Tag: Polis didakwa

  • Bunuh pemandu e-hailing: 7 termasuk 6 anggota polis akan didakwa

    Bunuh pemandu e-hailing: 7 termasuk 6 anggota polis akan didakwa

    TUJUH suspek terdiri enam anggota polis dan satu orang awam akan dituduh di Mahkamah Majistret Tawau petang ini melibatkan kes pembunuhan seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing pada 13 Jan lepas di Tawau.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata pihak polis telah melengkapkan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan lengkap telah dimajukan ke Pejabat Peguam Negara semalam.

    “Semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

    “Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata seramai lapan anggota polis dan tiga orang awam telah ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Pada 31 Jan lepas, Idris ketika memberitahu perkembangan semasa kes itu dilapor berkata kes bunuh itu bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

    Sehari sebelumnya, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di sini antara 7.30 dan 9 malam, 13 Jan lepas. – BERNAMA

  • ASP polis, warga emas dituduh lepas 11 OKT kes Macau Scam di Pulau Pinang

    ASP polis, warga emas dituduh lepas 11 OKT kes Macau Scam di Pulau Pinang

    SEORANG pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini atas dakwaan melepaskan 11 suspek warga China berkait kes Macau Scam tahun lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, ASP Mohamad Azrim Abu Bakar, 41, dan S. Muniandy, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Azrim didakwa mengingkari arahan undang-undang untuk menyerahkan 11 warga asing kepada Jabatan Imigresen dengan niat semua warga asing itu dapat diselamatkan daripada tindakan pengusiran.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut antara pukul 2 hingga 3 petang, 9 Februari tahun lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duannya sekali.

    Bagi kertas pertuduhan Muniandy pula, dia didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan semua 11 warga asing itu di lokasi, waktu, dan tarikh yang sama.

    Muniandy yang diisytihar muflis pada 2007 didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Mohamad Azrim diwakili oleh peguam M. M. Athimulan; T. Tamil Selvam dan K. Mahendran manakala Muniandy diwakili Hari Prassaad Rao.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim.

    Pada Mac tahun lalu, polis Pulau Pinang menahan lapan individu terdiri daripada pegawai polis, seorang kakitangan Jabatan Imigresen serta orang awam bagi membantu siasatan kes melepaskan orang kena tuduh (OKT) Macau Scam warga China di negeri itu.

    Difahamkan, beberapa pegawai polis Pulau Pinang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dipercayai telah melepaskan lebih 11 OKT yang terlibat dalam Macau Scam dengan cara menyerahkan mereka kepada ‘seorang pegawai dari sebuah agensi kerajaan’ untuk diambil tindakan.

    Bagaimanapun, kesemua OKT warga China tersebut tidak dibawa ke ibu pejabat agensi tersebut dan dipercayai telah dilepaskan.

    Dipercayai, pegawai polis yang terlibat menerima sejumlah wang untuk melakukan jenayah tersebut.

    Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang ‘pegawai’ Jabatan Imigresen untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti yang sepatutnya.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah.