Tag: PN BEST

  • Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

    Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyediakan penyata laporan bagi mencatat pencapaian dalam tawaran manifestonya yang dilaksanakan, jika berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran PN PRU-15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan.

    “Setiap pencapaian yang tertulis pada tawaran itu akan dicatat dan dikemukakan dalam bentuk penyata laporan sebagai bukti setiap apa yang dijanji dilaksana sepanjang tempoh pemerintahan.

    “Tawaran PN PRU15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan yang sudah pasti dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat.

    “Insya-Allah tidak ada seorang pun yang ketinggalan dalam menikmati hasil kemakmuran negara,” kata Muhyiddin dalam catatan Facebook hari ini.

    Untuk rekod Perikatan Nasional juga akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif yang ditawarkan itu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menceritakan siri jelajahnya di Batu Pahat semalam yang turut memperkenalkan empat calon PN bertanding PRU-15 iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr. Abdul Karim Deraman ( Parit Sulong); Mohd Fazrul Kamat ( Simpang Renggam) dan Zanariyah Abdul Hamid calon Parlimen Sri Gading.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau dapat merasakan sudah ada gelombang kebangkitan rakyat untuk memilih pemimpin berkelayakan bagi menjunjung amanah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat berbilang kaum.

    Menurutnya, kesemua calon ditampilkan PN juga amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing.

    “Saya menegaskan semua calon ini amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk membawa suara rakyat ke Parlimen nanti,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut mengulangi gesaannya agar pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi Sabtu ini bagi memilih parti politik yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

    “Setiap ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak-anak mereka memilih pemimpin yang amanah yang dapat menggalas tugas demi pembangunan ummah,” tambahnya.

  • PN Best jaminan, tawaran praktikal: Muhyiddin

    PN Best jaminan, tawaran praktikal: Muhyiddin

    KAEDAH mengatasi kesuraman ekonomi akibat kesan global menjadi keutamaan Perikatan Nasional (PN), jika kembali menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Malah, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi jaminan isu berkenaan akan menjadi perkara pertama dibincangkan pada mesyuarat Kabinet, sejurus gabungan itu membentuk Kerajaan Persekutuan.

    Ini kerana, katanya, kesuraman ekonomi akan memberi kesan rantaian yang menjejaskan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, penyelesaian berkenaan akan dibuat berpandukan struktur kewangan, dasar fiskal dan kaedah negara menguruskan ekonomi bagi menangani masalah sebahagian besar rakyat yang terjejas akibat keadaan terbabit.

    “PN bercadang melanjutkan moratorium pinjaman kerana pendekatan ini dilihat boleh dilaksanakan, selain ia hanya membabitkan wang pihak bank. Malah, saya tengok bank pun tidak mengalami kerugian ketika pelaksanaan pendekatan sama, sebelum ini.

    “Keadaan ini akan membolehkan orang ramai mempunyai aliran tunai mencukupi sebagai sekuriti untuk berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

    “Tawaran PN antara lain bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang, termasuk Tabung Khas Galakan Pelaburan bernilai RM5 bilion untuk memastikan Malaysia sebagai paksi industri masa hadapan di Asia Tenggara,” katanya di sini, semalam.

    Peluang pekerjaan

    Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberi jaminan mewujudkan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi masa hadapan dan digital.

    Beliau berkata, komitmen itu selari penubuhan Majlis Pekerjaan Negara, bertujuan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, sebelum ini.

    “Sektor pelancongan juga adalah fokus tawaran PN. Perancangan pemulihan sektor ini oleh pihak berkuasa selama lima tahun adalah terlalu lama dan tidak mencukupi.

    “Ini memandangkan sektor berkenaan adalah antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Justeru, dana khas pelancongan bernilai RM1 bilion akan ditubuhkan bagi membantu pengusaha industri ini dengan barangan buatan Malaysia juga akan menjadi keutamaan kerajaan PN,” katanya lapor BH Online.

    Mengenai jaminan kebajikan rakyat, Muhyiddin berkata, MyPrihatin akan ditubuhkan untuk menjadi pusat sehenti dan pangkalan data tunggal bagi semua urusan penyerahan bantuan kepada golongan memerlukan, bertujuan memastikan agihan dapat dilaksanakan segera.

    “Selain itu, di bawah pentadbiran saya, kebajikan warga FELDA dibela dengan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion sudah dilupuskan menerusi pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.

    Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai juga sudah disiapkan pada tahap 70 peratus.

    “Sekiranya Perikatan Nasional diberi peluang untuk menubuhkan kerajaan, Generasi FELDA akan diperhebatkan lagi, termasuk menawarkan Wawasan FELDA Baharu bagi menjamin masa hadapan generasi muda di kawasan rancangan FELDA,” katanya.

    Perkasa sistem kesihatan

    Beliau berkata, sistem dan kualiti kesihatan awam negara juga akan diperkasa dengan peruntukan dinaikkan lebih lima peratus daripada KDNK, secara berperingkat, selain Kad Prihatin Nasional bakal diperkenal untuk memperluas akses perkhidmatan kesihatan terpilih percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

    Selain itu, katanya, PN akan menawarkan perkhidmatan bas sekolah dan pusat penjagaan percuma bagi kumpulan miskin dan miskin tegar, manakala Jabatan Warga Emas akan ditubuhkan bagi menjamin kesejahteraan golongan berkenaan.

