Tag: PRN Melaka

  • BN menang 21 kerusi, lima PH, dua PN – Pengerusi SPR

    BN menang 21 kerusi, lima PH, dua PN – Pengerusi SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

    Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh yang mengumumkan keputusan pilihan raya itu berkata Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

    Beliau juga berkata sejumlah 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian, yang berjalan hari ini.

    “Jumlah tersebut meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

    Dalam pada itu beliau berkata proses pengundian berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan perjalanan PRN Melaka kali ini.

    PRN Melaka diadakan hari ini (20 Nov) ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lalu, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

    PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

    PERIKATAN Nasional (PN)  tidak akan meninggalkan prinsip penubuhannya dan tidak akan dibubarkan untuk kembali bersama UMNO.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN sudah berhijrah jauh dan yakin dengan prinsip dan asas pembentukannya untuk menawarkan suatu bentuk parti yang mendukung kerajaan dengan lebih baik.    

    “Minta maaf. Kami berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

    Itu menjadi dasar perjuangan kita. Sebab itu bagi saya, telah berada di sini, kita akan terus beristiqamah, bergabung bersama dan bekerja lebih kuat supaya kita akan jadi pencabar utama kepada Barisan Nasional,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di sini malam ini. 

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada pihak meminta beliau membubarkan Bersatu dan kembali bersama UMNO.

    Katanya, keberadaan PN dalam arena politik negara yang menawarkan perubahan ke arah lebih baik adalah bagi membolehkan rakyat jelata di negara ini mempunyai satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan. 

    “Itu bagi saya penting, bukan soal peribadi saya atau soal apa kerana kita berpendapat, pembentukan Bersatu dan Gabungan PN suatu perkembangan politik sihat dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya. – BERNAMA

  • BN menang, kembali bentuk kerajaan negeri Melaka

    BN menang, kembali bentuk kerajaan negeri Melaka

    BARISAN Nasional (BN) mencatat kemenangan cemerlang dan bergaya dengan memperoleh dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

    Keputusan PRN itu menyaksikan gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

    Calon-calon dari Parti  Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) yang bertanding lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang tampil buat pertama kali dengan bertanding satu kerusi serta 22 calon Bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

    Kali terakhir BN memperoleh majoriti dua pertiga di Melaka ialah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila memenangi 23 kerusi.

    Keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri, yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri, juga gagal memenangi kerusi yang ditandingi mereka.

    Selain mengekalkan 12 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN turut memperoleh sembilan kerusi baharu iaitu Rembia, Kelebang, Machap Jaya, Telok Mas, Pengkalan Batu, Gadek, Durian Tunggal, Paya Rumput dan Duyong.

    Pada PRU14, BN memenangi kerusi Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

    Namun, BN gagal mempertahankan kerusi Sungai Udang yang merupakan kubu kuat parti itu.

    Kerusi Rembia pula dimenangi oleh Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang sebelum ini memenanginya atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14. Beliau kemudian meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas sebelum menyertai UMNO pada Januari tahun ini.

    Dalam PRN Melaka kali ini, UMNO bertanding merebut 20 kerusi iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

    PRN Melaka juga menyaksikan kebangkitan semula parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang masing-masing menyumbang kerusi kepada kemenangan bergaya BN.

    MCA memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu Machap Jaya dan Kelebang tetapi tewas di Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Banda Hilir dan Bemban.

    MIC, yang mempertaruhkan V.P.P Shanmugam di DUN Gadek, meraih kemenangan dengan menewaskan Azafen Amin (Bebas), Laila Norinda Maon (Putra), B.S. Mohan Singh (Bebas), Mohd Amir Fitri Muharam (Bebas) dan G. Saminathan (PH). 

    PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bertanding di kesemua 28 kerusi namun hanya mampu memenangi kerusi DUN di Ayer Keroh, Kota Laksamana, Bukit Katil, Kesidang dan Bandar Hilir berbanding jangkaan menguasai sekurangnya-kurangnya 15 kerusi.

    PH memperoleh 15 kerusi pada PRU14 sebelum dua ADUN dari Bersatu dan seorang ADUN DAP meninggalkan pakatan itu dan menyokong kerajaan baharu BN-PN yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan juga bertanding di 28 kerusi tetapi hanya memenangi kerusi Sungai Udang dan Bemban.

    Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin gagal dalam percubaan pertamanya bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara apabila tumpas kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Abdul Rauf Yusoh dalam pertandingan tiga penjuru itu.

