Tag: PRN Johor

  • Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    DALAM surat kelima kepada Bangsa Johor yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan mereka agar menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Berikut adalah petikan kandungan surat tersebut seperti yang disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini:

    Pilihan saudara dan saudari bukan sekadar menentu siapa yang akan memerintah Johor tetapi akan menjadi kayu pengukur hala tuju politik Negara di dalam pilihanraya mum yang akan datang.

    Perkara utama yang saya tekan ialah menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Ada yang memandang remeh isu rasuah dan menganggap ia tidak sepenting isu untuk meneruskan kehidupan seharian.

    Saya setuju meneruskan kehidupan yang stabil amat penting tetapi jika dipilih Kerajaan perasuah, penyalahguna kuasa dan penyangak, kestabilan negara tidak akan tercapai.

    Empayar-empayar Islam dan bukan Islam yang maha hebat dahulu telah jatuh kerana pemimpin pemimpinnya perasuah atau tidak menyekat amalan rasuah di kalangan pentadbir dan pegawainya.

    Rasuah ini seperti api di dalam sekam yang tidak kelihatan sangat kerosakan pada permulaan, tetapi apabila ianya menjadi nyata, ia sudah terlambat untuk diselamat.

    Perjuangan melawan perasuah-perasuah, penyamun-penyamun dan penyangak-penyangak bukan untuk yang muda sahaja.

    Selagi ada hayat perjuangan in mesti diteruskan.

  • Walaupun dikhianati Noraini, Muhyiddin tetap bersikap gentleman

    Walaupun dikhianati Noraini, Muhyiddin tetap bersikap gentleman

    RAMAI penyokong Perikatan Nasional (PN) yang menghadiri Ceramah Umum PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di pekarangan Pejabat PN / Bersatu Bahagian Parit Sulong malam tadi menjangka Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin melepaskan geram terhadap Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Mana tidaknya, Ahli Parlimen Parit Sulong merangkap Ketua Wanita UMNO itu merupakan salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin tahun lalu.

    Secara logiknya, sesiapa sahaja yang mengalami nasib yang sama seperti Muhyiddin akan menggunakan pentas ceramah di kawasan Parlimen Parit Sulong untuk menghentam Noraini.

    Seperti yang pernah dinyatakan oleh calon PN bagi kerusi DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin baru-baru ini, ramai orang di DUN Semerah yang sangat marah dengan Noraini.

    Bagi Bangsa Johor, Muhyiddin merupakan kebanggaan mereka kerana berjaya meletakkan kembali anak Johor di persada tertinggi arena politik negara.

    Namun, segala-galanya berakhir apabila Noraini dan 14 rakan-rakan separtinya menarik sokongan sehingga menyebabkan Muhyiddin terpaksa meletak jawatan dalam suasana negara masih belum pulih daripada krisis pandemik COVID-19.

    Namun, jangkaan hadirin bahawa Muhyiddin akan menghentam Noraini meleset sama sekali. Dalam ucapan kira-kira 40 minit malam tadi, tidak sekali pun nama Noraini disebut.

    Memang Muhyiddin ada menyebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi beliau langsung tidak memburuk-burukkan Noraini.

    Dalam hal ini, Ahli Parlimen Pagoh itu bersikap ‘gentleman’ walaupun Noraini seolah-olah tidak mengenang budi beliau yang melantiknya sebagai menteri Kabinet selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan.

    Sesuai dengan julukan ‘Abah’, Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu bersikap tenang dan tidak membalas pengkhianatan yang dilakukan terhadap beliau dahulu.

    Itu tidak bermakna Noraini akan terlepas daripada api kemarahan Bangsa Johor di Parit Sulong. DUN Semerah dan DUN Sri Medan yang berada dalam kawasan Parlimen Parit Sulong dijangka menjadi milik PN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

    Tidak mustahil calon-calon PN menjadi pilihan Bangsa Johor di kawasan DUN terbabit bagi meluahkan perasaan kesal dan marah mereka terhadap pengkhianatan yang dilakukan kepada Muhyiddin.

