Tag: Polis Perak

  • Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    POLIS merampas 79 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM5.5 juta selepas membongkar makmal memproses bahan terlarang itu menerusi dua serbuan di Manjung, Sabtu lalu.

    Pada masa sama, polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard dan Ford Mustang serta barang kemas dianggarkan bernilai RM763,693.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pantai Remis kira-kira pukul 7 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita Vietnam, berumur antara 32 hingga 39 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM95,043.

    Beliau berkata, berikutan itu, kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Panchor, yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dan membungkus pil Ecstasy.

    “Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menjumpai pil Ecstasy sebanyak (11,838) biji atau anggaran berat 5,592 gram; serbuk disyaki dadah jenis Ecstasy anggaran berat 38,326 gram; cecair disyaki Ecstasy anggaran berat 31,311 gram.

    “Turut ditemui, daun-daun kering disyaki ganja anggaran berat 2,056 gram; ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (844 gram); dan dadah disyaki heroin (162 gram).

    “Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM5,429,979.80,” katanya lapor Astro AWANI, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, turut dirampas ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses serta membungkus dadah.

    Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah lebih RM6,288,716, iaitu yang terbesar tahun ini.

    Katanya lagi, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek, mendapati kesemuanya positif dadah jenis Amphethamine dan semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau.

    Menurutnya, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di Perak yang boleh digunakan kira-kira 258,214 orang penagih dadah.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

  • Gengsterisme Ipoh: Polis tubuh pasukan khas

    Gengsterisme Ipoh: Polis tubuh pasukan khas

    Oleh: Bernama

    POLIS menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kegiatan gengsterisme di bandar raya ini seperti didakwa seorang pengguna laman Facebook, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pasukan itu ditubuhkan bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular mengenai aktiviti tersebut, yang dikongsi pengguna Facebook bernama Meganathan Nathan itu dan telah mendapat perhatian umum.

    “Polis memandang serius tentang aduan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat dalam perkara ini.

    “Namun orang awam dinasihati agar tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular di media sosial bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengemukakan sebarang aduan atau maklumat melalui saluran yang betul dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222 atau e-mel kepada Ketua Polis Daerah Ipoh di [email protected].

    Katanya maklumat mengenai kegiatan jenayah di bandar raya itu juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh melalui e-mel [email protected].

    Terdahulu, tular aduan seorang pengguna Facebook dengan mendakwa terdapat kegiatan kumpulan kongsi gelap di Ipoh yang melibatkan golongan remaja dikenali sebagai Thilai Geng 04.

    Kumpulan itu dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah terancang selain turut didakwa cuba mempengaruhi remaja lain di kawasan sekitar untuk menyertai mereka. -BERNAMA