    Selain itu, Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen turut tewas di DUN Telok Mas selepas berpindah dari kerusi DUN Paya Rumput.

    PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai ketua menteri. 

    Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

  • BN bentuk kerajaan negeri Melaka, capai majoriti mudah

    BN bentuk kerajaan negeri Melaka, capai majoriti mudah

    Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh 15 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka hari ini.

    Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh pada 9.42 malam ini di Menara Persekutuan di sini.

    “BN telah memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

    Abdul Ghani juga berkata proses pengundian bagi pilihan raya berkenaan berjalan dengan baik dan lancar. – BERNAMA

  • RASMI: Keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka

    RASMI: Keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka

    (Keputusan termasuk undi majoriti akan dikemas kini dari semasa ke semasa)

    N01 KUALA LINGGI

    Pemenang: ROSLI ABDULLAH (BN-UMNO)
    Majoriti: 1,836
    Jumlah pengundi: 10,928
    Peratusan keluar mengundi: 65.3 / 7,140

    Undi ditolak: 162

    Kertas undi dikembalikan: 10

    1. Rosli Abdullah (BN-UMNO) – 3,554
    2. Julasapiyah Kassim (PH-Amanah) – 1,718
    3. Kamisan Palil (Bebas/IND) – 51
    4. Aziah Mohd Sa’ad (PN-PAS) – 1,645

    (2018: Datuk Ismail Othman: BN-UMNO: Maj: 1,372, Undi diperoleh: 4,812)

    N02 TANJUNG BIDARA

    Pemenang: DATUK SERI AB RAUF YUSOH
    Majoriti: 364
    Jumlah pengundi: 10,133
    Peratusan keluar mengundi: 72.5% / 7,344

    Undi ditolak: 77

    Kertas undi tidak dikembalikan: 24

    1. Zainal Hassan (PH-PKR) – 489
    2. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN-UMNO) – 3,559
    3. Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Bersatu) – 3,195

    (2018: Datuk Md Rawi Mahmud: BN-UMNO: Maj: 2,864, Undi diperoleh: 4,865)

    N03 AYER LIMAU

    Pemenang: HAMEED MYTHEEN KUNJU BASHEER (BN-UMNO)
    Majoriti: 1,085
    Jumlah pengundi: 11,227
    Peratusan keluar mengundi: 66.7% (7,489 pengundi)

    Undi ditolak: 80

    Kertas undi tidak dikembalikan: 20

    1. Mazenah Baharuddin (PH-Amanah) – 798
    2. Dr. Nordina Abd Latif (PN-Bersatu) – 2,753
    3. Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-UMNO) – 3,838

    (2018: Datuk Amirudin Yusof: BN-UMNO: Maj: 1,479, Undi diperoleh: 4,704)

    N04 LENDU

    Pemenang: DATUK SERI SULAIMAN MD ALI (BN – UMNO)
    Majoriti: 3,104
    Jumlah pengundi: 10,561

    Peratusan keluar mengundi: 67.3% / 7,110

    Undi ditolak: 75

    Kertas undi tidak dikembalikan: 12

    1. Abdullah Mahadi (PN-Bersatu) – 1,382
    2. Mohamad Asri Ibrahim (PH-PKR) – 1,155
    3. Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-UMNO) – 4,486

    (2018: Datuk Seri Sulaiman Md Ali: BN-UMNO: Maj: 627, Undi diperoleh: 4,016)

    N05 TABOH NANING

    Pemenang: ZULKIFLEE MOHD ZIN
    Majoriti: 1,825
    Jumlah pengundi: 8,661 orang
    Peratusan keluar mengundi: 65.4% / 5,660 pengundi

    Undi ditolak: 109

    Kertas undi tidak dikembalikan: 12

    1. Abu Hashim Abdul Samad (PN-PAS) – 1,345
    2. Zulkiflee Mohd Zin (BN-UMNO) – 3,170
    3. Zairi Suboh (PH-Amanah) – 1,024

    (2018: Datuk Latipah Omar: BN-UMNO: Maj: 740, Undi diperoleh: 3,329)

    N06 REMBIA

    Pemenang: DATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS (BN-UMNO)
    Majoriti: 860
    Jumlah pengundi: 15,756
    Peratusan keluar mengundi: 65.7% / 10,355