    Tokoh yang terlibat dalam ‘tragedi tikam belakang’ itu mesti diajar.

  • 1,021 undi pengundi di Singapura selamat tiba di Johor

    1,021 undi pengundi di Singapura selamat tiba di Johor

    SEBANYAK 1,021 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melibatkan pengundi dari negeri ini yang menetap dan bekerja di Singapura, tiba di sini hari ini.

    Kertas undi yang diisikan dalam satu bagasi itu dibawa oleh sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A Jaz, 36, menaiki pengangkutan awam bas menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura.

    Mohd Hafeez yang membawa bagasi mengandungi kertas undi tersebut, tiba di Terminal Bas Larkin Sentral di sini kira-kira pukul 1.50 tengah hari, selepas memulakan perjalanan dari Woodlands, Singapura pada pukul 12.40 tengah hari.

    Sejurus tiba, anak kelahiran Sarawak yang turut menetap serta bekerja di Singapura itu melalui beberapa prosedur operasi standard (SOP) di pintu sempadan, termasuk proses menjalani ujian saringan Covid-19.

    Selepas segala proses SOP tanpa sebarang permasalahan selesai, Mohd Hafeez menyerahkan bagasi yang mengandungi kertas undi tersebut kepada sukarelawan Undi18, Mandeep Singh pada pukul 2.15 petang di dalam terminal bas itu.

    Ketika ditemui pemberita, Mohd Hafeez berkata, tanggungjawab yang diberikan 1thirdmedia untuk membawa kertas undi pos itu tidak dirasakan beban bagi dirinya.

    “Saya menganggap ini adalah kerja amal untuk membantu serta memudahkan rakyat Malaysia yang berada di Singapura, menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pos berdaftar,” katanya yang telah tinggal di Bayu Puteri, Permas Jaya, Johor Baru sejak kira-kira tujuh tahun lalu.

    Sementara itu, Mandeep berkata, tugas pasukannya adalah untuk menyerahkan kertas undi pos tersebut kepada setiap Pegawai Pengurus Pilihan Raya, PRN Johor pada Jumaat selepas pihaknya selesai menjalankan proses pengiraan serta pengagihan kertas undi pos itu mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Selasa lalu, media melaporkan sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar Singapura untuk dihantar ke negeri ini.

    Menurut sukarelawan, Farrah Diyana Mohamad Ali, kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul dengan dua penghantaran telah dilaksanakan pada 6 dan 8 Mac lalu dan penghantaran terakhir dibuat pada Khamis.

    Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac, SPR dilaporkan telah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos, kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

    Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan, sebelum jam 5 petang pada hari pengundian yang akan berlangsung Sabtu ini. – Bernama

  • Badan kehakiman diganggu jika parti kluster mahkamah menang PRN Johor

    Badan kehakiman diganggu jika parti kluster mahkamah menang PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CAMPUR tangan terhadap institusi kehakiman negara akan berlaku jika parti daripada kluster mahkamah menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Justeru bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz mengajak pengundi menolak mereka pada PRN Johor.

    “Kini, nasib Bangsa Johor terletak di tangan 749,731 pengundi muda termasuk diri anda! Cuba bayangkan wajah-wajah pemimpin yang tidak berintegriti dan kayakan kroni mereka kembali tersenyum lepas PRN ni. Badan kehakiman mahu diganggu.

    “Semua ini mungkin terjadi kalau anda abaikan tanggungjawab mengundi. Jika PRU lepas kerajaan yang sudah bertapak lebih 60 tahun di negara kita akhirnya tumpas dengan jari-jari anak muda yang turun ke pusat mengundi memilih pemimpin mereka.

