Tag: positif dadah

  • Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    SEORANG wanita melalui detik cemas apabila diserang oleh seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai mahu merogolnya di kawasan tangga sebuah bangunan di Tuaran, semalam.

    Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, wanita terbabit dilihat bergelut sebelum suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang lain di kawasan itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin, suspek berusia 29 tahun dipercayai kurang siuman itu telah ditahan pukul 3 pagi semalam dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

    “Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari daerah Tuaran. Suspek tidak siuman dan merupakan pesakit yang berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

    “Suspek baru sahaja hari hari keluar dari wad hospital berkenaan dan menerima rawatan susulan setiap minggu.

    “Siasatan juga turut mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah,” ujar Noraidin dalam satu kenyataan media di Tuaran, hari ini.

    Beliau berkata, secara keseluruhan polis menerima tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga mangsa berbeza berusia dalam lingkungan 15 hingga 31 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh suspek.

    “Kesemua mangsa membuat laporan dicabul oleh lelaki tidak dikenali antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang Ahad.

    “Mangsa mengatakan suspek telah datang secara tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa,” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain mencabul, suspek turut dipercayai merampas beg tangan dan melarikan wang tunai salah seorang mangsa.

    Katanya, suspek yang ditangkap dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang.

  • Lelaki terlibat khianat hidap Bipolar, positif dadah

    Lelaki terlibat khianat hidap Bipolar, positif dadah

    POLIS mendapati seorang lelaki yang melakukan perbuatan khianat dalam dua kes berasingan di Kuala Rompin disahkan mempunyai penyakit gangguan bipolar dan positif dadah.

    Ketua Polis Daerah Rompin, Duputi Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, dalam kejadian pertama, suspek dikatakan merosakkan kenderaan di Balai Cukai Balak Hutan di Jalan Selendang-Berabong, Kuala Rompin pada 14 Julai lalu.

    “Sementara kes kedua dilakukan suspek pada 15 Julai dengan bertindak membakar kaunter pembayaran di sebuah restoran di Bukit Serdang di Rompin.

    “Penahanan yang suspek dibuat bersabit dengan laporan yang dibuat oleh mangsa yang mengalami kerosakan pada kenderaan.

    “Namun begitu, pemilik restoran pula tidak mahu membuat laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan polis pula mendapati suspek mengalami gangguan bipolar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau memaklumkan perbuatan membakar kaunter di sebuah restoran telah tular di Twitter dan video berdurasi dua minit dimuat naik oleh pemegang akaun @NanManjoi8715.

    Katanya, pada 14 Julai lalu, suspek telah bertindak merosakkan sebuah kereta di Balai Cukai Balak Hutan Jalan Selendang Berabong dengan sebilah sabit.

    Tambahnya, pemilik kenderaan terbabit telah datang ke Balai Polis Kuala Rompin bagi membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat ke atas harta benda.

    “Suspek juga didapati positif dadah serta disiasat di bawah Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

  • [VIDEO]Pemandu lori terbalik positif dadah

    [VIDEO]Pemandu lori terbalik positif dadah

    PEMANDU lori yang video kenderaan itu dirakam dari lorong kanan, kemudian terhuyung-hayang sebelum terbabas memasuki lorong kiri, lalu terbalik didapati positif dadah.

    Video kemalangan berdurasi 3 minit yang dirakam orang awam itu tular dan berlaku di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi.

    Menurutnya, lori dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun itu hilang kawalan secara tiba-tiba kerana pemandunya dipercayai tertidur lalu terbabas berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

    “Sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah yang sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan (tiada dalam rakaman) selang beberapa minit kemudian.

    “Namun lelaki itu hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ramsay berkata, ujian saringan air kencing pula mendapati pemandu lori terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

    Ujarnya, suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.

    Sementara itu, Ramsay berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 bagi membantu siasatan.