    Undi ditolak: 182

    Kertas undi tidak dikembalikan: 21

    1. K. Murali (Bebas) – 64
    2. Zamri Pakiri (PH-PKR) – 3,364
    3. Sabarudin Kudus (Bebas) – 67
    4. Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-UMNO) – 4,224
    5. Zamzuri Arifin (PN-Bersatu) – 2,433

    (2018: Datuk Muhammad Jailani Khamis: PH-PKR: Maj: 1,814, Undi diperoleh: 6,773)
    (2021: Menyertai BN-UMNO)

    N07 GADEK

    Pemenang: P SHANMUGAM (BN-MIC)
    Majoriti: 559
    Jumlah pengundi: 12,641
    Peratusan keluar mengundi: 62.2% / 7,867

    1. P. Shanmugam (BN-MIC) – 3,022
    2. Azafen Amin (Bebas/IND) – 60
    3. Laila Norinda Maon (Putra) – 68
    4. Mohan Singh (Bebas) – 23
    5. Mohd Amir Fitri Muharam (PN-Bersatu) – 2,041
    6. G. Saminathan (PH-DAP) – 2,463

    (2018: G. Saminathan: PH-DAP: Maj: 307, Undi diperoleh: 4,392 )

    N08 MACHAP JAYA

    Pemenang: NGWE HEE SEM (BN-MCA)
    Majoriti: 938
    Jumlah pengundi: 12,487
    Peratusan keluar mengundi: 65.3% / 8,150

    Undi ditolak: 137

    Kertas undi tidak dikembalikan: 17

    1. Ngwe Hee Sem (BN-MCA) – 3,732
    2. Law Bing Haw (PH-PKR) – 2,794
    3. Abdul Aziz Osani Kasim (IMAN) – 167
    4. Azlan Daud (Bebas) – 101
    5. Tai Siong Jiul (PN-Bersatu) – 1,202

    (2018: Datuk Ginie Lim Siew Lin: PH-PKR: Maj: 1,336, Undi diperoleh: 5,550)

    N09 DURIAN TUNGGAL

    Pemenang: ZAHARI ABD KALIL (BN-UMNO)
    Majoriti: 559
    Jumlah pengundi: 13,312
    Peratusan keluar mengundi: 69.6% / 9,267 pengundi

    Undi ditolak: 216

    Kertas undi tidak dikembalikan: 18

    1. Mohd Erfan Mahrilar (Bebas/IND) – 58
    2. Zahari Abd. Kalil (BN-UMNO) – 3,663
    3. Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (PH-Amanah) – 3,104
    4. Ja’afar Othman (PN-PAS) – 2,208

    (2018: Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab: PH-Amanah: Maj: 763, Undi diperoleh: 5,213)

    N10 ASAHAN

    Pemenang: FAIRUL NIZAM ROSLAN (BN-UMNO)
    Majoriti: 2,993
    Jumlah pengundi: 15,745
    Peratusan keluar mengundi: 65.2% / 10,263

    Undi ditolak: 262

    Kertas undi tidak dikembalikan: 33

    1. Mohd Noor Salleh (Bebas) – 44
    2. Fairul Nizam Roslan (BN-UMNO) – 5,659
    3. Azmar Ab Hamid @ Sha’aim (Bebas) – 99
    4. B. Dhanesh (PN-Gerakan) – 1,364
    5. Datuk Seri Idris Haron (PH-PKR) – 2,666
    6. Mohd Akhir Ayob (Bebas) – 136

    (2018: Datuk Seri Abdul Ghafar Atan: BN-UMNO: Maj: 275, Undi diperoleh: 5,942)

    N11 SUNGAI UDANG

    Pemenang: DR MOHD ALEEF YUSOF (PN – BERSATU)
    Majoriti: 530
    Jumlah pengundi: 22,793
    Peratusan keluar mengundi: 70.2% / 15,990

    Undi ditolak: 409

    Kertas undi tidak dikembalikan: 27

    1. Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (BN-UMNO) – 6,259
    2. Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Bersatu) – 6,789
    3. Hasmorni Tamby (PH-PKR) – 2,035
    4. Mohd Zahar Hashim (Bebas) – 471

    (2018: Datuk Seri Idris Haron: BN-UMNO: Maj: 2,229, Undi diperoleh: 10,073)
    (2021: Menjadi Bebas)

    N12 PANTAI KUNDOR

    Pemenang: TUMINAH KADI @ MOHD HASHIM (BN-UMNO)
    Majoriti: 827
    Jumlah Pengundi: 15,470
    Peratusan keluar mengundi: 65.1% / 10,072

