Tag: prima facie

  • Bekas Pengarah FTC diperintah bela diri atas 33 pertuduhan rasuah

    Bekas Pengarah FTC diperintah bela diri atas 33 pertuduhan rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC) membela diri atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan dengan memberikan pelbagai kontrak termasuk pembekalan barangan kepada menantu dan anaknya berjumlah RM1.64 juta.

    Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rohaizat Ahmad, 58.

    “Mahkamah telah mendengar dan meneliti secara penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan serta hujahan bertulis kedua-dua pihak.

    “Berikutan itu anggapan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berjaya ditimbulkan oleh pendakwaan yang kamu (Rohaizat) menggunakan jawatan dan kedudukan kamu untuk apa-apa suapan. Oleh itu kamu diperintahkan membela diri atas 33 pertuduhan tersebut,” kata hakim itu.

    Azura dalam penghakimannya berkata mahkamah juga berpuas hati bahawa Rohaizat, di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 menggunakan kedudukan dan jawatannya bagi mendapatkan suapan bagi saudaranya.

    Seramai 40 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada Januari 2020.

    Hakim kemudian menetapkan prosiding bela diri kes itu berlangsung selama sembilan hari iaitu 22, 27 dan 28 Mac serta 3, 4, 5, 6, 17 dan 18 April.

    Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim mewakili Rohaizat memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan empat saksi termasuk anak guamnya yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, tertuduh didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan  FTC untuk mendapatkan suapan bagi menantunya dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya sebagai pembekal kepada FTC antaranya peralatan elektronik, cenderahati, baju kurung, kemeja-T berkolar selain pengendali program latihan kemahiran.

    Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, bapa kepada enam orang anak itu didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan bagi anaknya dengan melantik syarikat milik anaknya iaitu Hexa Tech Pride sebagai pembekal  kepada FTC antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, komputer riba, projektor, barangan elektronik dan konsultan program keusahawanan.

    Kesemua pertuduhan yang melibatkan jumlah RM1.648,810.60 itu didakwa dilakukan di FTC, No 22 Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini, antara 23 April 2014 hingga 29 Jun 2018.

    Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – BERNAMA

  • Kes prima facie terbukti terhadap Ahmad Zahid – Pendakwaan

    Kes prima facie terbukti terhadap Ahmad Zahid – Pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini, wang termasuk dalam mata wang asing yang diterima Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) adalah dalam kapasitinya menjalankan tugas awam sebagai menteri.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, Zahid, sebagai menteri dalam negeri, menerima wang itu untuk dirinya sendiri.

    “Walaupun pihak pembelaan mengatakan wang itu ialah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya,” katanya.

    Pada masa wang itu diterima, antara 2014 dan 2018, Zahid juga memegang jawatan sebagai naib presiden Umno dan pemangku timbalan presiden UMNO.

    Malik berkata, UKSB tidak pernah memasukkan wang itu ke dalam akaun UMNO mahupun mendapatkan resit pembayaran.

    “Tertuduh juga tidak menolak atau meminta wang itu diambil pergi ketika diserahkan kepadanya,” katanya dalam hujah pada penutupan kes pendakwaan.

    Malik berkata, pengarah UKSB ketika itu, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani bertemu Zahid beberapa kali pada 2013 selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    “Perbincangan bermula dengan perniagaan UKSB dan kemudiannya mengenai politik. Tertuduh menyatakan dia memerlukan bantuan daripada mereka,” katanya.

    Sebagai contoh, katanya, Zahid mencadangkan dia memerlukan wang tunai dalam mata wang dolar Singapura.

    Katanya, Lee dan Wan Quoris yang memutuskan untuk membayar SGD200,000, SGD300,000 dan SGD520,0000 kepada Zahid setiap bulan.

    “Lee mengesahkan pembayaran itu manakala seorang lagi kakitangan UKSB (bekas pengurus pentadbiran David Tan) merekod pembayaran dalam lejar,” katanya.

    Malik berkata, biasanya Lee dan Wan Quoris yang menghantar wang itu ke rumah Zahid di Country Heights, Kajang, atau di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Putrajaya, selepas 10 malam.

    “Saksi-saksi ini bercakap benar kerana pertemuan itu memang berlangsung,” katanya sambil menambah, Lee, Tan dan Wan Quoris ialah saksi yang boleh dipercayai.

    Katanya, pihak pembelaan menggelar ketiga-tiga mereka sebagai rakan subahat tetapi keterangan mereka boleh diterima bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Mereka boleh dipercayai dan boleh diharap. Mereka menjawab semua soalan dengan jujur dan terus terang,” katanya sambil menambah, jika terdapat sebarang percanggahan dalam keterangan mereka sekalipun, ia adalah kecil dan tidak material.

    Beliau mempertahankan bahawa pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadap Zahid kerana bahan pertuduhan itu telah dipenuhi.

    Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan Sistem Visa Asing (VLN) serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Dia yang juga presiden Umno didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya sendiri S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Yazid Mustafa bersambung.