Tag: pmyt

  • Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

    Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

    MESYUARAT Khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) telah memutuskan bahawa ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bercanggah dengan agama Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan membahayakan keselamatan negara.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keputusan itu diputuskan pada mesyuarat minggu lepas yang turut dihadiri para mufti dan beliau sendiri.

    “Alhamdulillah keputusan sudahpun keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita itu dan lebih 1,000 pengikutnya.

    “Kita juga merasakan kes ini akan ditutup dalam masa terdekat dan yang tinggal hanyalah proses pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sini hari ini.

    Beliau berkata susulan keputusan dibuat oleh MFK, terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk mewartakan mengenai ajaran tersebut.

    Ahmad Marzuk turut menasihati masyarakat agar tidak mencari ‘jalan pintas’ ke syurga dengan pelbagai cara sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam dengan merujuk kepada pihak majlis agama negeri.

    “Kita boleh merujuk kepada hadis dan al-Quran yang sebenarnya sudah ada panduan lengkap cara mengamalkan agama,” katanya.

    Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh mahkamah terhadap wanita yang juga pengasas ajaran itu dan pengikutnya boleh dikenakan penjara serta denda.

    Katanya, sebelum terbabit, wanita berkenaan sudah dinasihatkan oleh suaminya supaya tidak meneruskan ajaran berkenaan.

    “Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya, sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian,” katanya.- BERNAMA

  • Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Bukit Aman sudah mengambil keterangan seorang wanita yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Menurut sumber, sepasukan anggota polis mengambil keterangan wanita berkenaan termasuk suaminya di rumahnya di Selangor, semalam.

    Pengikut-pengikut rapatnya turut dirakam percakapan dan keterangan bagi meneliti dan memastikan kebenaran pelbagai dakwaan yang dibuatnya.

    “Namun, adalah jelas bahawa tindakan beliau ini telah menimbulkan kegusaran umum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam serta boleh dikenakan tindakan keras di bawah undang-undang yang berkaitan,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini, perhubungan wanita itu dengan para pengikutnya adalah secara maya (melalui media sosial) dan tiada pertemuan secara fizikal.

    Pihak polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar wanita itu dan sedang memantau pergerakannya.

    Pihak media melaporkan berita berkenaan ajaran sesat wanita tersebut yang menimbulkan keresahan terutama dalam kalangan umat Islam

    Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berkenaan juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.