    1. Mohamad Ridzwan Mustafa (PN-Bersatu) – 3,133
    2. Datuk Nor Azman Hassan (PH-Amanah) – 2,799
    3. Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-UMNO) – 3,960

    (2018: Datuk Nor Azman Hassan: BN-UMNO: Maj: 772, Undi diperoleh: 5,773)
    (2021: Menjadi Bebas)

    N13 PAYA RUMPUT

    Pemenang: DATUK RAIS YASIN (BN-UMNO)
    Majoriti: 629
    Jumlah pengundi: 26,455
    Peratusan keluar mengundi: 66.2% / 17,503

    Undi ditolak: 234

    Kertas undi tidak dikembalikan: 58

    1. Datuk Rais Yasin (BN-UMNO) – 6,830
    2. Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin (PH-PKR) – 6,201
    3. Muhammad Faris Izwan Mazlan (PN-Bersatu) – 3,972
    4. Mohamad Hashidi Mohd Zain (Putra) – 81
    5. Mohd Jaini Dimon (Bebas) – 127

    (2018: Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen: PH-Bersatu: Maj: 4,259, Undi diperoleh 12,102)
    (2020: Menjadi PN-Bersatu)

    N14 KELEBANG

    Pemenang: DATUK LIM BAN HONG (BN-MCA)
    Majoriti: 789
    Jumlah pengundi: 19,976
    Peratusan keluar mengundi: 66.3% / 13,247

    Undi ditolak: 140

    Kertas undi tidak dikembalikan: 43

    1. Bakri Jamaluddin (PN-PAS) – 3,884
    2. Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA) – 5,028
    3. Datuk Gue Teck (PH-PKR) – 4,152

    (2018: Datuk Gue Teck: PKR: Maj: 789, Undi diperoleh:7,648)

    N15 PENGKALAN BATU

    Pemenang: DATUK KALSOM NORDIN (BN-UMNO)
    Majoriti: 131
    Jumlah pengundi: 20,821
    Peratusan keluar mengundi: 66.5% / 13,844

    Undi ditolak: 261

    Kertas undi tidak dikembalikan: 55

    1. Muhamad Danish Zainudin (PH-DAP) – 4,708
    2. Mohd Azrudin Md Idris (PN-Bersatu) – 2,681
    3. Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) – 1,218
    4. Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) – 82
    5. Datuk Kalsom Nordin (BN-UMNO) – 4,839

    (2018: Datuk Norhizam Hassan Baktee: PH-DAP: Maj: 2,756, Undi diperoleh, 9,227)
    (2020: Menjadi Bebas)

    N16 AYER KEROH

    Pemenang: KERK CHEE YEE (PH-DAP)
    Majoriti: 5,624
    Jumlah pengundi: 25,945
    Peratusan keluar mengundi: 61.9% / 16,049

    Undi ditolak: 201

    Kertas undi tidak dikembalikan: 75

    1. Yong Fun Juan (BN-MCA) – 3,835
    2. Kerk Chee Yee (PH-DAP) – 9,459
    3. Datuk Seri Micheal Gan Peng Lam (PN-Gerakan) – 2,479

    (2018: Kerk Chee Yee: PH-DAP: Maj: 9,261, Undi diperoleh: 14,279)

    N17 BUKIT KATIL

    Pemenang: ADLY ZAHARI (PH-AMANAH)
    Majoriti: 1,057
    Jumlah pengundi: 25,410
    Peratusan keluar mengundi: 65.9% / 16,749

    Undi ditolak: 311

    Kertas undi tidak dikembalikan: 61

    1. Datuk Hasnoor Sdg Husin (BN-UMNO) – 5,748
    2. Abdul Hamid Mustapah (Bebas) – 109
    3. Adly Zahari (PH-Amanah) – 6,805
    4. Muhammad Al Afiz Yahya (PN-PAS) – 3,715

    (2018: Adly Zahari: PH-Amanah: Maj: 3,159, Undi diperoleh 11,226)

    N18 AYER MOLEK

    Pemenang: DATUK RAHMAD MARIMAN (BN-UMNO)
    Majoriti: 2,802
    Jumlah pengundi: 17,863
    Peratusan keluar mengundi: 71.3% / 12,735

    Undi ditolak: 275

    Kertas undi tidak dikembalikan: 30

    1. Datuk Rahmad Mariman (BN-UMNO) – 6,348
    2. Ahmad Muaz Idris (Bebas) – 90
    3. Mohd Fadly Samin (PN-Bersatu) – 3,546
    4. Mohd Rafee Ibrahim (PH-PKR) – 2,446

