Tag: Polis Johor

  • Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api

    Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api

    POLIS Johor menyiasat berhubung tindakan seorang anggota polis yang membenarkan rakannya yang juga orang awam memegang dan bergambar dengan senjata api.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, siasatan mendapati gambar berkenaan diambil di hadapan Balai Polis Taman Johor Jaya di Johor Bahru pada pukul 2.43 pagi, semalam.

    Katanya, gambar berkenaan kemudian tular dalam media sosial khususnya Twitter menerusi satu akaun bernama @evvok.

    “Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.

    “Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi berkata, ketika gambar itu diambil, anggota berkenaan sedang bertugas di pos pengawal balai polis berkenaan.

    “Siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan seorang lagi individu awam yang mengambil gambar berkenaan merupakan rakan dan semuanya berusia 25 tahun.

    “Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ianya telah dimuat naik ke dalam media sosial sehingga menjadi tular,” jelasnya.

    Katanya, tindakan anggota polis tersebut membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

    Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

    “Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Polis nafi kejadian culik kanak-kanak lelaki di pusat tuisyen

    Polis nafi kejadian culik kanak-kanak lelaki di pusat tuisyen

    POLIS menafikan berlaku kejadian penculikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pusat tuisyen seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati pesanan mesej yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Johor Bahru adalah palsu dan tiada sebarang laporan dibuat mengenai insiden itu.

    Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berusia sembilan tahun itu berada di rumah bersama bapanya.

    “Hal ini (perbuatan penyebaran mesej) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

    “Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

    Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menyebarkan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber tidak sahih.