    “Mengapa tidak kali ini? Pilih pemimpin yang ternyata bersih dan boleh diharap. Insyaallah demi jaminan masa depan anak muda dan kita semua. Jom turun mengundi,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    CUACA di seluruh negeri pada waktu pagi pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini diramalkan cerah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Berdasarkan maklumat di laman web MetMalaysia, ribut petir pula dijangka berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

    Suhu sepanjang hari berkenaan diramal 23 hingga 33 darjah Celsius.

    Seramai 239 calon bertanding pada PRN Johor di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya turut menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan seperti tertera dalam aplikasi MySPR Semak. – BERNAMA

  • Peja tak selesa kempen di Parit Sulong, ada pengkhianat

    Peja tak selesa kempen di Parit Sulong, ada pengkhianat

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku beliau berasa tidak selesa berkempen di kawasan Parlimen Parit Sulong yang diwakili Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu terkilan kerana Noraini telah menarik sokongan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Menteri Belia dan Sukan itu amat kesal kerana Muhyiddin telah memberi sepenuh kepercayaan kepada Ahli Parlimen Parit Sulong dengan melantik sebagai Menteri selepas kerajaan PN dibentuk sebelum ini.

    “Saya rasa cukup tak selesa nak kempen dalam Parlimen Parit Sulong kerana kawasan ini ada wakil dalam Kabinet.

    “Waktu Muhyiddin dijatuhkan, salah seorang yang menarik sokongan adalah ‘kawan awak’ semua itu yang mewakili Parlimen sini.

    “Muhyiddin telah ambil orang Parit Sulong jadi menteri tetapi orang yang sama juga tarik sokongan kepada anak Johor yang berjaya menjadi Perdana Menteri terbaik dalam negara,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di pekarangan Pejabat PN / Bersatu Bahagian Parit Sulong malam tadi.

    Untuk rekod, Noraini merupakan salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sekali gus menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri, tahun lalu.

    Sementara itu, Ahmad Faizal mendedahkan ramai dalam kalangan ahli UMNO sebenarnya berbelah bahagi untuk terus mendukung parti berkenaan.

    Kata beliau, ramai yang mengakui pemimpin tertinggi UMNO termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan figura yang telah menjatuhkan UMNO.

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, kebanyakan ahli UMNO masih belum mempunyai semangat dan kekuatan untuk menolak pemimpin-pemimpin tersebut.

    “Mereka sekarang dalam keadaan tak tahu ke mana, hati tak berapa nak. Mereka tahu pemimpin mereka telah melakukan mungkar, pemimpin ini yang meletakkan mereka menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Kita sembang dengan mereka, mereka mengaku Najib dah sebabkan kekalahan, Zahid dah buat UMNO jadi macam syarikat sendirian berhad, ini pemimpin besar UMNO sendiri yang beritahu kita.

    “Jadi, kita kena bantu mereka dengan beri sedikit kesedaran dengan cara mengundi PN dan pastikan pada 13 haribulan ini, wakil kita mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

  • “Walaupun dia Bersatu, saya UMNO, saya tetap sokong Tan Sri Muhyiddin”

    “Walaupun dia Bersatu, saya UMNO, saya tetap sokong Tan Sri Muhyiddin”

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya gelombang pembaharuan yang menyaksikan penolakan besar-besaran terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang berlaku di seluruh Johor.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, situasi luar biasa itu dapat dilihat di mana pemimpin-pemimpin Wanita UMNO peringkat akar umbi menghadiri program-program dihadiri beliau sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketika memulakan ucapan pada Ceramah Umum PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di pekarangan Pejabat PN / Bersatu Bahagian Parit Sulong malam tadi, beliau berkongsi kisah dua pemimpin Wanita UMNO yang didakwa menyatakan sokongan terhadap beliau.

    “Yang agak menarik walaupun Johor disebut kubu kuat UMNO dan BN, di banyak ketika yang saya hadir untuk berjumpa dengan ramai pengundi-pengundi hadir bersama ialah ahli dan pemimpin UMNO di beberapa peringkat di majlis saya.

    “Semalam (kelmarin) saya berada di Kluang untuk menyokong kempen calon kita di DUN Mahkota dan ada seorang wanita saya tak ingat nama dia tetapi bila saya lihat beliau sudah pakai tudung ada tulis PN.

    “Saya sudah agak dia mestilah PN tetapi dia kata dia Ketua Wanita UMNO cawangan. Jadi saya hairan Ketua Wanita UMNO cawangan pakai hijab tudung yang ada tulis PN.

    “Jadi saya tanya beliau kalau UMNO mengapa pakai PN? “Saya sokong Tan Sri dan sokong PN”,” katanya.

    Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa, seorang Ketua Wanita UMNO Bahagian turut menyatakan sokongan terhadap beliau dan PN.

    Beliau menyaksikan kenyataan wanita terbabit menerusi rakaman video oleh seseorang yang tidak dikenalinya.

    Muhyiddin menjelaskan, beliau mengenali pemimpin Wanita UMNO terbabit yang dan berkecimpung secara aktif dalam politik di sebuah UMNO Bahagian di Johor selama 28 tahun.

    “Saya kenal Tan Sri Muhyiddin sejak dia zaman dia jadi Menteri Besar dulu. Walaupun dia Bersatu, saya UMNO, saya tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin. Saya tak berbohong,” ujarnya.

    Beliau menambah, perkembangan positif itu membukti gegaran besar sedang berlaku di Johor sekali gus menafikan mitos bahawa Johor adalah kubu kuat UMNO dan BN.

  • Perkasa sektor pendidikan tumpuan PN

    Perkasa sektor pendidikan tumpuan PN

    PERIKATAN Nasional (PN) berhasrat memperkasa sektor pendidikan sebagai satu usaha membangunkan sebuah negara yang dibarisi generasi muda berkualiti dan sejahtera.

    Semasa kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sektor pendidikan tidak pernah diabaikan apabila dana bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada pelajar disalurkan melalui institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

    Perkara yang sama turut dinyatakan dalam tunjang kelima Ikrar PN iaitu Kesejahteraan Rakyat dan ini adalah perkara sama yang akan menjadi pengkhususan gerak kerja calon parti berkenaan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang.

    Menurut Zulkifli, kesejahteraan rakyat yang ingin ditawarkan itu dilihat merupakan teras utama yang cukup penting atas dasar kebimbangan dan keprihatinan parti kepada sebahagian besar rakyat yang kini masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Apa yang kita tawarkan itu daripada aspek keprihatinan kita terhadap kesejahteraan rakyat. Ia adalah asas paling penting terutama bagi isu pendidikan, perumahan dan soal ekonomi itu sendiri.

    “Sebagai contoh, di pihak saya sendiri, kita mempunyai perancangan untuk menubuhkan satu yayasan khusus bagi memberi bantuan pendidikan kepada Bangsa Johor dan sudah semestinya juga kepada penduduk di DUN Larkin.

    “Golongan muda sudah tentu akan menjadi fokus kita dalam bidang pendidikan ini, ini kerana pendidikan adalah satu-satunya perkara yang boleh mengubah kehidupan sekali gus menjamin kesejahteraan mereka untuk masa hadapan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Selain itu, Zulkifli berkata, pemerkasaan usaha bagi isu-isu perumahan dan kediaman selesa juga antara perkara yang dilihat boleh memberi impak besar kepada kehidupan seharian rakyat di negeri ini.

    “Apa yang diumumkan PN dalam Ikrar baru-baru ini adalah perkara yang nyata. Sepertimana tunjang kelima ini, isu perumahan dan pemilikan rumah adalah perkara yang kita akan usahakan kerana mempunyai kesan besar.

    “Baru-baru ini saya ada berbual dengan Tan Sri Presiden (Muhyiddin Yassin) mengenai perihal rumah ini, jadi apa yang disebutkan oleh beliau adalah isu tempoh pajakan melibatkan penduduk di sini yang seharusnya diteruskan.

