Tag: prasarana

  • Lapan penumpang LRT saman Rapid Rail, Prasarana

    Lapan penumpang LRT saman Rapid Rail, Prasarana

    LAPAN penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) memfailkan saman sebanyak RM860,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

    Saman berkenaan membabitkan kejadian dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung sehingga menyebabkan beberapa penumpang cedera pada pukul 9.15 malam, 24 Mei 2021 lalu.

    Mereka ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd. K. Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd. Saleh, 35.

    Menerusi pernyataan tuntutan difailkan menerusi Tetuan Vin Partnership, kesemua penumpang selaku plaintif pertama hingga kelapan, menamakan dua pihak terbabit sebagai defendan pertama dan kedua.

    Kesemua plaintif mengemukakan saman itu kerana Rapid Rail selaku defendan pertama manakala Prasarana defendan kedua, gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan mereka sehingga menyebabkan kecederaan, dua tahun lalu.

    Plaintif berkata, defendan-defendan gagal memastikan LRT yang digunakan beroperasi dengan selamat bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh tren lain.

    “Mereka gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyumbang kepada insiden itu.

    “Dua defendan itu juga gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengelak kemalangan dan gagal untuk memberhentikan, memperlahankan dan mengawal LRT supaya kemalangan dapat dielakkan,” kata pernyataan tuntutan itu, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (ketika itu), turut berjenaka dengan berkata kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain dan dilihat ketawa ketika sidang media berhubung kejadian berkenaan.

    Justeru itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lima peratus setahun dari dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman.

    Mereka turut meminta ganti rugi khas dan faedah pada kadar sama dari tarikh kemalangan hingga ke tarikh penghakiman dibuat.

    Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.

    Pada Mei 2021 lalu, video dan gambar mengenai insiden itu tular di media sosial, menunjukkan ratusan penumpang bergelimpangan termasuk sebahagiannya mengalami kecederaan parah.

    Untuk rekod pada tarikh berkenaan, seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di Kuala Lumpur.

    Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.

    Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut.

  • Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) memberi tambang percuma sepanjang hari esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kesemua perkhidmatan di bawah kendaliannya.

    Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan tambang percuma itu meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti. 

    “Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka,” menurut kenyataan itu.

    Prasarana memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.

    Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.

    Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT, Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.

    Menurut Prasarana tambang percuma itu bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat.

    Untuk maklumat lanjut, rujuk laman media sosial Prasarana serta laman web https://myrapid.com.my. Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store untuk maklumat terkini serta bagi merancang perjalanan.

    PRU15 akan berlangsung esok. – BERNAMA

  • Prasarana siasat insiden kakitangan didakwa pukul pencuri

    Prasarana siasat insiden kakitangan didakwa pukul pencuri

    SIASATAN dalaman sedang dilakukan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung video tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat itu memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, Prasarana dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya masih mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian.

    “Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

    “Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.

    “Bagaimanapun, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” jelas Prasarana dalam kenyataan media tersebut.

    Klip video pendek kejadian itu mula tular di media sosial petang semalam, menunjukkan dua lelaki – salah seorangnya memakai seragam polis bantuan yang tertera logo Prasana- memarahi seorang individu kerana didakwa mencuri dua cawan mi segera di sebuah kedai serbaneka.

    Dalam rakaman itu, salah seorang lelaki berpakaian seragam merah bertulisan “www.myrapid.com.my” turut meminta individu tersebut membayar dua cawan mi segera itu sebelum memukulnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata, pihak polis telah mula mengesan individu yang terlibat selepas klip video itu tular di media sosial semalam.

    Katanya, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada empat saksi setakat ini dan memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang,” katanya.

  • Mohd Noorazam dilantik Datuk Bandar MBJB baharu

    Mohd Noorazam dilantik Datuk Bandar MBJB baharu

    KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Mohd Noorazam Osman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang ke-13 berkuat kuasa hari ini.

    MBJB menerusi kenyataan memaklumkan Mohd Noorazam memulakan tugasan di Menara MBJB, di sini hari ini.

    “Seluruh warga kerja MBJB mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas buat Datuk Mohd Noorazam,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, KPRJ menerusi hantaran dalam laman Facebook memaklumkan bahawa Datuk Ramlee A. Rahman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ yang baharu bagi menggantikan Mohd Noorazam.

    “Sekalung tahniah diucapkan di atas pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar MBJB yang baharu. Terima kasih di atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan terhadap KPRJ,” menurut KPRJ.

    Mohd Noorazam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ pada Jun 2018 sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Johor 2020 dan Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn Bhd.

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Kerajaan dan Dasar Awam pada 1990 dari Northumbria University, New Castle Upon Tyne, United Kingdom itu juga mempunyai pengalaman dalam tadbir urus kerajaan negeri selama hampir 27 tahun dan kerjayanya bermula pada Mei 1991 sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor.

    Beliau juga memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Mersing pada 2017 dan Pegawai Daerah Kota Tinggi bermula 2013 sehinga 2017, selain menjadi Timbalan Pengarah Satu di Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor pada 2004 sehingga 2013 dan juga Pengurus Besar Syarikat Air Johor Sdn Bhd bermula 2004 sehingga 2013.- BERNAMA