Tag: polis buru

  • Polis buru suspek utama kebakaran gudang pakaian

    Polis buru suspek utama kebakaran gudang pakaian

    SEORANG lelaki dipercayai suspek utama terbabit dalam kes khianat dengan api membabitkan dua kebakaran di gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason, di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta sedang dicari polis.

    Suspek utama itu, G Logeswaran berusia 41 tahun dan beralamat di M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1 Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur, dipercayai dapat membantu untuk menyelesaikan siasatan kes itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan, polis menerima laporan kejadian pertama kebakaran gudang pakaian daripada pengurusnya yang berusia 31 tahun (pengadu), pukul 4.08 pagi pada 6 Januari lalu.

    “Kebakaran itu berjaya dipadamkan yang mana ia hanya meliputi kawasan bahagian hadapan gudang saja. Semakan kamera litar tertutup di kawasan itu mendapati kebakaran bermula jam 3.06 pagi di mana terdapat kelibat suspek memanjat tembok dan membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api.

    “Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 yang membabitkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Eng Lai berkata, pada 11 Januari kira-kira pukul 4.30 pagi, polis menerima satu lagi laporan mengenai kejadian kebakaran membabitkan gudang yang sama.

    Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku di bahagian belakang dalam gudang berkenaan dan semua suspek diupah RM10,000 untuk membakar gudang

    “Selepas kebakaran berjaya dipadam oleh bomba, pengadu mendapati stok baju Melayu dan lain-lain barang tidak pasti sudah terbakar.

    “Anggaran jumlah stok baju Melayu yang terbakar adalah sebanyak 14,400 helai. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Eng Lai berkata, berdasarkan hasil risikan yang dijalankan, sebanyak enam serbuan dibuat di beberapa lokasi yang berbeza di sekitar Selangor.

    Katanya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul itu dilakukan 11 malam 15 Januari sehingga kira-kira pukul 4.30 pagi 18 Januari lalu.

    “Hasil serbuan, polis berjaya menahan sembilan suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

    “Turut dirampas ketika tangkapan adalah sebuah motosikal dan pakaian yang dipercayai dipakai suspek serta satu tong minyak berisi petrol yang digunakan untuk membakar gudang itu.

    “Kesemua orang kena tuduh (OKT) direman sehingga 26/01/2023 (semalam). Pihak polis juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan penyalahgunaan dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah dan empat suspek lagi negatif,” katanya.

    Beliau berkata, semalam atas arahan Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur, dua suspek dituduh bagi kejadian pertama manakala tiga suspek lagi dituduh bagi kejadian kedua mengikut Seksyen 435 KK.

    Menurutnya, suspek yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

    “Kesemua suspek yang dituduh tidak mengaku salah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Mac depan.

    “Motif kejadian setakat ini mendapati suspek diupah untuk membakar gudang yang berkenaan. Semua suspek yang dituduh dipercayai adalah orang upahan untuk melakukan pembakaran gudang itu.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan individu itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-7331772 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya.

  • Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    POLIS sedang mengesan banduan lelaki yang meloloskan diri Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Jasin, petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd
    Fadzli Othman berkata, Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, meloloskan diri dan kehilangannya disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan, pukul 2.20 petang.

    “Banduan terbabit kes samun itu sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

    “Polis menerima laporan kehilangan banduan itu pada 7.03 malam yang dibuat pengadu selepas menyedari kehilangan suspek semasa dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

    “Berdasarkan laporan itu, tahanan terbabit dilihat kali terakhir memakai baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Fadzli berkata, sejurus menerima laporan, polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

    Katanya, siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian hingga menyebabkan tahanan lolos, dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tahanan ini diminta menyalurkan maklumat kepada kepada polis atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

  • Lelaki positif Covid-19 larikan diri diburu polis

    Lelaki positif Covid-19 larikan diri diburu polis

    SEORANG lelaki yang disahkan positif Covid-19 dan melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Pusat Kuarantin Likas, Ahad lalu sedang diburu polis.

    Suspek, Lo Hin Khiong, 38,melarikan diri dari kenderaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sejurus diambil dari Balai Polis Penampang dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran simpang empat Kompleks Sukan Likas, suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dibebaskan oleh polis Daerah Penampang untuk dihantar ke pusat kuarantin itu.

    “Ketika kejadian, suspek yang duduk di tempat duduk penumpang belakang membuka pintu kereta dan terus melarikan diri tanpa mempedulikan panggilan petugas JKNS.

    “Petugas JKNS kemudian membuat membuat laporan polis,” katanya, semalam.

    Dalam pada itu, Mohd Zaidi memberitahu, suspek sebelum ini ditahan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Jumaat lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas disahkan positif Covid-19.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta memaklumkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis.