Tag: PRN Kedah

  • ‘Kurang diplomasi’ tapi popular, Sanusi mampu pacu PN – Penganalisis

    ‘Kurang diplomasi’ tapi popular, Sanusi mampu pacu PN – Penganalisis

    SEORANG penganalisis mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan meraih manfaat jika mengekalkan Datuk Seri Sanusi Md Nor sebagai “poster boy” gabungan politik itu untuk PRN Kedah tahun ini, walaupun beliau dilihat sebagai individu kontroversi.

    Menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, Sanusi cukup popular di Kedah khususnya dalam kalangan penyokong Pas.

    “Sanusi mungkin kurang berdiplomasi kebanyakan masanya, tetapi bagi penyokong Pas, malah segelintir orang Melayu, perkara itu tidak penting. Jadi, PN membuat pilihan bijak mengekalkannya sebagai ‘poster boy’,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya semalam dilaporkan berkata, Sanusi akan terus menerajui kerajaan negeri sekiranya parti itu kekal berkuasa di Kedah.

    Pas dan Bersatu adalah sekutu dalam PN yang mempunyai 21 kerusi dalam DUN, iaitu masing-masing 15 dan enam kerusi.

    Ahmad berkata, kegigihan Sanusi melindungi kepentingan negeri, digabung dengan desakan politik terhadap lawannya antara perkara yang menyumbang kepada popularitinya.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, Sanusi juga berani bertegas dengan kerajaan persekutuan yang turut dipandang positif penyokongnya.

    Beliau memetik tindakan Sanusi mempertahankan pembangunan lapangan terbang Kulim dengan menegaskan projek itu dibiayai sepenuhnya sektor swasta dan tidak akan membebankan Putrajaya dari segi kewangan.

    Katanya, bekas menteri besar Kedah pernah mengambil pendirian sama berhubung cadangan lapangan terbang itu. Projek itu dicadangkan pada 2018 oleh Menteri Besar ketika itu, Mukhriz Mahathir, yang kini presiden Pejuang.

    “Selalunya, tidak bagus untuk negeri ‘melawan’ kerajaan persekutuan…tetapi Sanusi sekadar mengikut jejak pendahulunya, menjadikan beliau sangat disenangi dan dihormati rakyat Kedah,” kata Azmi.

    Bagaimanapun, James Chin dari Universiti Tasmania berpendapat, keputusan PN kekal memilih Sanusi disebabkan gabungan itu tiada pemimpin terkemuka lain yang mampu menggantikannya.

    “Sanusi aktif di media sosial dan bercakap perkara kontroversi. Tiada siapa yang profilnya setinggi beliau.

    “Memandangkan PRN kira-kira empat bulan lagi, PN tiada masa memperkenalkan orang baharu,” katanya sambil menambah kenyataan kontroversi Sanusi hanya akan menarik kumpulan khusus pengundi Melayu.

  • Terima hakikat kerusi menang PH kekal ditandingi PH – Mahfuz

    Terima hakikat kerusi menang PH kekal ditandingi PH – Mahfuz

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan parti-parti yang berada dalam kerajaan Perpaduan untuk menerima hakikat bahawa kerusi dimenangi mana-mana parti akan kekal ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Mahfuz berkata, kaedah pembahagian tersebut sudah biasa diamalkan dalam PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, namun situasinya mungkin berbeza apabila melibatkan Barisan Nasional (BN) yang kini sebahagian rakan kerjasama dalam kerajaan.

    “Asas pembahagian sudah ada iaitu semua pihak yang berada dalam kerajaan Perpaduan perlu menerima hakikat bahawa kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan terus menjadi hak mereka untuk bertanding.

    “Kerusi dimenangi BN akan terus dipertahankan mereka, kemudian kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika bersama PH akan kekal milik PH seperti diumum Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mereka menang atas PH,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH menang 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah termasuk lima yang dimenangi Bersatu iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam, Jitra dan Anak Bukit.

    Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, PH Kedah akan menunggu format pengagihan kerusi yang mungkin diputuskan pada pertemuan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, 19 Mac ini sebelum meneruskan rundingan secara rasmi bersama BN di negeri itu.

    “Saya percaya bahawa akan ada penyelesaian pada 19 Mac nanti. Bagaimana format untuk kerusi itu, tetapi pendiriannya begitulah dan saya percaya mungkin akan ada sedikit kelonggaran,” katanya.

    Tambahnya, hanya beberapa perbincangan tidak rasmi diadakan bersama BN termasuk bertemu Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pimpinan lain bagi membincangkan perkara berkaitan PRN.

    “Kita nak tunggu pertemuan 19 Mac ini. Apakah bentuk format yang akan digariskan oleh sekretariat di peringkat nasional untuk menentukan bagaimana pengagihan kerusi yang akan dibuat.

    “Jadi (keputusannya nanti) kita akan laksanakan di peringkat negeri supaya proses pengagihan itu boleh dibuat seperti mana sekretariat tentukan di peringkat nasional,” tegasnya.

    Dalam perkembangan lain, Mahfuz menganggap pemilihan UMNO kelak akan memantapkan jentera pilihan raya bersama antara PH dan BN untuk berdepan PRN kerana ahli-ahli UMNO sendiri sudah pasti mahu memastikan kerajaan Perpaduan terus mantap.

