Tag: politik wang

  • PAS tak pernah amal politik wang, sogokan rasuah

    PAS tak pernah amal politik wang, sogokan rasuah

    PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah seperti yang didakwa pihak lawan terhadap parti itu.

    Tegas Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas bercanggah dengan kenyataan sebenar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Presiden Pas ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan semalam (kelmarin) menyebut undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi, tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan terpulang kepada mereka sendiri.

    “Ada pun sumbangan orang awam itu tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai sebuah parti yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, Ahmad Zahid menyelar sikap ‘pilih kasih’ Abdul Haji yang mempertahankan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

    Sehubungan itu, Presiden UMNO berkenaan khuatir dengan tanggapan serong umum, khususnya orang Islam berikutan sikap ditonjolkan Ahli Parlimen Marang terbabit selaku ulama yang beliau dakwa tiada integriti.

    “Kalau dia (PAS) buat (dianggap) sedekah, kalau kita bagi (dianggap) rasuah.

    “Ulama ini jangan tukar-tukar hukum dan jangan tukar fatwa, akhirnya ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan orang Islam,” katanya selepas sambutan Rumah Terbuka MCA di Wisma MCA, semalam.

    Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dilaporkan berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU-15.

    Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, PAS menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU-15 dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.

  • Zahid dakwa politik wang faktor utama tsunami politik PRU-15

    Zahid dakwa politik wang faktor utama tsunami politik PRU-15

    POLITIK wang didakwa menjadi faktor utama ‘tsunami politik’ yang mengakibatkan kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apabila gabungan itu hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen.

    Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ‘kuasa beli luar biasa’ daripada parti lawan menyebabkan pengundi berubah sikap dan gagal menilai prestasi politik khidmat yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.

    Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tahun ini.

    “Daripada pemerhatian dilakukan, terutama apabila Ahli Parlimen atau ADUN menyantuni rakyat dengan memberi perkhidmatan sepanjang tempoh lima tahun… panas sepanjang lima tahun tetapi hujan tiga hari.

    “Khidmat selama lima tahun tetapi apabila ‘hujan’ terlalu lebat berderai-derai dengan kuasa beli yang berlebihan, tentunya ia mengubah sikap dan minda (rakyat) terhadap khidmat politik yang diberikan.

    “Ini gagal dilihat sebarang penganalisis politik. Ini faktor penolak utama yang menyebabkan kononnya berlaku tsunami politik.

    “Apabila faktor hadiah wang menjadi asas kepada sikap perubahan politik, maka ia harus dibanteras sepenuhnya sekurang-kurang untuk PRN di enam negeri dalam waktu terdekat ini, atau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) jika ada Ahli Parlimen atau ADUN yang ‘dipanggil lebih awal’ atau pada PRU16 akan datang,” dakwanya pada program bual bicara Naratif Khas yang disiarkan RTM1, malam tadi.

    Mengulas kerjasama antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan akan diteruskan pada PRN nanti, Presiden UMNO itu menyatakan hasrat untuk melihat kestabilan politik pada peringkat Persekutuan turut diwujudkan di negeri.

    Ahmad Zahid menjelaskan, kestabilan politik di seluruh negara adalah penting bagi mengelak rakyat diheret dalam pelaksanaan pilihan raya berulang kali sehingga menjejaskan kepercayaan mereka terhadap sistem dan ahli politik.

    “Pendirian BN yang ditunjangi UMNO ialah kita harus elakkan rakyat dibebani semula dengan proses pilihan raya.

    “Tentunya proses yang berjalan dalam dua tahun setengah yang lalu tidak harus diadakan semula.

    “Paling penting ialah bagaimana semua harus akui kestabilan politik yang wujud di Pusat, haruslah wujud di semua negeri,” katanya, lapor Berita Harian.