    (2018: Datuk Rahmad Mariman: BN-UMNO: Maj: 1,805, Undi diperoleh 6,951)

    N19 KESIDANG

    Pemenang: SEAH SOO CHIN (PH-DAP)
    Majoriti: 10,237
    Jumlah pengundi: 37,304
    Peratusan keluar mengundi: 61.1% / 22,787

    1. Patrick Ng Chin Kae (PN-Gerakan) – 3,124
    2. Seah Shoo Chin (PH-DAP) – 14,769
    3. Leong Hui Ying (BN-MCA) – 4,532

    (2018: Seah Shoo Chin (Allex Seah): PH-DAP: Maj: 14,612, Undi diperoleh: 22,880)

    N20 KOTA LAKSAMANA

    Pemenang: LOW CHEE LEONG (PH – DAP)
    Majoriti: 11,494
    Jumlah pengundi: 28,777
    Peratusan keluar mengundi: 58.9% / 16,938 pengundi

    Undi ditolak: 163

    Kerta undi tidak dikembalikan: 63

    1. Fong Khai Ling (PN-Gerakan) – 1,190
    2. Low Chin Hong (BN-MCA) – 2,014
    3. Low Chee Leong (PH-DAP) – 13,508

    (2018: Low Chee Leong: PH-DAP: Maj: 16,173, Undi diperoleh: 20,181)

    N21 DUYONG

    Pemenang: MOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM (BN-UMNO)
    Majoriti: 200
    Jumlah pengundi: 18,237
    Peratusan keluar mengundi: 68.2% / 12,436

    Undi ditolak: 173

    Kertas undi tidak dikembalikan: 52

    1. Gan Tian Soh (Bebas) – 60
    2. Mohd Faizal Amzah (Putra) – 52
    3. Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-UMNO) – 4,684
    4. Damian Yeo Shen Li (PH-DAP) – 4,484
    5. Datuk Kamarudin Sidek (PN-PAS) – 2,874
    6. Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) – 57

    (2018: Damian Yeo Shen Li: PH-DAP: Maj: 2,895, Undi diperoleh: 7,624)

    N22 BANDAR HILIR

    Pemenang: LENG CHAU YEN (PH-DAP)
    Majoriti: 7,778
    Jumlah pengundi: 19,909
    Peratusan keluar mengundi: 57.5% / 11,457

    Undi ditolak: 226

    Kertas undi tidak dikembalikan: 34

    1. Mak Chee Kin (Bebas) – 159
    2. Leng Chau Yen (PH-DAP) – 9,091
    3. Lee Kah Sean (BN-MCA) – 1,313
    4. Clarice Chan Ming Wang (PN-Gerakan) – 634

    (2018: Tey Kok Kiew: PH-DAP: Maj: 11,313, Undi diperoleh: 14,038)

    N23 TELOK MAS

    Pemenang: DATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN (BN-UMNO)
    Majoriti: 2,076
    Jumlah pengundi: 20,712
    Peratusan keluar mengundi: 69.4% / 14,370

    Undi ditolak: 245

    Kertas undi tidak dikembalikan: 53

    1. Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (PN-Bersatu) – 3,976
    2. Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas) – 153
    3. Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH-Amanah) – 3,891
    4. Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-UMNO) – 6,052

    (2018: Datuk Noor Effandi Ahmad: PH-Bersatu: Maj: 1,288, Undi diperoleh: 7,694)
    (2021: Menjadi Bebas)

    N24 BEMBAN

    Pemenang: DR MOHD YADZIL YAAKUB (PN-BERSATU)
    Majoriti: 328
    Jumlah pengundi: 18,573
    Peratusan keluar mengundi: 66.8% / 12,403

    Undi ditolak: 197

    Kertas undi tidak dikembalikan: 37

    1. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bersatu) – 4,211
    2. Azmi Kamis (Bebas) – 130
    3. Ng Choon Koon (Bebas) – 850
    4. Tey Kok Kiew (PH-DAP) – 3,095
    5. Koh Chin Han (BN-MCA) – 3,883

    (2018: Datuk Dr Wong Fort Pin: PH-DAP: Maj: 1,345, Undi diperoleh: 6,998)

    N25 RIM

    Pemenang: DATUK KHAIDIRAH ABU ZAHAR (BN-UMNO)
    Majoriti: 1,327
    Jumlah pengundi: 13,672
    Peratusan keluar mengundi: 66.4% / 9,082

    Undi ditolak: 143

    Kertas undi tidak dikembalikan: 29

    1. Azalina Abdul Rahman (PN-Bersatu) – 2,710
    2. B. Prasanth Kumar (PH-PKR) – 2,163
    3. Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-UMNO) – 4,037

    (2018: Datuk Ghazale Muhamad: BN-UMNO: Maj: 536, Undi diperoleh: 5,301)

    N26 SERKAM

    Pemenang: DATUK ZAIDI ATTAN (BN-UMNO)
    Majoriti: 79
    Jumlah pengundi: 15,977
    Peratusan keluar mengundi: 74.2% / 11,861

    Undi ditolak: 200

    Kertas undi tidak dikembalikan: 30

    1. Norazlanshah Hazali (Bebas) – 99
    2. Ahmad Bilal Rahudin (PN – PAS) – 4,959
    3. Muhammad Khomeini Kamal (PH – Amanah) – 1,535
    4. Datuk Zaidi Attan (BN – UMNO) – 5,038

    (2018: Datuk Zaidi Attan: BN-UMNO: Maj: 2,737, Undi diperoleh: 6,401)

    N27 MERLIMAU

    Pemenang: DR MUHAMAD AKMAL SALEH (BN-UMNO)
    Majoriti: 3,248
    Jumlah pengundi: 14,014
    Peratusan keluar mengundi: 69.8% / 9,788

    Undi ditolak: 122

    Kertas undi tidak dikembalikan: 26

    1. Azrin Ab Majid (PH-Amanah) – 2,385
    2. Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO) – 5,633
    3. Abd Alim Shapie (PN-PAS) – 1,622

    (2018: Datuk Roslan Ahmad: BN-UMNO: Maj: 130, Undi diperoleh: 5,290 )

    N28 SUNGAI RAMBAI

    Pemenang: SITI FAIZAH ABDUL AZIS (BN-UMNO)
    Majoriti: 1,137
    Jumlah pengundi: 11,837
    Peratusan keluar mengundi: 68.5% / 8,112

    Undi ditolak: 189

    Kertas undi tidak dikembalikan: 18

    1. Muhammad Jefri Safry (PN-Bersatu) – 2,664
    2. Farzana Hayani Mohd Nasir (PH-PKR) – 1,356
    3. Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) – 84
    4. Siti Faizah Abdul Azis (BN-UMNO) – 3,801

    (2018: Datuk Hasan Abd Rahman: BN-UMNO: Maj: 1,669, Undi diperoleh: 5,088)

  • Individu positif COVID-19 dikesan mengundi PRN Melaka

    Individu positif COVID-19 dikesan mengundi PRN Melaka

    SEORANG individu yang mengundi di Alor Gajah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini dikesan positif COVID-19.

    Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut beliau, hari ini, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menerima notifikasi daripada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Melekek bahawa terdapat seorang kes positif COVID-19 yang keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di Alor Gajah.

    “Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi.

    “Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala sewaktu mengundi,” katanya.

    Dr Rusdi menambah, sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah mengambil tindakan segera iaitu mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi bagi proses disinfeksi menyeluruh.

    Beliau memberitahu, disinfeksi telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    “SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baharu.

    “Pasukan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan disinfeksi dijalankan secara teratur,” jelasnya.

    Dr Rusdi berkata, pihaknya memandang serius perkara yang berlaku dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

    “Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah,” ujarnya.

    Beliau juga memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

    “Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Persediaan dan Tindakan (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected],” katanya.

  • Proses pengundian PRN Melaka berjalan lancar

    Proses pengundian PRN Melaka berjalan lancar

    PELAKSANAAN prosedur pengundian berjalan lancar setakat ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan pengundi, bertepatan dengan norma baharu ketika perang melawan COVID-19 masih belum selesai.

    Tinjauan Bernama mendapati Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini sempat melawat dua pusat pengundian bagi meninjau kelancaran prosedur mengundi tersebut dan pematuhan SOP oleh pengundi.

    Tiba pada 10.15 pagi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh, beliau meluangkan masa hampir 20 minit melawat saluran-saluran pengundian dan menyantuni pengundi serta petugas-petugas SPR di pusat mengundi itu.

    Beliau juga sempat meninjau khemah pusat mengundi khas yang disediakan bagi pengundi bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius.

    Abdul Ghani juga meluangkan masa selama 30 minit ‘turun padang’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil di sini dan berpuas hati dengan kelancaran prosedur pengundian dan pengurusan SPR bagi mengelakkan kesesakan terutama apabila terdapat jumlah pengundi yang ramai pada satu-satu masa.

    Kedua-dua pusat pengundian berkenaan juga tenang dan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

    Pengundi diingatkan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

    Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    12.30 tengah hari: Bilangan pengundi yang hadir ke pusat mengundi di SK Durian Daun, Masjid Tanah semakin berkurang dengan cuaca masih panas terik.

    11.30 pagi: Pengundi tetap bersemangat menunaikan kewajipan meskipun cuaca panas terik di pusat mengundi SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    11 pagi : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau kelancaran proses mengundi dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sekolah Menengah Bukit Katil.

    10:40 pagi: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau tempat mengundi khas dan kelancaran proses mengundi di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh.

    10:20 pagi: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau kelancaran proses mengundi dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh.

    10.08 pagi: Petugas KKM menjalankan proses sanitasi secara berkala di pusat mengundi SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    9.30 pagi: Calon Bebas bagi DUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee selesai mengundi di Sekolah Rendah Agama JAIM,Taman Datuk Thamby Chik Karim.

    8.56 pagi: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Peringgit pada pukul 8:55 pagi.

    8.47 pagi: Calon BN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tiba di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah untuk mengundi.

    8.46 pagi: Calon BN DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selesai memgundi di SK Jeram, Masjid Tanah

    8.25 pagi: Calon DUN Bukit Katil Adly Zahari selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bersama isteri Dalilah Awaludin di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

    8.22 pagi: Pesakit yang menerima rawatan turut keluar mengundi di SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    8.19 pagi: Calon BN DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tiba di pusat mengundi SK Jeram, Masjid Tanah

    8.18 pagi: Petugas KKM bersedia di khemah tempat mengundi khas sekiranya terdapat pengundi yang bergejala di SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    8.12 pagi: Datuk Mas Ermieyati selesai mengundi di SK Ramuan China Besar.

    8.10 pagi: Pengundi mula menunaikan tanggungjawab mereka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini.

    8.06 pagi: Pengundi mula membuang di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah, keadaan tenang dan terkawal serta teratur.

    8.04 pagi: Cuaca mulai hujan renyai dan pengundi mula dibenarkan masuk ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

    8.03 pagi: Petugas SPR membantu menolak warga emas yang uzur untuk dibawa ke pusat mengundi

    7.58 pagi: Calon PN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tiba di pusat mengundi SK Ramuan China, Alor Gajah Melaka

    7.56 pagi: Warga emas beratur sebelum memasuki pusat mengundi yang akan dibuka pada pukul 8 pagi di SK Jeram, Masjid Tanah

    7.54 pagi: Petugas SPR membuat persiapan terakhir sebelum sesi pengundian bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini.

    7.53 pagi: Para pengundi menunggu untuk menjalankan kewajipan mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah selepas menjalani saringan suhu badan serta menyemak daftar pemilih.

    7.51 pagi: Petugas SPR bersedia dengan memakai pelindung muka dan sarung tangan bagi proses pengundian di SK Ramuan China Besar Alor Gajah

    7.45 pagi: Kelihatan pengundi telah mula beratur menunggu Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

    7.41 pagi: Sebahagian pengundi telah tiba dan menunggu giliran untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini.

    7.40 pagi: Semakin ramai pengundi tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah yang terlebih dahulu perlu menjalani saringan suhu badan serta menyemak daftar pemilih.

    7.38 pagi: Beg yang menempatkan kotak undi telah diletakkan stesyen mengundi di SK Ramuan China Besar

    7.35 pagi: Petugas KKM dari Klinik Kesihatan Bukit Cina melakukan persediaan di Pusat Mengundi SK Ramuan China Masjid Tanah

    7.15 pagi: Polis mengawal pintu masuk pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah. – BERNAMA

  • Pesakit strok naik ambulans pergi mengundi

    Pesakit strok naik ambulans pergi mengundi

    SEORANG pesakit strok dibawa menaiki ambulans demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

    Abdul Rahim Yaacob, 57, yang merupakan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dibawa dari kediamannya di Kampung Durian Daun, kira-kira 2.4 kilometer dari pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun `K’ menggunakan ambulans St. John Ambulance Malaysia.

