Tag: Polis siasat video tular

  • Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran klip video menunjukkan beberapa individu menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Malaysia dan Israel.

    Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood berkata, siasatan dilakukan susulan satu laporan dibuat seorang lelaki tempatan pada 29 Nov lalu yang melihat rakaman video itu tular di WhatsApp.

    Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan bersama agensi pelancongan.

    “Kita menerima satu laporan polis daripada lelaki warga tempatan yang menyatakan melihat rakaman video berdurasi 47 saat di kumpulan sembang WhatsApp, di mana lagu Negaraku dinyanyikan beberapa individu dan bendera Malaysia dikibarkan bersama bendera Israel.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dalam video itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

    Ku Mashriman berkata, meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform.

    Katanya, ia bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

    Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Polis siasat video tular, kenal pasti individu berhibur di konsert di Ayer Hitam

    Polis siasat video tular, kenal pasti individu berhibur di konsert di Ayer Hitam

    POLIS akan menjalankan siasatan susulan video tular menerusi media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berhibur di sebuah konsert di Ayer Hitam dekat Batu Pahat baru-baru ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan itu bagi mengenal pasti penganjur dan individu yang terlibat dalam konsert berkenaan.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu setakat ini.

    “Tidak boleh berpesta, ia akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan siasat serta ambil tindakan.

    “Kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) jika mereka berhibur dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya pihak polis menerima laporan berhubung video tular itu.

    Kamarul Zaman berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    Terdahulu video berdurasi 52 saat itu memaparkan sebuah kumpulan muzik mengadakan persembahan dengan sekumpulan lelaki dan wanita sedang rancak berjoget sehingga mengabaikan SOP. – Bernama

  • Polis siasat video tular, lelaki dibelasah sekumpulan individu

    Polis siasat video tular, lelaki dibelasah sekumpulan individu

    POLIS sedang menyiasat video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul sekumpulan individu lain, dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Ipoh.

    Video terbabit disebarkan oleh pemilik akaun laman media sosial Facebook bernama Melvin Zheng Wenxin sehingga mendapat perhatian umum.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan: “Polis mengesahkan satu laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Pada masa yang sama, siasatan dijalankan bagi mengesan individu yang terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan,” katanya.

    Juateru katanya, orang awam disarankan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana akan menjejaskan siasatan polis.

    “Kita ingin menyeru kepada mangsa dalam kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki menerusi talian 012-5077026 bagi membantu siasatan polis.

    Terdahulu tular media sosial video berdurasi satu minit lima saat memaparkan video seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.