Tag: PN

  • PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju agar semua jentera pilihan raya parti komponen di setiap peringkat bergerak atas nama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN dan Biro Politik Bersatu yang berlangsung sebentar tadi. 

    “Tadi kita ada mesyuarat bincang mengenai persiapan PRU15. Bila masa (PRU15), Wallahualam kita tidak tahu tapi ini bukan baharu dah kita sudah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk menentukan supaya satu, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

    “Kita dah bersetuju di peringkat PN agar semua jentera (parti komponen) di semua peringkat bergerak atas nama PN, maknanya gabungan parti-parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR). Itu yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuararat berkenaan.

    Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Mesyuarat Biro Politik Bersatu turut diadakan selepas itu.

    Muhyiddin juga berkata, mesyuarat Majlis Presiden PN turut bersetuju untuk meneruskan Program Jelajah Prihatin bagi memberikan penerangan terperinci tentang pandangan gabungan itu berkaitan isu semasa.

    “Ini termasuklah tentang apa yang kita nak masukkan dalam manifesto kita dan apa yang kita nak sediakan… tumpuan kepada soal isu rakyat, rakyat kita mahu utamakan. 

    “Selain itu, Program Gerai Prihatin juga diteruskan untuk bantu rakyat menghadapi masalah besar seperti kos sara hidup tinggi, inflasi dan sebagainya… kita sudah mulakan di banyak negeri dan kita akan beri tumpuan dalam masa terdekat supaya kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, dapat dibantu,” katanya.

    Mengenai kedudukan PAS sama ada kekal dalam PN bagi menghadapi PRU15, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara ringkas berkata: “Insya-Allah, kita istiqamah.” – BERNAMA

  • Majlis Presiden PN bincang persiapan, manifesto PRU-15

    Majlis Presiden PN bincang persiapan, manifesto PRU-15

    MAJLIS Presiden Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat hari ini dengan antara lain membincangkan hal berkaitan manifesto dan persiapan jentera pilihan raya peringkat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kepada media di saat spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan.

    “Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat bulanan PN iaitu pelaporan daripada pelbagai unit, keduanya tentang persiapan PRU termasuk manifesto serta pelancaran jentera pilihan raya di Selangor semalam dan selepas ini di Perak dan Pahang. 

    “Jawatankuasa perundingan kerusi juga masing-masing buat pelaporan awal, apa pun kita akan adakan perbincangan berikutnya selepas ini dan setiap parti dia ada jawatankuasa bersama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.

    Mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen PN, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata perkara tersebut juga masih dalam perbincangan.

    “Ada beberapa kerusi yang kita fikir kita perlu duduk untuk muafakat bagi elak kerusi tersebut jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH)…kita akan bentang perincian nanti,” katanya. 

    Mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN turut dihadiri  Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.- BERNAMA

  • Musuh cuba usik kebersamaan Pas dalam PN

    Musuh cuba usik kebersamaan Pas dalam PN

    MUSUH Perikatan Nasional (PN) sentiasa berusaha memecah belahkan Pas daripada gabungan politik itu kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

    Beliau semasa Majlis Makan Malam PN Selangor malam tadi berkata, ada kumpulan yang cuba mengusik kebersamaan Pas Selangor dalam PN dengan mengatakan parti itu memboikot PN pusat apabila hanya menghantar 40 orang wakil sahaja dalam majlis berkenaan.

    Namun katanya, beliau menganggap perkara itu lumrah kerana dalam politik Pas mempunyai musuh yang ramai dan mereka mahu memecah belahkan parti itu dalam PN.

    “Saya ingat saya selalu dengar ucapan Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan pimpinan Pas yang mengatakan parti itu antara pengasas kepada PN.

    “Macamana kita nak boikot PN sedangkan kita founder (pengasas) kepada PN. Tetapi provokasi itu biasa,” katanya semasa Majlis Makan Malam PN Selangor malam ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, untuk memelihara kebersamaan parti dalam PN, mereka perlu saling membantu dan mengekalkan disiplin yang baik.

    Selain itu katanya, setiap pandangan dan pemikiran adalah perkara biasa namun perlu didengar sehingga habis cerita.

    “InsyaAllah kalau kita benar-benar letakkan dalam fikiran kita kebersamaan siapa yang kita letak insyaAllah permuakatan yang kita bina ini akan datangkan kebaikan kepada kita,” katanya.

