Tag: PRN Sarawak

  • 3 ahli Bersatu tanding bebas patut tarik diri

    3 ahli Bersatu tanding bebas patut tarik diri

    prn sarawak

    AHLI Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menasihati tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak agar mengikut jejak langkah Datuk Ali Biju dan menarik diri.

    Beliau berkata, mereka sepatutnya akur dengan persefahaman antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Persefahaman itu menyaksikan Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak.

    “Kita di peringkat parti mendengar nasihat Presiden dan beliau telah mengarahkan semua ahli parti supaya membantu serta menyokong calon-calon Gabungan Parti Sarawak,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Kampung Pichin, Serian hari ini.

    Willie diminta mengulas tindakan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak, Datuk Ali Biju semalam yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sebagai calon Bebas dan berikrar memberi sokongan penuh kepada calon GPS iaitu Friday Belik.

    Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, ahli Bersatu sepatutnya bekerjasama supaya wujud kesinambungan yang akan membawa kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat persekutuan.

    “Dari segi demokrasi, hak mereka untuk bertanding tidak boleh dinafikan kerana mereka boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas… itu hak mereka… tetapi kita perlu melihat dari segi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang lebih luas dalam senario politik pada masa hadapan,” katanya.

    Difahamkan ahli Bersatu lain yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).

    Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA

  • Ngeh Koo Ham, Wong Chen dilarang masuk Sarawak

    Ngeh Koo Ham, Wong Chen dilarang masuk Sarawak

    calon DUN prn sarawak Bukit Sari ceramah

    DUA pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak berpuas hati kerana mereka dilarang daripada memasuki Sarawak bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Memetik laporan Malaysiakini, mereka ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan pemimpin PKR, Wong Chen.

    Sebelum ini, Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas telah dua kali dilarang memasuki Sarawak.

    Kali pertama, pada April, 2016, beliau telah dihantar pulang selepas mendarat di Kuching, menjelang PRN terdahulu.

    Pengerusi DAP Perak itu sekali lagi dihantar pulang buat kali kedua pada 2018 selepas mendarat empat hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Saya mahu penjelasan,” katanya.

    Sementara itu, Wong Chen berkata, beliau mengalami kerugian sebanyak RM1,200 kerana telah membeli tiket penerbangan ke Sarawak.

    “Saya sepatutnya berada di dalam pesawat sekarang untuk ke Kuching tetapi pas masuk saya ke Sarawak telah ditolak malam tadi,” tulisnya dalam hantaran Facebook.

    Pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 adalah tidak dibenarkan, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

    SPR dalam laman sesawang rasminya memaklumkan kemasukan ke Sarawak adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan melalui portal enterSarawak.

    “Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” kata SPR.

    Walau bagaimanapun, Koo Ham mendakwa beliau ialah salah seorang daripada lima pemimpin parti yang dipilih mewakili DAP di Sarawak, mengikut peraturan SPR.

  • Ali Biju umum tarik diri calon kerusi DUN Krian

    Ali Biju umum tarik diri calon kerusi DUN Krian

    PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Ali Biju mengumumkan beliau menarik diri daripada menjadi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok turut memberi dukungan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi tersebut, Friday Belik.

    “Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka, dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Isnin lalu, Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli menjelaskan, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon Bebas di Dewan Masyarakat Sri Krian.

    Tindakan beliau itu agak mengejutkan kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan partinya tidak meletakkan calon bertanding pada PRN Sarawak dan Perikatan Nasional (PN) menyokong GPS.

    Ali menambah, beliau telah menawarkan diri sebagai calon DUN Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi di situ.

    Menurut beliau, sebagai wakil rakyat yang telah dipilih sejak 2011, dukungan dan sokongan yang padu itu telah memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

    “Walau bagaimanapun, saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara BERSATU dan GPS.

    “Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN l dan YAB Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg selaku Pengerusi GPS.

    “Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS,” jelasnya.

  • Bertanding calon Bebas, Bersatu bakal pecat Ali Biju?

    Bertanding calon Bebas, Bersatu bakal pecat Ali Biju?

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bahawa partinya tidak menyokong tindakan Datuk Ali Biju mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian yang disandangnya sebagai calon Bebas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

    “Tindakan Ali Biju tidak selari dengan keputusan parti.

    “Perikatan Nasional (PN) menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Sarawak dan tidak meletakkan calon di semua kerusi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Namun , beliau tidak menjelaskan adakah Ali akan diambil tindakan disiplin kerana melanggar keputusan Bersatu.

    Ali memberi alasan bahawa permintaan pengundi mendorongnya terus mempertahankan kerusi DUN Krian walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.

    Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ahmad Faizal menegaskan, partinya tetap dengan keputusan Muhyiddin sebelum ini mengumumkan gabungan itu tidak akan menyertai PRN Sarawak bagi menghormati kehendak kepimpinan GPS.

    “Saya mendoakan GPS akan diterima oleh para pemilih dan akan berjaya menubuhkan kerajaan di negeri Sarawak untuk meneruskan pembangunan demi kepentingan rakyat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti tidak membenarkan ahli bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran.

    “Tindakan tatatertib boleh diambil termasuk dipecat. Peraturan ini terpakai kepada Sarawak dan parti akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini tanpa menamakan Ali.

    Beliau menegaskan, ahli Bersatu telah diarahkan oleh Presiden parti untuk berkempen bagi sekutu GPS pada PRN Sarawak.

  • Semua pemimpin politik utama Sarawak hadapi pertandingan pelbagai penjuru

    Semua pemimpin politik utama Sarawak hadapi pertandingan pelbagai penjuru

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Dis ini bakal menyaksikan kesemua pemimpin politik utama negeri berdepan persaingan pelbagai penjuru di kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

    Selepas proses penamaaan calon selesai hari ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Ketua Menteri akan menerajui gabungan empat parti untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan negeri manakala pemimpin parti pembangkang turut berdepan dengan saingan daripada sekurang-kurangnya tiga pencabar.

    Abang Johari yang juga peneraju parti gabungan GPS akan bertanding kerusi DUN Gedong untuk kali pertama dan berdepan cabaran tiga penjuru apabila ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Kamal Bujang (Amanah) dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

    Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, sekutu GPS, menghadapi pertandingan lapan penjuru untuk kerusi DUN Dudong yang turut melibatkan DAP, PSB, PBK, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bansa Dayak Sarawak baru (PBDSB) dan dua calon bebas.

    Calon-calon lawannya terdiri dari Paul Ling (DAP), Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sung Yee (PBK), Josephine Lau Kiew Peng (Aspirasi), Julius Enchana (PBDSB), Fadhil Mohd Isa (Bebas) dan Engga Uchat (Bebas).

    Di DUN Batu Kawah pula, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menghadapi saingan empat penjuru melibatkan Fong Pau Teck daripada Aspirasi, Chai Kueh Khun (PBK) dan wakil DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

    Kerusi DUN Baleh yang sebelum ini diduduki presiden sebuah lagi parti komponen GPS, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing yang meninggal dunia 31 Okt lalu bakal menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan calon parti itu, Nicholas Kudi Jantai Maseng, Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (PBK) dan Koh Kumbong (PSB) untuk kerusi itu.

    Dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berdepan cabaran tiga penjuru masing-masingnya di DUN Bukit Saban dan DUN Bukit Sari.

    Lawan Uggah adalah Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB), sementara pencabar Awang Tengah adalah Riyah Basrah (PBK) dan Alias Mail (PSB).

    Bagi pemimpin pembangkang pula, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen terlibat dalam pertandingan empat penjuru melibatkan Presiden Aspirasi, Soo Lina, Datuk Wee Hong Seng (SUPP) dan Raymond Thong Ee Yu (PBK) untuk kerusi DUN Padungan.

    Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh pula berhadapan empat pencabar di DUN Bawang Assan yang terdiri dari Robert Lau Hui Yew (SUPP), Michelle Ling Shyan Mih (PBK), Amy Lau Bik Yin (DAP) dan Ricky Enteri (Bebas). – BERNAMA

  • 349 calon berentap, DUN Dudong pertembungan 8 penjuru

    349 calon berentap, DUN Dudong pertembungan 8 penjuru

    PROSES Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang bermula hari ini menyaksikan seramai 349 calon layak bertanding dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjadi rebutan paling banyak calon iaitu lapan penjuru.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh DUN, lima penjuru (24), empat penjuru (33), tiga penjuru (13) manakala satu lawan satu di empat kawasan.

