Tag: portfolio

  • Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memegang lapan portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diumumkan pagi tadi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu bertanggungjawab dalam portfolio perancangan, kewangan, tanah, sumber asli, tenaga dan air.

    Beliau pada masa sama turut memegang portfolio berkaitan pembangunan ekonomi, perladangan dan komoditi.

    Anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar pula diberi tanggungjawab menjaga portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi.

    ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak pula memegang portfolio pertanian, industri asas tani, bioteknologi dan pendidikan.

    Selain itu, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Adun Kerdau memegang portfolio hal ehwal agama Islam, pembangunan luar bandar dan hal ehwal Orang Asli.

    ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula memegang portfolio kerja raya, pengangkutan dan kesihatan.

    Portfolio hal ehwal felda, koperasi dan usahawan pula dipegang ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim manakala Adun Pelangai, Datuk Seri Johari Harun pula memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

    ADUN Guai dan ADUN Dong yang baru menjadi wakil rakyat untuk penggal pertama, Datuk Sabariah Saidan dan Mohd Fadzli Mohamad Kamal turut tersenarai sebagai exco dalam barisan kerajaan Pahang.

    Sabariah memegang portfolio kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga, manakala Mohd Fadzli pula memegang portfolio komunikasi dan multimedia, belia, sukan dan badan bukan kerajaan.

    Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut dilantik sebagai exco ialah ADUN Teruntum, Sim Choon Siang dan ADUN Triang, Leong Yu Man.

    Sim diamanahkan memegang portfolio hal ehwal pengguna dan sumber manusia, manakala Leong pula memegang portfolio perpaduan, pelancongan dan kebudayaan.

    Wan Rosdy dalam sidang media selepas pengumuman barisan exco dan portfolio itu berharap semua pihak dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Saya harap semua agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

    “Laksanakanlah segala tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadikan Pahang sebuah negeri maju dapat dicapai,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Wan Rosdy turut meminta rakyat Pahang memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan Pahang yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

    “Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama,” katanya lagi.

    Pada PRU15 lalu, BN memperoleh 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 17 kerusi dan PH memenangi lapan kerusi DUN.

    Bagaimanapun, kerajaan Pahang dapat dibentuk selepas BN bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    BN mendapat kerusi ke-17 mereka selepas menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Tioman pada 7 Disember lalu.

  • NGO budaya kecewa portfolio kebudayaan ‘ditiadakan’ dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

    NGO budaya kecewa portfolio kebudayaan ‘ditiadakan’ dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

    guane

    SEJAK Jumaat lalu hingga hari ini, di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai politik.

    Ia adalah sebagai kesinambungan isu-isu yang berlaku selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November lalu.

    Kalau sebelum ini antara tumpuan isu diperbualkan adalah melibatkan soal pemilihan calon, parti yang menang dan siapakah yang bakal berkuasa sehingga kepada teka teki nama Perdana Menteri ke 10 (PM10).

    Kini, semua perkara tersebut sudahpun diketahui umum, tetapi isu yang masih hangat diperkatakan sekarang ialah mengenai ahli politik yang dipilih menduduki senarai kabinet kerajaan Perpaduan sekarang ini.

    Sebaik PM10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai kabinetnya pada 2 Disember lalu, penulis mendapati banyak pihak meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan kabinet pada kali ini.

    Kemana sahaja penulis pergi sama ada minum di warung kopi, di pasar basah, kedai runcit, taman reakrasi dan juga premis berurut, semua bercakap mengenai kabinet baharu dinamakan Kerajaan Perpaduan.

    Antara dua isu yang hangat diperbualkan dan menjadi kemarahan orang ramai ialah pembsbitan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam senarai kabinet dan juga ketiadaan porfolio kebudayaan.

    Banyak pihak kurang bersetuju dengan pelantikan Ahmad Zahid
    sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah.

