangor namun terbuka dan mengalu-alukan bantuan mana-mana pihak yang boleh bawa kemenangan buat PN di Selangor, ” katanya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesahihan mengaitkan dua nama besar itu akan bertanding atas tiket PN di Selangor.

    Sebelum ini Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menyatakan kesediaan untuk bertanding di Selangor dalam misi membantu PN menawan negeri itu.

    PN menyasarkan untuk menawan tiga negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Shahidan dikatakan antara calon yang akan diketengahkan dalam PRN Selangor dan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

    Sementara itu, KJ dikatakan bakal bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti tersebut sebelum PRN.

  • Misi tawan Selangor bermula

    Misi tawan Selangor bermula

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    MENTERI Besar Selangor telah pun mengisytiharkan bahawa ADUN Umno Selangor adalah sebahagian daripada Kerajaan PH Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri Jun ini.

    Bermakna Ahli-ahli DUN Umno Sg Air Tawar (Datuk Rizam), Sg Panjang (Datuk Imran), Hulu Bernam (Datuk Rosni), Sg Burong (Datuk Samsuddin) dan Semenyih (Hj Zakaria) kini dikira sebahagian dari Kerajaan PH Selangor yang Menteri Besarnya dari PKR dan Exconya ada PKR, DAP dan PAN.

    Bagi para pengundi Melayu di Selangor termasuklah anak-anak muda yang telah mencetuskan ‘Gelombang Hijau‘ dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini hingga memenangkan PN di Hulu Selangor (dalamnya DUN Hulu Bernam), Sabak Bernam (dalamnya DUN Sg Air Tawar), Sg Besar (dalamnya DUN Sg Panjang), Tg Karang (dalamnya DUN Sg Burong), Kapar dan Kuala Langat sedarlah bahawa dalam PRN Selangor ke-15 nanti Umno akan bekerjasama dengan PH dan akan lawan PN. Pimpinan Umno sanggup dan tergamak lawan PAS.

    Dulu Umno minta kita tolak DAP tolak PKR. DAP dikatakan ekstremis, rasis menentang agenda Melayu Islam manakala PKR pula liberal dan sanggup bersekongkol dengan DAP. Tapi hari ini mereka pula sudah berkawan.

    Dulu gandingan PAS dan Umno atas nama MN telah menumbangkan PH di PRK Semenyih hasil kesedaran politik umat Melayu Islam. Hari ini Umno memilih bersama PH yang kita tumbangkan.

    Agenda memperjuangkan nasib dan masa depan serta mempertahankan hak umat Melayu Islam hari ini nampaknya cuma digalas PN yang dalamnya ada PAS dan BERSATU.

    Kita mahu umat Melayu Islam memimpin dengan bermaruah dan berdaulat di tanah airnya sendiri. Kehidupan dan kebajikan anak-anak bangsa yang miskin dan merempat mesti dibela dan dipulihkan segera. Rasuah kepincangan dan salah guna kuasa mesti ditentang.

    Agama Islam yang menjadi pegangan kita mesti dimulia dan dimartabatkan sebagai asas kekuatan kita dunia hingga akhirat. Melaluinya kita lahirkan pimpinan anak-anak Melayu yang bertaqwa, berwibawa dan penuh berintegriti.

    Dalam waktu yang sama kita berikan hak dan keadilan pada sahabat-sahabat kita masyarakat bukan-Melayu terutama yang dipinggirkan.

    Kita tidak mahu DAP yang berfahaman sekular itu menentukan arah tuju kehidupan kita. Itulah punca No DAP dulu, malangnya Umno seakan telah lupa.

    Kita tidak mahu agenda liberalisma, pluralisma dalam beragama yang dijaja PH merosakkan masa depan ummah.

    Lalu kita kesal kawan-kawan kita dalam Umno yang dulu bersama kita membina dan memperkasakan politik Penyatuan Ummah, mengangkat dan memperkuatkan kuasa politik umat Melayu hari ini memilih bersama PH yang didominasi DAP.

    Kita sedar umat Melayu Islam termasuklah di Selangor rata-rata lebih cenderung pada politik Penyatuan Ummah, inilah arus yang telah melonjakkan ‘Gelombang Hijau’ kebangkitan kesedaran politik umat Melayu Islam. Ahli-ahli biasa Umno yang selesa dan cenderung MN juga ramai, lebih matang dari pimpinan tertinggi mereka di WTC.

    Lantas jika Umno telah muktamad memilih PH dan DAP, meninggalkan perjuangan keramat ini maka suka tidak suka perjuangan ini akan kita diteruskan.

    Gelombang ini akan terus kita pacu dan pastikan bergelora, oleh kerana pimpinan tertinggi Umno telah memilih meninggalkannya maka kekuatan gelombang ini yang kita bangkitkan dahulu untuk melanggar PH dan DAP insya-Allah kini akan kita gunakan untuk melanggar Umno sekali, bersama ahli-ahli mereka yang sedar.

    PAS Selangor akan bekerja kuat sebagaimana kita bekerja di PRK Semenyih dahulu, kali ini untuk menawan Sg Air Tawar, Sg Panjang, Sg Burong dan Hulu Bernam kerana bagi kita jelas No PH, No DAP, No PKR dan kini No Umno.