    “Daripada 349 calon layak bertanding, 304 adalah lelaki dan 45 lagi adalah wanita,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar di sini selepas proses penamaan calon tamat hari ini.

    Terdapat kira-kira 1.2 juta pemilih berdaftar pada PRN Sarawak ke-12 yang mempunyai 82 kerusi.

    Beliau berkata, calon tertua pada pilihan raya itu berusia 79 tahun iaitu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN Bawang Assan manakala calon termuda berumur 24 tahun dari DUN Batu Lintang (PKR) dan DUN Nangka (Parti Bumi Kenyalang).

    Bagi pecahan mengikut usia, Abdul Ghani berkata terdapat lapan calon muda berusia 24 hingga 29 tahun bertanding pada PRN kali ini.

    Seramai 37 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 50 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 113 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 141 calon berusia 60 tahun ke atas.

    Daripada keseluruhan 349 calon, 82 adalah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73); Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70); PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima), PAS (satu) dan Bebas (30).

    Menyasarkan 70 peratus pengundi Sarawak akan keluar mengundi, Abdul Ghani percaya ramai yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi, meskipun banyak tempat di Bumi Kenyalang sejak kebelakangan ini sering dilanda hujan.

    “Boleh… (capai 70 peratus). Kita tahu rakyat Sarawak orang baik-baik dan akan tunaikan tanggungjawab (mengundi),” katanya.

    — LAGI

    SARAWAK-SPR (CALON)  3 (AKHIR) KUCHING

    Terdahulu proses penamaan calon selama satu jam yang bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke semua 82 pusat penamaan calon.

    Pada sidang media sama, Abdul Ghani mengumumkan tempoh rasmi berkempen bermula sebaik tamat pengisytiharan senarai calon pilihan raya, dan berakhir pada 11.59 malam, 17 Dis.

    Beliau berkata SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

    Sementara itu beliau berkata penetapan 64 kawasan DUN yang dibenarkan berkempen susulan tidak mempunyai capaian internet tinggi, ditentukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

    Semalam SPR memaklumkan penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen PRN Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.

    Selain itu SPR juga tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya negeri, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

    SPR menetapkan pengundian awal pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA

  • Ali Biju bertanding DUN Krian atas permintaan pengundi

    Ali Biju bertanding DUN Krian atas permintaan pengundi

    PERMINTAAN ramai sehingga di peringkat akar umbi, menjadi sebab utama Datuk Ali Biju memilih terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 (PRN) ini walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.

    Katanya, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini hari ini.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada parti Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Ini permintaan rakyat.. kita perlu hormati permintaan akar umbi… itu saja.

    “Presiden (Bersatu) pun tidak tahu, sekarang mungkin dia dah tahu lah..,” kata Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok kepada Bernama.

    Menurutnya, soal sama ada keputusan beliau bertanding atas tiket Bebas akan memberi kesan kepada Bersatu, Ali berkata, perkara itu belum difikirkan lagi.

    “Itu kemudian.. bincang kemudian.. saya tak dapat komen sekarang sebab keputusan dibuat atas permintaan rakyat,” jawabnya ringkas.

    Dalam perkembangan sama, Ali, 53, berkata strategi kempennya pada PRN Sarawak kali ini sama sekali tidak akan terjejas walaupun sebagai calon Bebas, malah beliau yakin mampu meraih kemenangan pada hari pengundian 18 Dis nanti.

    “Krian adalah unik.. dia (pengundi) mahu ke arah personaliti, individu.. parti bukan perkara utama sangat.

    “Kita semua kena yakin yang kita akan menang,” katanya sambil disahut dengan sorakan para penyokongnya.

    Pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.

    Ali memenangi kerusi DUN Krian pada PRN 2011 dan 2016. – BERNAMA

  • Ali Biju calon Bebas DUN Krian, guna logo kerusi

    Ali Biju calon Bebas DUN Krian, guna logo kerusi

    PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

    Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.

    Teka-teki sama ada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu akan mempertahankan kerusi tersebut akhirnya terjawab apabila beliau hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini sebagai calon Bebas menggunakan logo kerusi.

    Beliau yang juga ahli parti Bersatu hadir pada jam 9.02 pagi di dewan tersebut seterusnya menyempurnakan proses pencalonan.

    Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Krian Bilong Engkas mengumumkan pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik. – BERNAMA

  • Abang Johari ditentang tiga muka baharu di DUN Gedong

    Abang Johari ditentang tiga muka baharu di DUN Gedong

    KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berdepan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

    Mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, yang pertama kali bertanding di luar kawasan tradisinya di Satok, ditentang tiga calon muka baharu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango.

    Pengumuman nama calon yang bertanding itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gedong Abdul Khalid Manap di pusat penamaan calon (PPC) di Dewan Masyarakat Gedong selepas tempoh pencalonan tamat pada 10 pagi.

    Abang Johari memilih untuk bertanding di DUN Gedong, sebuah kawasan luar bandar, selepas sembilan penggal menjadi penyandang di kerusi Satok.

    DUN Gedong yang mempunyai sejumlah 7,208 pengundi terdiri daripada 3,508 lelaki serta 3,700 wanita berada di bawah Parlimen Batang Sadong dan terletak kira-kira sejam setengah perjalanan dari Kuching.

    Kira-kira 60 peratus pengundi di kawasan itu adalah Melayu, 30 peratus Iban dan 10 peratus etnik lain.

    Ia merupakan kawasan DUN baharu yang dibentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa PRN Sarawak ke-11 pada 2016.

    Penyandang kerusi Gedong iaitu Datuk Mohd Naroden Majais sebelum ini mengumumkan mengundur diri dan memberi laluan kepada Abang Johari untuk mempertahan kerusi GPS di DUN itu.

    Naroden, yang juga Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan selama lima penggal sebelum bertanding di kerusi baharu DUN Gedong pada PRN lepas.

    Pada pilihan raya itu, beliau mendapat 4,064 undi mengalahkan Rapelson Richard Hamit daripada Amanah dan Uja Bunsi (Bebas).

    Tarikh mengundi bagi PRN Sarawak ke-12 ditetapkan pada 18 Dis ini manakala undi awal pada 14 Dis. – BERNAMA

  • PRN Sarawak: Dilarang rentas negeri untuk berkempen

    PRN Sarawak: Dilarang rentas negeri untuk berkempen

    prn sarawak

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

    SPR dalam laman sesawang rasminya memaklumkan kemasukan ke Sarawak adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan melalui portal enterSarawak.

    “Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya dalam dokumen SOP pencegahan COVID-19 PRN Sarawak yang dikemas kini hari ini.

    SPR menegaskan aktiviti berkempen yang dibenarkan adalah terhad di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan tidak dibenarkan merentas DUN yang lain.

    “Pengecualian diberikan kepada parti-parti politik yang bertanding untuk mengemukakan 15 nama pemimpin kanan setiap parti yang bertanding bagi tujuan merentas DUN kepada JPBN Sarawak dan SPR.

    “Hanya lima orang sahaja (maksimum) pemimpin parti kanan termasuk pegawai yang mengiring/pengawal/pemandu (tidak termasuk calon dan ejen pilihan raya) bagi setiap parti politik yang bertanding dibenarkan untuk merentas DUN bagi tujuan berkempen pada satu-satu lokasi dan masa. Semua yang terlibat hendaklah lengkap divaksinasi,” tambah SPR.

    Sementara itu, SPR menyatakan kebenaran untuk merentas sempadan daerah atau negeri bagi tujuan mengundi adalah tertakluk kepada arahan tetap yang sedang berkuat kuasa.

    Menurut SPR, pengundi di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu menjalani ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) dalam masa 24 jam sebelum tarikh mengundi.

    “Hanya pengundi yang didapati negatif COVID-19 dan mendapat kebenaran daripada pihak PDRM dibenarkan untuk keluar mengundi. Pengundi hendaklah mengemukakan dokumen berkaitan seperti maklumat pemilih dari aplikasi MySPR Semak atau semakan dari portal SPR kepada pihak PDRM untuk mendapat kebenaran keluar mengundi,” kata SPR.

    Bagi pengundi yang berstatus positif COVID-19, SPR tidak membenarkan mereka keluar dari tempat rawatan selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk mengundi.

    Manakala pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, pejabat kesihatan daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan.

    “PUI dan PUS dikehendaki menggunakan pengangkutan sendiri untuk pergi ke pusat mengundi dan penggunaan pengangkutan awam adalah tidak dibenarkan,” tambahnya.

    SPR menetapkan hari penamaan calon esok manakala pengundian awal pula pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA