Tag: PRN Kelantan

  • PN mampu sapu semua kerusi DUN Kelantan – Pemimpin Bersatu

    PN mampu sapu semua kerusi DUN Kelantan – Pemimpin Bersatu

    BERSATU Kelantan meletakkan keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menawan semua 45 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Pengerusinya Datuk Kamaruddin Md Nor berkata sasaran itu tidak mustahil boleh dicapai berdasarkan momentum sokongan pengundi terhadap PN pada PRU15 lalu.

    “Gelombang sokongan rakyat terhadap PN sudah dibuktikan pada PRU15 khususnya di Kelantan apabila kita berjaya menang di kesemua 14 kerusi parlimen.

    “Jadi bagi PRN kita dengan menjadilan PRU lepas sebagai penanda aras, tidak mustahil kita boleh saou bersih kesemua kerusi DUN dalam PRN nanti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan PN Kelantan dan sasaran parti itu menjelang PRN yang dijangka berlangsung antara Jun dan Julai nanti.

    Kelantan ditadbir Pas sejak tahun 1990 sekali gus dikenali sebagai kubu kuat pembangkang ketika era pemerintahan BN di peringkat pusat.

    Pada PRU14 lalu Pas menang di 37 kerusi DUN berbanding lapan dimenangi UMNO.

    Sementara itu Kamaruddin berkata, dengan prestasi semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan BN pihaknya yakin sokongan terhadap PN akan berterusan.

    “Rakyat sudah semakin sedar dengan prestasi buruk kerajaan persekutuan yang ada sekarang, jadi tidak mustahil kita akan ulangi kejayaan seperti mana PRU lalu pada PRN nanti.

    “Tetapi sudah tentu kita perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar sekali lagi,” katanya.

    Ditanya mengenai agihan kerusi antara parti dalam PN katanya, perkara itu masih dalam proses dan diharap akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “Agihan kerusi belum selesai sepenuhnya, kita harap ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat supaya gerak kerja dan persediaan berdepan PRN dapat dibuat lebih awal,” jelasnya.

  • PRN Kelantan: Pas yakin menang 45 kerusi

    PRN Kelantan: Pas yakin menang 45 kerusi

    PAS yakin mampu memenangi kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai ini.

    Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berlandaskan kemenangan bergaya Pas yang menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen dengan majoriti puluhan ribu setiap kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

    “Sasaran kita ialah untuk memenangi semua kerusi seperti mana PRU lalu dan kemungkinan mencapai kemenangan itu adalah tinggi.

    “PRN nak capai 90 peratus pun boleh. Termasuk kerusi dipegang Barisan Nasional (BN) manakala kerusi-kerusi lain yang sedia disandang akan kekal hak kami,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dhuafa’ dan sumbangan RM60,000 kepada Masjid Al-Alaq di Kampung Pak Kemek di Kota Bharu hari ini.

    Pada PRU14, Pas mempertahankan Kelantan dengan penguasaan di 37 kerusi DUN negeri itu manakala BN menang tujuh (kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya memenangi satu kerusi.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengingatkan UMNO agar lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan DAP.

    “Pas ada pengalaman dan jelas tidak boleh menerima parti terbabit.
    “Kami ingatkan UMNO supaya belajar daripada pengalaman kami. Selepas berkawan baru ada pengalaman. Harap UMNO tidak ulangi kesilapan Pas,” katanya, Sinar Harian.

    Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan UMNO menjemput DAP bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), beliau berkata, UMNO berhak untuk menjemput sesiapa sahaja untuk menghadiri perhimpunan mereka.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu mungkin akan menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.