    “PN juga akan melaksanakan inisiatif menggalakkan majikan membenarkan pekerjaan secara fleksibel, mengikut waktu dan lokasi bersesuaian bagi menepati takrif kerja penuh 45 jam seminggu, sekali gus mampu meningkatkan penyertaan wanita dan belia sebagai tenaga kerja.

    “Kadar elaun sara hidup (COLA) juga akan dinaikkan RM100, selain diselaraskan secara berkala serta Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 sebulan, bagi penjawat awam.

    “PN komited memastikan kuarters penjawat awam diselenggarakan dengan peruntukan RM2.5 bilion setahun bagi penyelenggaraan kuarters Kerajaan Persekutuan, di seluruh negara untuk tempoh 2023-2025,” katanya.

    Tiada golongan tertinggal

    Mengulas manifesto PN pada PRU15, Muhyiddin berkata, PN Best adalah jaminan dan tawaran yang praktikal, realistik serta inklusif dalam memastikan tiada golongan tertinggal.

    “Kita juga mempunyai track record dan ketika saya menjadi Perdana Menteri pun kita tidak mempunyai sebarang manifesto, tetapi tetap terus melaksanakan dasar terbaik untuk membela kesejahteraan rakyat.

    “Paling utama adalah kepemimpinan, keikhlasan dalam memastikan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil yang mampu menjaga kebajikan rakyat dan memajukan ekonomi untuk semua,” katanya.

  • PN BEST terima respon positif rakyat – Muhyiddin

    PN BEST terima respon positif rakyat – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto yang juga disebut PN BEST menerima respon yang sangat positif dari rakyat.

    Beliau yang juga Pengerusi PN menegaskan, pelaksanaan PN BEST bukan janji kosong jika gabungan politik itu mendapat mandat mentadbir negara pada 19 November ini.

    Menurutnya, banyak lagi tawaran khas PN kepada segenap lapisan rakyat Malaysia termasuk pengeluaran wang caruman KWSP secara bersasar bagi meringankan beban rakyat.

    “Ini bukan janji kosong. Saya telah membuktikannya ketika saya memimpin negara di mana begitu banyak manfaat yang diterima oleh rakyat.

    “Saya juga menerima respon yang sangat positif berkenaan tawaran PNBEST ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Semalam, gabungan parti di bawah kepimpinan Muhyiddin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Semua tawaran PN termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my.

    Mengulas mengenai manifesto PN itu, Muhyiddin mengakui beliau berasa sebak apabila mendengar keluhan dan impian rakyat Malaysia semasa sesi “Townhall Pelancaran Tawaran PN BEST” semalam.

    “Sebak juga rasanya apabila mendengar keluhan dan impian rakyat Malaysia dalam sesi “Townhall Pelancaran Tawaran PN BEST”.

    “InsyaAllah saya cuba sedaya mampu saya untuk menyelamatkan negara yang kita sayangi ini,” katanya.

    Menurut Muhyiddin, pada sesi pelancaran itu, beliau menerangkan banyak tawaran yang semestinya berdasarkan keperluan rakyat dan negara.

    Katanya lagi, PN BEST menekankan beberapa perkara antaranya:

    1. Mewujudkan 1 Juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa depan dalam tempoh 5 tahun
    2. DanaNita untuk wanita bangkit berniaga dengan pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000
    3. Bantuan Awal Pengajian IPT sebanyak RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar
    4. Akses Kepada Peranti Digital untuk murid di seluruh negara
    5. Moratorium pinjaman PMKS yang lebih berkesan bagi membantu peniaga kecil.
    6. Kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (COLA) kakitangan awam sebanyak RM 100.

    Sementara itu, mengakhiri kenyataan berkenaan, Muhyiddin menghadiahkan rakyat dengan serangkap pantun.

    Kubulat tekad menyelamat negara,
    Membantu rakyat sehabis daya,
    Andai kata PN ke Putrajaya,
    Dihadiahkan 1 hari cuti kepada semua

  • PN amanah tunai tawaran PN BEST – Muhyiddin

    PN amanah tunai tawaran PN BEST – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Perikatan Nasional (PN) akan berpegang teguh kepada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan gabungan politik itu.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, gabungan itu cukup sedar bahawa tawaran dibuat mereka adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat.

    Menurut beliau, semua tawaran itu termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my.

    “Perikatan Nasional akan berpegang teguh kepada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan kerana kita cukup sedar bahawa tawaran kita adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Manifesto atau tawaran Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berteraskan Prihatin, Bersih dan Stabil (#PNBEST) dilancarkan Muhyiddin dalam satu majlis di Shah Alam malam tadi.

    Dengan tema ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

    Daripada 234 tawaran itu, 50 tawaran utama menjadi fokus gabungan itu termasuk membina ekonomi masa hadapan; meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tawaran PN itu akan menjadi wadah dalam membawa harapan rakyat dan negara ke arah Malaysia yang lebih gemilang.

    Malah katanya, manifesto itu amat realistik kerana ia bukannya sekadar janji-janji pilihan raya tetapi boleh dan mampu dilaksanakan oleh Perikatan Nasional jika diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 November ini.

    “Mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan kita ini adalah jelas iaitu untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya.

    “Antara tawaran utama ialah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara, Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi,” tambahnya.