    Mereka menyifatkan pelantikan tersebut seolah-olah mengesahkan isu yang dibangkitkan dan tular menerusi media sosial sebelum PRU15 berhubung dakwaan kerjasama antara Anwar- Ahmad Zahid membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Ketika itu, kedua-dua pihak menafikan isu kerjasama berkenaan dengan pelbagai kenyataan yang bersifat retorik politik.

    Malah, kempen PH meminta rakyat menolak parti yang di pimpin oleh pelaku rasuah juga menyebabkan rakyat seperti percaya kerjasama di antara PH-BN tidak akan berlaku.

    Bagaimanapun, kita akhirnya terpaksa akur dengan pandangan sesetengah pihak mengatakan bahawa dalam dunia politik apa sahaja boleh berlaku.

    Bab lirik lagu berjudul Sekelip Mata Kau Berubah tulisan sahabat penulis iaitu Allahyarham Juwie nyanyian Kumpulan Lestari, begitulah dengan orang politik di negara ini.

    Hari ini mereka bergaduh dan bercakaran antara satu sama lain, tetapi pada keesokan hari mereka boleh berubah dengan sekelip mata sehingga sudah boleh berpelukan dan makan semeja.

    Selain pelantikan Ahmad Zahid, isu hangat dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan PM10 ini turut memperkatakan mengenai portfolio Kebudayaan.

    Ramai pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kebudayaan di Terengganu ada hubungi penulis meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila nama porfolio kebudayaan disisihkan secara zahir dalam kabinet pada kali ini.

    “Kata Kerajaan Perpaduan, tetapi kenapa portfolio kebudayaan yang dijadikan sebagai teras kepada perpaduan ditiadakan.

    “Inilah pertama kali dalam sejarah pembentukan kabinet Malaysia portfolio kebudayaan tidak wujud secara zahir”, ujar Wan Ahmad Ismail, sahabat penulis yang juga merupakan seorang pemimpin dan aktivis budaya terkenal di Terengganu.

    Seorang lagi pemimpin budaya, Fauzi Yahya yang juga Pengerusi Persatuan Silat Kalimah Terengganu berpendapat, sebagai pertubuhan sukarela, sudah pasti mereka memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

    “Untuk itu, badan-badan NGO ini memerlukan seorang Menteri menaungi sebuah kementerian seperti sebelum ini.

    “Dahulu portfolio kebudayaan pernah diletakkan di bawah belia dan sukan diikuti pelancongan,” jelas beliau.

    Apapun, penulis berharap supaya PM10 serta barisan kabinetnya menilai semula perkara berkenaan.

    Pengecilan saiz kabinet, bukan bermakna turut menyisihkan portfolio sedia ada sejak sekian lama.

    Adakah ia sebagai satu pembaharuan atau isyarat awal aktiviti kebudayaan termasuk budaya etnik tidak lagi diberikan perhatian?

  • Idris pastikan 14 agensi agama capai objektif Keluarga Malaysia

    Idris pastikan 14 agensi agama capai objektif Keluarga Malaysia

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu Idris Ahmad akan memastikan kesemua 14 agensi di bawah seliaannya melaksanakan fungsi masing-masing dan bergerak seiring dengan objektif Keluarga Malaysia.

    Idris berkata satu pertemuan akan diadakan bersama ketua agensi masing-masing di Kompleks Islam Putrajaya petang ini bagi membincangkan bagaimana kesemua agensi itu dapat bekerjasama dalam memenuhi aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.

    “Ini (pertemuan) supaya dapat kita memahami tentang fungsi dan tanggungjawab masing-masing bagi membentuk Keluarga Malaysia yang kita harapkan,” katanya kepada media selepas melapor diri bagi memulakan tugas secara rasmi di sini hari ini. Turut sama ialah Timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Idris merupakan pertama kali dilantik sebagai menteri Pusat manakala Ahmad Marzuk dilantik semula sebagai timbalan menteri di portfolio sama.

    Selepas mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabatnya, Idris dijadualkan menghadiri mesyuarat Kabinet secara maya yang pertama di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

    Antara 14 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia.- BERNAMA