    Beliau yang menghidap strok ringan sejak lapan bulan lepas berkata petugas di pusat mengundi itu banyak membantunya terutama menolak kerusi roda bagi menunaikan undi.

    “Kalau hilang satu undi, kita rugi, jadi pakcik undilah…walaupun tak sihat dalam keadaan strok, jadi kerana negara kenalah tunaikan kewajipan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.

    Proses pengundian PRN Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN hingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    PRN itu diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • PRN Melaka banyak peristiwa, situasi ‘pertama kali’

    PRN Melaka banyak peristiwa, situasi ‘pertama kali’

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan beberapa situasi ‘pertama kali’ berlaku, bermula pada hari penamaan calon 8 Nov lepas.

    Melaka melakar sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan ia negeri pertama mengikuti langkah Sabah yang bertukar ketua menteri sebanyak tiga kali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

    Selain itu, bumi Hang Tuah itu juga buat pertama kali dalam sejarahnya mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya pusat seperti kelaziman sebelum ini.

    PRN Melaka ini membariskan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) selain wujud satu Gagasan Bebas yang meliputi 13 calon, buat julung kalinya menyertai proses demokrasi negara.

    Pada pilihan raya negeri ini juga, PAS buat pertama kali ‘berkorban’ lambang sendiri dengan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

    Kali pertama PAS tidak menggunakan lambangnya adalah pada PRU keempat pada 1974 dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada PRU kelima yang diadakan pada 1978.

    Parti Gerakan yang sebelum ini menggunakan lambang BN sebelum meninggalkan gabungan itu pada 23 Jun 2018 selepas PRU14, turut menggunakan logo PN pada PRN Melaka.

    Mengenai calon pula, Datuk Norhizam Hassan Baktee buat pertama kalinya bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu yang dimenangi pada PRU14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).

    Pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah PN, lalu dipecat oleh DAP.

    Melaka juga bakal mencipta sejarah sekiranya Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding menentang Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Zainal Hassan (PH) di DUN Tanjung Bidara, dilantik Ketua Menteri wanita pertama sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan negeri.

    Sebelum ini, jawatan Ketua Menteri Melaka telah disandang oleh 12 pemimpin dengan individu pertama adalah Tan Sri Osman Talib, diikuti Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Talib Karim, Datuk Setia Abdul Ghani Ali, Datuk Seri Adib Adam dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

    Turut tersenarai sebagai bekas Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Seri Idris Haron, Adly Zahari dan terakhir ialah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    PRN yang berlangsung di tengah-tengah pandemik COVID-19 juga menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara diselaraskan dengan beberapa larangan dikenakan termasuk ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka. – BERNAMA

  • Hujan renyai tak halang orang Melaka keluar awal mengundi

    Hujan renyai tak halang orang Melaka keluar awal mengundi

    HUJAN renyai di beberapa kawasan pagi ini tidak menghalang pengundi keluar seawal 7.30 pagi, beratur di luar pusat mengundi merangkumi antaranya sekolah dan dewan bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Tinjauan Bernama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar di Alor Gajah mendapati rata-rata yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kawasan mereka, terdiri daripada golongan warga emas.

    Usia dan pergerakan terhad akibat masalah kesihatan juga tidak menghalang mereka untuk keluar mengundi.

    Maimun Hasan, 78, yang berkerusi roda menjadi pengundi pertama tiba di SK Durian Daun, Masjid Tanah kira-kira 7.35 pagi manakala Abdul Rahim Yaacob, 57, yang menghidap penyakit strok turut tiba awal untuk menunaikan haknya di pusat pengundian sama.

    Selain golongan warga emas, turut keluar awal mengundi adalah mereka yang bertanding, antaranya calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengundi di SK Ramuan China Besar sejurus pusat pengundian dibuka.

    Begitu juga dengan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Katil, Adly Zahari yang tiba di SK Durian Tunggal, pada 8.10 pagi.

    Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengundi di SK Kampung Jeram pula menunaikan tanggungjawabnya pada 8.43 pagi diikuti Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan calon BN DUN Lendu yang mengundi di SK Durian Daun.

    Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang merupakan calon BN DUN Sungai Udang pula tiba untuk mengundi pukul 8.47 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini diikuti calon PH DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron, yang tiba di pusat pengundian itu bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dengan menaiki motosikal Yamaha 135LC.

    Proses pengundian di Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    Pada 16 Nov lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

    Proses pengundian juga menyaksikan amalan norma baharu apabila pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka hari ini berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman. – BERNAMA