    Sebelum itu, timbul khabar angin hubungan Pas dan Bersatu di Selangor didakwa “semakin dingin” apabila timbul ketidakpuasan hati antara pimpinan parti komponen PN berhubung pembahagian jawatan peringkat bahagian.

    Portal Free Malaysia Today mendakwa pergolakan itu berlaku apabila pemimpin PAS negeri difahamkan tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan ketua PN bahagian membabitkan 22 Parlimen bagi tiga parti dalam komponen itu.

  • PN adakan ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara

    PN adakan ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara

    PERIKATAN Nasional akan mengadakan program ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara dalam masa terdekat.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu akan melibatkan semua pemimpin gabungan berkenaan.

    Menurutnya, perkara itu antara yang dipersetujuinya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan malam tadi.

    “Kita (PN) bersetuju utk mengadakan program Jelajah Prihatin di seluruh negara dengan membabitkan semua pemimpin PN

    “Program ini maksudnya. Kita turun ke bawah dan menyampaikan pandangan, harapan dan apa yang kita buat sebagai parti kalau kita membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

    Pertemuan selama dua jam di kediaman Muhyiddin itu turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin manakala Pas turut disertai Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Mengulas mengenai pertemuan itu, Muhyiddin berkata, Bersatu dan Pas juga setuju untuk segera memuktamadkan pengagihan kerusi bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Katanya, Pas akan diwakili Ahmad Shamsuri manakala Bersatu diwakili Ahmad Faizal.

    “Jadi ia akan disegerakan, maknanya sudah sampai peringkat pembahagian kerusi,” tambahnya.

  • PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    GERAKAN Tanah Air (GTA) terbuka untuk berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalinkan ‘tidak tahu lagi’, kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang mengulas saranan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN berkata, kerjasama dengan PN perlu dibincangkan dengan semua parti gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam gerakan itu.

    “Dia (Muhyiddin) boleh datang bincang tapi keputusan (untuk kerjasama) kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘flag off’ Program Semangat Merdeka anjuran GTA di sini hari ini.

    Dr Mahathir berkata Muhyiddin ada datang bertemu dengannya baru-baru ini, namun ia hanya pertemuan biasa dan bukan perbincangan mengenai kerjasama politik.

    Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

    Dr Mahathir berkata GTA yang dianggotai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta NGO berjuang berpaksikan kepada penentangan salah guna kuasa, rasuah dan memperjuangkan hak kaum Melayu bagi membina sebuah kerajaan yang bersih.

    Beliau berkata GTA akan mengemukakan permohonan pendaftaran gerakan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 6 Sept ini.- BERNAMA

  • PRU-15: Tiada kerjasama dengan PN, noktah – Rafizi

    PRU-15: Tiada kerjasama dengan PN, noktah – Rafizi

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan (PH) tetap tidak perlu mewujudkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Rafizi berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat PH yang diadakan pada Rabu lepas.

    “Mesyuarat PH pada Rabu lepas sudah buat keputusan noktah. Maksudnya kita akan terus berkempen dalam PRU15 sebagai PH,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

    Katanya, PKR sebagai tulang belakang PH berpegang kepada prinsip satu gabungan melibatkan semua kaum di negara ini, dan sekiranya niat gabungan bersama PN tidak betul iaitu hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN, ia akan mewujudkan satu kerajaan yang tidak stabil.

    “Menang atau kalah belakang kira, kami (PKR) mahu pertahankan idealisme kami. Tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara). Mereka pimpinan senior berpengalaman berpuluh tahun, terpulang kepada mereka…saya hanya berpegang kepada keputusan di peringkat PH iaitu noktah (tiada kerjasama dengan PN),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah BN. – BERNAMA

  • Radzi ajak pembangkang kerjasama dengan PN tumbang BN 1 lawan 1

    Radzi ajak pembangkang kerjasama dengan PN tumbang BN 1 lawan 1

    GESAAN supaya pembangkang membuka pintu rundingan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dianggap rasional jika mahu memastikan Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Radzi berpandangan, parti memusuhi BN wajar mempertimbangkannya bagi merangka strategi khususnya memastikan satu lawan satu dalam meningkatkan peluang menang.

    “Mesej (pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam jelas, bahawa politik ini dinamik dan apa juga boleh berlaku dalam politik.

    “Dalam konteks ini, apa yang penting ialah untuk kita lihat, BN tidak kembali memerintah selepas PRU15,” katanya menurut lidah rasmi parti, Berita Bersatu.

    Semalam, Muhyiddin menggesa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa BN adalah musuh utama pada PRU15.

    Beliau menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

    Muhyiddin dilaporkan berkata, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini khususnya selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

    Untuk rekod, Bersatu yang mengetuai PN adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang susulan “Langkah Sheraton”digerakkan pemimpin utama parti terbabit.

    Susulan itu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas mendapat sokongan majoriti wakil rakyat termasuk daripada Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Bagaimanapun, pada Ogos 2021, UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin menyebabkannya diganti oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    PKR, DAP dan Amanah yang kekal dalam PH bergerak sebagai pembangkang.

  • PN tadbir lebih baik dari BN walau singkat – Radzi

    PN tadbir lebih baik dari BN walau singkat – Radzi

    MESKIPUN hanya menjadi kerajaan selama 17 bulan, Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) yang selama lebih lebih enam dekad mentadbir negara, kata Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin.

    Dalam ucapannya di Konvensyen PN hari ini, Radzi memberi beberapa contoh kejayaan PN antaranya melupuskan hutang peneroka Felda serta program yang memberi manfaat kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

    “Pengerusi (Muhyiddin Yassin) memimpin kerajaan sekitar satu tahun lima bulan… tempoh ini kita ada track record amat cemerlang.

    “Dalam banyak-banyak gabungan parti di Malaysia ini, gabungan di peringkat persekutuan yang paling baru adalah PN. Tempoh singkat dua tahun tapi track record dan impak ditinggalkan kepada rakyat amat jelas.

    “Sahabat-sahabat di Sabah, Sarawak bercakap bagaimana (dalam) tempoh singkat ini manfaat sampai ke Sabah, Sarawak yang ditunggu berpuluh tahun sejak BN,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Radzi berkata, sementara BN menganggap Sabah dan Sarawak sebagai “deposit tetap” ketika pilihan raya, PN pula menjadikan dua negeri itu sebagai “sahabat”.

    Radzi yang juga menteri pendidikan ketika pentadbiran PN dan juga sekarang turut memberi contoh hutang peneroka Felda yang sering dibangkitkan setiap tahun.

    “Lepas berpuluh tahun siapa yang selesaikan lebih RM8.3 bilion hutang peneroka Malaysia diselaraskan.

    “Ini impak baru setahun lima bulan jadi PM. Cuba bagi penuh penggal, Insya-Allah kita akan lihat impak pada rakyat jauh lebih baik,” katanya.

    Mengimbas semula ketika Covid-19 yang melanda negara, Radzi berkata prestasi PN juga dapat dilihat dengan bagaimana krisis kesihatan itu diuruskan.

    Untuk rekod, pentadbiran PN pernah dikritik antaranya berhubung pengendalian perintah kawalan pergerakan (PKP) – yang merangkumi beberapa tahap sekatan – dengan ada yang dibuat di saat akhir.

    Antaranya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

    Malah, Radzi ketika memegang jawatan yang sama dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob turut dikritik antaranya dalam isu pemeriksaan haid di kolej dan sekolah serta jenaka seksual di sekolah.

  • Muhyiddin jadi PM jika Perikatan Nasional menang PRU-15

    Muhyiddin jadi PM jika Perikatan Nasional menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) akan terus menamakan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu akan tetap mendapat sokongan kesemua parti dalam gabungan tersebut sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.

    Sehubungan itu, PN tegas beliau, akan memberi tumpuan mengukuhkan kekuatan dan perpaduan dalam usaha mendapat sokongan rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.

    “Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Dominic.

    Sehubungan itu, PN tegas beliau, akan memberi tumpuan mengukuhkan kekuatan dan perpaduan dalam usaha mendapat sokongan rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.

    “Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Dominic.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Konvensyen Perikatan Nasional 2022, serta ulang tahun kedua penubuhan gabungan tersebut, di sini, pada Sabtu.

    Namun, Dominic mengakui, usaha untuk memenangi PRU15 bukanlah bukan sesuatu yang mudah, memandangkan dinamika politik yang berbeza pada masa kini.

    “Untuk mencapai impian ini PN perlu mendapatkan mandat dan sokongan undi daripada kesemua rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.