    “Selangor BEST PN BEST“
    “Tumbang PH”

    Penulis ialah Setiausaha Pas Negeri Selangor

  • Khairy ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang

    Khairy ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilapor mempertimbangkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan ditawarkan menjadi menteri besar sekiranya menang, lapor The Star.

    Laporan itu bagaimapun tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran itu.

    “Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan,” kata Khairy dalam pertemuan dengan Kelab Concorde, kumpulan tidak rasmi pengarang dan wartawan kanan yang diketuai oleh Wong Chun Wai.

    Bagaimanapun, Khairy masih belum memutuskan perkara itu. Pilihan raya negeri (PRN) Selangor perlu diadakan tahun ini.

    “Sekiranya saya membuat keputusan untuk tidak bertanding pilihan raya negeri, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik yang saya pilih sebagai babak seterusnya dalam perjalanan politik saya.

    “Jika saya mahu menyertai PRN, saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi,” katanya.

    Khairy menyifatkan PRN akan datang sebagai “peluang baik” tetapi menjelaskan bahawa dia belum memutuskan sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan satu lagi pilihan raya.

    Semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu, Khairy tewas di Parlimen Sungai Buloh.

    Sebelum ini, Khairy adalah ahli parlimen Rembau selama tiga penggal. Beliau juga pernah menjadi anggota Kabinet di bawah tiga perdana menteri.

    Khairy dipecat daripada UMNO pada 28 Jan tanpa sebarang alasan rasmi. Difahamkan, beliau dipecat ekoran mengkritik kepimpinan parti ketika kempen PRU15.

    Sementara itu, Khairy berkata beliau tidak berhasrat untuk menubuhkan parti baharu kerana Malaysia ketika ini “agak tepu” dengan parti politik.

    “Walaupun ia adalah satu pilihan, ia tidak mungkin,” katanya.

  • PRN Selangor: DAP hasrat tanding 18 kerusi termasuk DUN dirampas Warisan

    PRN Selangor: DAP hasrat tanding 18 kerusi termasuk DUN dirampas Warisan

    DAP Selangor berhasrat bertanding semua kerusi dimenanginya pada PRU14, termasuk DUN Teratai yang “dirampas” Warisan susulan wakil rakyatnya Bryan Lai menyertai parti itu tahun lepas.

    Menurut Naib Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim, parti itu pada masa sama juga mahu bertanding di dua kerusi ditandingi Bersatu ketika menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, iaitu Semenyih dan Selat Klang.

    “Setakat ini, kita akan pertahankan 16 kerusi dan campur dua kerusi tambahan. DAP juga bertanding di DUN Teratai kerana kita anggap kerusi yang menang akan ditandingi semula, itu perkara asas.

    “Kerusi ditandingi mana-mana parti dalam PH akan dipertahankan, walaupun di tengah-tengah wujudnya ‘katak’, pengkhianat, tapi prinsipnya akan pertahankan kembali kerusi itu,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Ng berkata demikian ketika ditanya jumlah kerusi akan ditandingi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Warisan kini mempunyai seorang wakil rakyat di Selangor selepas Lai menyertai parti itu tahun lepas.

    Mengulas lanjut Ng berkata, PH Selangor akan memuktamadkan pembahagian kerusi bulan ini.

    Pada 14 Jan lalu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, PH dan Barisan Nasional (BN) berpotensi menawan kira-kira 53 daripada 56 kerusi DUN jika kedua-duanya bergabung pada PRN.

    Rafizi berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan awal menerusi keputusan PRU15 lepas, dengan 40 kerusi DUN dibolot PH.

    Ketika ditanya sama ada DAP sedia menyerahkan kerusi kepada BN pada PRN, Ng berkata, perkara itu “tertakluk kepada perbincangan kelak”.

    “Dalam politik semua, serba boleh, politik rencam dan unik mengikut keadaan semasa, saya tak menolak sebarang andaian tapi tertakluk perbincangan, kerusi menang memang sukarlah untuk dibincangkan.

    “Memang tak bertolak ansur (serah kerusi menang), dalam konteks parti masing-masing. PKR dan Amanah (juga) punya prinsip sedemikian,” katanya.

  • PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam kerusi Parlimen di Selangor memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk membuat persediaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tahun depan.

    Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Shukri Omar berkata, kesemua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu adalah kawasan majoriti Melayu.

    Menurutnya, Pas Selangor turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya menawan tiga kerusi Parlimen iaitu Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

    “Jentera semakin bersemangat khususnya dengan suntikan motivasi kemenangan PN di enam kerusi Parlimen.

    “Kejayaan tersebut menunjukkan Selangor bukannya kubu kuat Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditanya berkenaan persiapan menghadapi PRN Selangor dijangka tahun depan.

    Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor pada PRU-15 lalu menyaksikan PH menang 16 kerusi sementara PN dengan enam kerusi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, PN akan terus fokus persiapan PRN ke arah menawan Selangor.

    “Gelombang sokongan anak muda kepada PN semakin baik dan strategi utama adalah menawarkan solusi dan inisiatif yang sesuai kepada anak muda.

    “Pelan tersebut telah dirangka bersama pemegang taruh dan dibentangkan pada masa yang sesuai, ” katanya lapor Sinar Harian.