    “Kita faham mereka ini sudah tinggal lama, malah ada juga sektor-sektor tertentu yang membelanjakan pelaburan besar ketika mereka di sini, ini semua kita perlu ambil kira,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan khusus kepada warga Larkin sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, Zulkifli memberitahu, dia akan memastikan PN akan sentiasa rapat sebagai wadah utama rakyat di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, perkara itu akn dimulakan dengan pembukaan kaunter pusat khidmat DUN Larkin di beberapa kawasan tumpuan dan pusat beli-belah.

    “Saya nak wujudkan kaunter atau pusat khidmat DUN di beberapa kawasan tumpuan orang ramai. Tempat ini juga perlu sesuai dan mempunyai akses kepada orang ramai.

    “Saya juga mahu ia dibuat dengan imej yang lebih korporat, kerana kita tidak mahu pusat khidmat kita usang, seperti di rumah-rumah kedai yang mana boleh menyebabkan orang tidak minat untuk datang,” katanya.

  • Penerimaan terhadap PN di Johor positif-Hadi Awang

    Penerimaan terhadap PN di Johor positif-Hadi Awang

    TINGGAL sehari lagi tempoh berkempen, pnerimaan terhadap calon Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan perkembangan positif walaupun belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan itu dilihat selepas beliau melakukan tinjauan beberapa hari lalu termasuk semasa pelancaran ikrar PN.

    Sinar Harian melaporkan, Abdul Hadi berkata, untuk PN menang adalah tidak mudah tetapi tidak juga mustahil untuk parti itu menakluk PRN Johor.

    Malah, beliau juga memberikan contoh prestasi PRN Sabah yang mana PN mendapat kejayaan manakala BN merosot. Di PRN Melaka pula, BN menang kerana peratusan keluar mengundi rendah serta undi kepada PH sudah pun merosot.

    Undi diperoleh PN menunjukkan peningkatan tetapi parti itu tidak menang di Melaka kerana pengundi muda tidak keluar mengundi dan undi protes.

    Beliau menegaskan jika PN berjaya berusaha untuk meningkatkan jumlah pengundi yang keluar, maka parti itu tidak mustahil untuk memperoleh kemenangan.

    Abdul Hadi juga menjelaskan ikrar PN mampu untuk menarik pengundi mengundi calon PN selain rakyat dapat menilai apabila Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU 14) lalu ditolak kerana kegagalan, salah laku rasuah dan pelbagai hal lain.

    Abdul Hadi mendakwa, Pakatan Harapan (PH) ditolak kerana gagal menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto PRU14 kerana manifesto mereka amat tinggi melangit dan tidak berpijak di bumi nyata.

    Sebaliknya PN banyak melaksanakan pelbagai agenda demi kepentingan rakyat walaupun tempohnya pendek.

  • Peneroka terhutang budi dengan Muhyiddin

    Peneroka terhutang budi dengan Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan kursus kemahiran dalam bidang keusahawanan untuk anak muda bertapak dalam bidang perniagaan.

    Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, kursus tersebut berkaitan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) dan latihan kemahiran.

    Beliau berkata, tawawan tersebut sememangnya mampu diberikan dan PN tidak menjanjikan tawaran bulan dan bintang.

    “PN tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi tanpa mengambil kira kemampuan melaksanaka janji tersebut,” katanya memetik laporan HarakahDaily, hari ini.

    Ahmad Nawfal yang juta Ketua Pemuda Pas Johor berkata, pengundi ini bijak menilai mana-mana parti yang mampu menunaikan janji.

    Dalam pada itu, beliau berkata, jasa kerajaan PN yang melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda amat melegakan golongan peneroka.

    “Peneroka terhutang budi terhadap pengorbanan Tan Sri Muhyiddin, selepas berpuluh tahun tahun mereka memperjuangkan isu tersebut,” ujarnya.