Tag: polis marin

  • Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menahan tiga lelaki disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan diesel dianggarkan bernilai RM378,155 dalam tiga serbuan Op Kontraban, di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dilakukan antara pukul 6 pagi hingga 8.30 pagi selepas menerima maklumat.

    “Tiga suspek berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana didapati membawa bahan api berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan yang digunakan suspek iaitu sebuah van, lori dan lori tangki didapati membawa diesel dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 31,700 liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek mengaku membawa muatan diesel berkenaan tanpa permit yang sah.

    Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Anggota polis marin mengaku tidak bersalah ambil dadah

    Anggota polis marin mengaku tidak bersalah ambil dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis Marin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dakwaan penyalahgunaan dadah, akhir bulan lalu.

    Tertuduh, Mohd. Khalil Che Khalid, 39, Bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

    Tertuduh yang telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 17 itu didakwa telah memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam dirinya sendiri.

    Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 11.30 pagi, 30 Ogos lalu.

    Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman memohon tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu dia kini sudah digantung tugas dan tidak mempunyai pendapatan, selain perlu menanggung seorang isteri dan dua orang anak.

    Mahkamah kemudian menetapkan wang jamin berjumlah RM2,000 dengan sheorang penjamin, selain turut menetapkan tarikh 7 November untuk serahan dokumen.