    “UMNO-BN kini sebahagian daripada kerajaan Perpaduan yang mesti diperkukuhkan, saya tak nampak ia akan memberi kesan yang negatif tetapi sebaliknya kesan yang lebih positif untuk pilihan raya khususnya di negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, Mahfuz menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meletak jawatan susulan kenyataan yang didakwanya mempersenda agama Islam apabila mengaitkan perbuatan melontar jamrah ketika ibadah haji dengan pilihan rakyat pada PRN akan datang.

    Beliau sehubungan itu meminta pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara terutama di Kedah mengambil tindakan segera terhadap kenyataan berbentuk ‘takrifi’ selain’ fatwa-fatwa politik’ yang didakwanya sebagai sesat kerana memberi gambaran tidak baik kepada agama Islam, selain mencemarkan Institusi Diraja sebagai ketua agama Islam.

    “Saya minta pihak berkuasa agama harus bertegas dalam soal fatwa yang sangat tidak wajar ini, khususnya fatwa Menteri Besar yang kata orang BN yang pergi ke Mekah melontar syaitan tetapi (apabila) balik berkawan dengan syaitan. Ini amat biadab,” katanya.

    Minggu lalu, menerusi satu video yang tular di aplikasi media sosial, Muhammad Sanusi menyatakan pengundi BN yang menunaikan haji pulang ke tanah air bagi mengundi kumpulan yang didakwanya sebagai ‘syaitan’ di dalam PRN akan datang.

  • Kampung saya di Jeneri, Mahfuz patut bertanding di Derga – Sanusi

    Kampung saya di Jeneri, Mahfuz patut bertanding di Derga – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Datuk Mahfuz Omar lebih layak untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lebih sesuai bertanding di salah satu kerusi berkenaan kerana beliau perlu bergantung kepada undi kaum Cina yang ramai di kawasan itu untuk menang.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau selesa untuk terus bertanding di DUN Jeneri yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    “Saya dah ada DUN saya di Jeneri, kampung saya di situ, adik-beradik saya di situ. Dia (Mahfuz) saya tak tau kampung mana, adik-beradik dok (tinggal) mana, pasaipa (kenapa) dia suruh saya pi situ (bertanding).

    “Cadangan biar munasabah dan masuk akal, bagi dia lah bertanding di situ sebab Mahfuz sesuai kerana dia pun akhir-akhir ini bergantung kepada undi (orang) Cina untuk menang. Kalau (pengundi) Cina tak sokong dia dia pun tak menang.

    “Bagi dia Kota Darul Aman atau Derga kalau dia nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ada harapan dia jadi wakil rakyat (apabila) bertanding di tempat pengundi Cina ramai sebab pengundi Melayu tak mau dia,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tanah dan Perasmian Kampung Sejahtera di Teloi, Sik hari ini.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi dicabar Mahfuz untuk meninggalkan DUN Jeneri dan bertanding di Derga atau Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bagi membuktikan sokongan keseluruhan rakyat Kedah terutama di kawasan yang dianggap sukar untuk menang.

    Mahfuz berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memperlihat dirinya sebagai seorang Menteri Besar yang memiliki sokongan masyarakat secara menyeluruh dari rakyat Kedah.

    Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi meminta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk berterusan membuat laporan polis terhadapnya berkaitan Pulau Pinang yang merupakan negeri pajakan kepada Kedah.

    “Faktanya adalah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang sebanyak RM10 juta (sumbangan khas) dan RM10,000 (royalti) sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.

    “Jadi kalau tak pajak, bayar buat apa, Rayer buta sejarah tak tau apa. Buatlah laporan (polis) 100 kali pun memang faktanya macam itu,” katanya.

  • BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    PAKATAN Harapan (PH) Kedah tidak bercadang memberi laluan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) bertanding di mana-mana kerusi DUN milik gabungannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan itu hanya sudi membincangkan pengagihan kerusi disandang Perikatan Nasional (PN).

    “Kalau telah dimenangi PH ia kekal milik PH, kita tak boleh ubah. Tiga DUN dimenangi BN pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu akan kekal kepada BN, kita PH tak boleh usik,” kata Mahfuz dipetik laporan Free Malaysia Today.

    Dalam kedudukan sekarang, PH menduduki sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala BN dua kerusi, berbanding 21 kerusi PN.

    ADUN Guar Chempedak keluar UMNO pada 2018 untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan kemudian menyertai Bersatu.

    Mahfuz berkata sehingga Kini PH dan BN Kedah belum mengadakan perbincangan rasmi menghadapi PRN nanti walaupun sudah ditubuhkan Sekretariat Kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang bermesyuarat di pejabat UMNO baru-baru ini.

    “Tapi pertemuan tak rasmi ada dibuat,” katanya.

    Mahfuz mensasarkan sekurang-kurangnya 19 DUN untuk ditawan PH-BN pada PRN kelak.

    “PH sekarang ada 13 DUN, BN tiga berdasarkan keputusan PRU lepas, jadi kita perlu cari tiga DUN lagi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya lagi.

    Sementara itu, Mahfuz yang kalah semasa PRU-15 lalu di kerusi Parlimen Pokok Sena berkata populariti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya sementara sahaja.

    “Dia hanya popular seperti kumpulan lawak. Bila tak ada lawak habislah,” katanya.