Tag: Polis tahan dua lelaki

  • Polis tahan dua lelaki disyaki mabuk halang bas

    Polis tahan dua lelaki disyaki mabuk halang bas

    POLIS hari ini menahan dua lelaki yang dirakam bertindak samseng dengan menahan sebuah bas henti-henti dalam satu kejadian di Kulai, semalam.

    Lelaki tempatan berusia 32 dan 42 tahun itu ditahan pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow, suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada pemandu bas terbabit kira-kira pukul 10 pagi.

    Jelasnya, kejadian berlaku pada pukul 8.15 pagi semalam, ketika pemandu bas henti-henti yang berusia 31 tahun sedang memandu di Taman Puteri, Kulai.

    “Pemandu bas melihat sebuah kereta BMW berwarna hitam telah berhenti di tengah jalan dan seakan-akan memberi jalan kepadanya yang ketika itu sedang memandu bas untuk keluar dari jalan berkenaan.

    “Bas yang dipandu mangsa kemudian telah ditahan suspek dan suspek juga memarahi mangsa dengan menghentak beberapa kali dinding bas menggunakan tangannya.

    “Seorang lagi rakannya datang menghampiri mangsa dengan memegang cermin sisi di bahagian kanan pemandu dan cuba merosakkannya namun mangsa sempat bergerak lalu meneruskan perjalanan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, pemandu bas terbabit percaya kedua-dua suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk.

    Katanya, suspek kemudian mengekori mangsa dari arah belakang dari terminal bas Kulai sehinggalah sampai ke Jalan Batu 21 Kulai Besar, di sini.

    “Suspek masih bertindak mengulangi perkara sama, namun mangsa berdiam diri di dalam bas bimbang keselamatan terancam,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman esok, bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

    Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi satu minit 19 saat memaparkan sebuah kereta BMW memotong sebuah bas henti-henti secara tiba-tiba.

    Rakaman juga memaparkan, seorang lelaki keluar dari kenderaan yang berhenti di tengah jalan sebelum datang mengetuk pintu bas, manakala seorang lagi datang ke bahagian tepi sambnil memarahi pemandu bas terbabit.

  • Polis tahan dua lelaki, rampas rokok bernilai RM3.3 juta

    Polis tahan dua lelaki, rampas rokok bernilai RM3.3 juta

    POLIS menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tanpa cukai bernilai RM3.3 juta di 55.2 kilometer Lebuhraya Karak, Pahang, kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil maklumat awam,  Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah membuat pemantauan dan menahan sebuah lori muatan lima tan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun pada 4.20 pagi.

    Beliau berkata, sejurus lori itu ditahan telah datang sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu lelaki berusia 30 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan pemandu lori itu.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 333 kotak besar mengandungi rokok disyaki tanpa cukai kastam antaranya jenis Touro International, Wismilak Diplomat dan Luffman Premium Blend 22.

    “Justeru, polis telah menahan kedua-dua lelaki rakyat tempatan dan hasil siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut mengambil upah sebanyak RM1,500 untuk menghantar rokok seludup itu ke Kuala Lumpur.

    “Suspek mendakwa telah mengambil lori di Kemaman, Terengganu yang ditinggalkan di deretan kedai dengan kunci diletakkan di bahagian tayar sebelum memandu ke Kuala Lumpur…usaha mengesan pemilik lori giat dijalankan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Bentong, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek kali pertama terlibat dalam kegiatan berkenaan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.

    Katanya, kedua-dua lelaki itu direman empat hari bermula 20 Nov mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967. – Bernama