Tag: pokok tumbang

  • 3 pengunjung Zoo Melaka cedera dihempap pokok tumbang

    3 pengunjung Zoo Melaka cedera dihempap pokok tumbang

    TIGA pengunjung Zoo Melaka cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkunjung ke lokasi pelancongan tersebut semalam. 

    Dalam kejadian pada kira-kira 2.40 petang itu, seorang lelaki berusia 43 tahun patah kaki kanan, manakala seorang wanita dan anak lelakinya masing-masing berusia 40 dan enam tahun mengalami cedera ringan.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata kejadian itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berada di kawasan kandang harimau.

    “Mereka sebelum itu menaiki kenderaan disediakan pihak zoo pada  2.05 petang dan sebaik tiba di kawasan kejadian tiba-tiba sebatang pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurutnya kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala pihak Zoo Melaka dan agensi berkaitan mengambil langkah pantas membersihkan kawasan berkenaan. -BERNAMA

  • Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok yang tumbang di Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata penunggang, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu.

    Beliau berkata pembonceng yang dikenali sebagai Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula berada di zon merah Hospital Rembau akibat kecederaan parah di bahagian badan.

    “Kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha FZ150 dinaiki mereka bergerak dari arah Senawang menuju ke Rembau. Setibanya di tempat kejadian, terdapat satu pokok di kiri bahu jalan tumbang lalu menghempap motosikal berkenaan menyebabkan kedua-duanya terperosok ke bawah pokok itu.

    “Lokasi kejadian berbentuk jalan lurus dan mempunyai dua lorong berlawanan arah dan keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, serta cuaca ketika itu baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Hujan lebat, angin kencang sebabkan pokok tumbang di Perak

    Hujan lebat, angin kencang sebabkan pokok tumbang di Perak

    HUJAN lebat dan angin kencang yang melanda lewat petang hingga malam semalam menyebabkan insiden pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri Perak.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai pokok tumbang di beberapa lokasi di Ipoh, Kampar, Seri Manjung, Pantai Remis dan Teluk Intan pada kira-kira pukul 6.30 petang hingga 11 malam.

    “Di Ipoh, pokok tumbang merintangi jalan di Taman Rapat Setia, Balai Polis Buntong, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Jelapang, Taman Perpaduan dan Persiaran Pulai Baru.

    “Kami turut menerima panggilan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di Persiaran Agasia 1, Kampar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata insiden pokok tumbang yang merintangi jalan turut dilaporkan berlaku di Jalan Lumut dan Kampung Cina serta Jalan Teluk Senangin di Seri Manjung dan Pekan Langkap di Teluk Intan.

    Katanya pihak bomba telah menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok yang tumbang dan mengalihkan ke tempat yang selamat.

    “Operasi turut melibatkan pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, pihak majlis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam,” katanya.- BERNAMA