Tag: Pos Malaysia

  • Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima suapan RM248,000

    Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima suapan RM248,000

    SEORANG bekas ketua perancang bahagian pengurusan pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh syarikat kurier itu kepada sebuah syarikat.

    Hazri Mokhtar, 43, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut semua pertuduhan, Hazri dituduh secara rasuah menerima untuk dirinya wang melalui pindahan dalam talian melibatkan dua akaun berlainan miliknya daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd.

    Pindahan tersebut didakwa dilakukan melalui lima individu sebagai upah antara RM5,000 dan RM15,000 untuk tertuduh membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat tersebut bagi kerja-kerja perkhidmatan tertentu di Sabah dan Sarawak.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank Simpanan Nasional, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara  8 Julai 2020 dan 11 Okt 2021. 

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.

    Peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani yang mewakili Hazri, merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya kini bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, menyara tiga anak yang masih bersekolah serta memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan  2 Nov untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Tumbuk pemandu Pos Malaysia, pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500

    Tumbuk pemandu Pos Malaysia, pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500

    PELAKON Ammar Alfian didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebuah van Pos Malaysia menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van tersebut, April lepas.

    Majistret S. Mageswary turut memerintahkan Ammar Alfian Aziz, 34, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

    Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan manakala pertuduhan mencederakan dia didenda RM1,500 atau penjara sebulan.

    Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777.

    Pelakon filem Paskal itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Jalan Budiman 26/17A, Cheras di sini pada 1.45 tengah hari 5 April lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Ammar Alfian turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Nur Aimin Mohd Noor, 31, pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

    “Tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam memandangkan dia seorang artis yang dikenali ramai,” katanya.

    Peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, (rpt:ulangan) yang mewakili Ammar Alfian memohon hukuman ringan atas alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan kerugian yang dialami hanya sekitar RM700.

    “Mangsa juga hanya mengalami kecederaan ringan dan anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan,” katanya. – BERNAMA

  • Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    TEMPOH lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV)  tidak akan disambung selepas 30 Sept ini, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata tempoh lanjutan yang diberikan sebelum ini adalah mencukupi untuk individu melakukan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, selain ia boleh diperbaharu secara dalam talian.

    Selain kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), urusan pembaharuan boleh dibuat di Pos Malaysia Bhd dengan membuat janji temu, dan menerusi perkhidmatan dalam talian MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) bagi mengelakkan kesesakan di premis, katanya.

    “Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian bagi mereka yang cekap internet dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai urusan pembaharuan LKM dan LMM hari ini.

    Menurut rekod urusan pembaharuan LKM dan LMM bagi tempoh 1 hingga 15 Ogos, JPJ mencatatkan sebanyak 639,965 rekod pembaharuan, Pos Malaysia (373,805), MyEG (322,231) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula 8,400 bagi urusan LKM sahaja.

    Pos Malaysia sebelum ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata buat masa ini terdapat peningkatan transaksi yang tinggi dan pihaknya berusaha memastikan setiap transaksi dapat dihantar kepada pelanggan sebelum 30 Sept ini.

    “Bagi pelanggan di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), sekiranya terdapat kelewatan penghantaran, boleh hubungi talian 03-7801 8888 bagi urusan selanjutnya,” katanya.- BERNAMA