Tag: polis trafik

  • Iring anak ahli Parlimen: 2 anggota trafik dikenakan tatatertib

    Iring anak ahli Parlimen: 2 anggota trafik dikenakan tatatertib

    DUA anggota trafik dikenakan tindakan tatatertib selepas mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipetik Berita Harian sebagai berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Menurutnya, Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

    “PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.

    Mei lalu, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

    Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

    Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

  • [VIDEO] Anak MP Baling dikecam guna polis trafik redah kesesakan

    [VIDEO] Anak MP Baling dikecam guna polis trafik redah kesesakan

    POLIS Pulau Pinang menjalankan siasatan terperinci berhubung satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, dekat George Town.

    Difahamkan, lelaki tersebut ialah anak Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim.

    Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya juga telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video yang tular di media sosial sejak semalam.

    “Pada Sabtu (semalam) kira-kira pukul 8.36 malam terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez dan rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki (orang awam) memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM.

    “Pihak Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Gambir itu dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi klip video itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.

    https://www.tiktok.com/@saladintivi/video/7095070740201983259?_t=8S7VBcZlr3x&_r=1

    Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

  • 3 beranak nyaris dihanyutkan arus Sungai Klang diselamatkan polis trafik

    3 beranak nyaris dihanyutkan arus Sungai Klang diselamatkan polis trafik

    TINDAKAN pantas dua anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memberi bantuan kepada tiga beranak yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang semalam berjaya menyelamatkan nyawa kesemua mangsa daripada dihanyutkan arus deras sungai.

    Malah, rakaman video kejadian itu berhampiran Jalan Kuching menghala Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur berdurasi 19 saat juga tular di media sosial.

    Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam kira-kira pukul 3.20 petang.

    Katanya, orang awam meminta bantuan polis agar menyelamatkan seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan daripada dihanyutkan arus Sungai Klang.

    “Dua anggota JSPT, Lans Koperal Hafizul Khalis Anuar dan Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah kemudian ke lokasi dan bertindak pantas memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sarifudin memberitahu, ketiga-tiga beranak itu difahamkan sedang memancing di Sungai Klang ketika hujan lebat sebelum air naik secara tiba-tiba tanpa mereka sedari.

    Orang awam yang berada di lokasi kejadian turut dirakam membantu anggota polis terbabit.

    Sementara itu, warganet yang melihat status dan video kejadian tersebut di media sosial memuji tindakan pantas anggota polis berkenaan selain merakamkan ucapan terima kasih.