Tag: PMO

  • Wujud ‘Napoleon Kecil’ dalam PMO, dakwa Sanusi

    Wujud ‘Napoleon Kecil’ dalam PMO, dakwa Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud kumpulan yang digelarnya sebagai ‘Napoleon Kecil’ dalam kalangan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Beliau berkata, kumpulan itu berperanan sebagai pihak yang menguruskan beberapa perkara dan keputusan kecil melibatkan PMO selain menonjolkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Bagaimanapun, dakwanya ‘Napoleon Kecil’ ini telah mewujudkan sistem pecah dan perintah terutama membabitkan hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan selain menampakkan ‘keburukan’ individu tidak disukai mereka.

    Menurut Sanusi, tindakan itu akan mewujudkan perbalahan berpanjangan sekali gus merenggangkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutamanya melibatkan Kedah.

    “Saya nampak di dalam pentadbiran Perdana Menteri ada ‘Little Napoleon’, (itu) saya nampak, minta maaf kalau tidak betul, Little Napoleon ini akan timbulkan perpecahan (selain sentiasa) merancang untuk (wujudkan) perbalahan (antara saya dan Perdana Menteri).

    “Niat (mereka) bagus hendak up (naikkan imej) ‘boss’ dia, tapi itu kadang-kadang boleh cetuskan beberapa perkara tidak diingini.

    “(Contohnya) saya beberapa kali (dipalitkan dengan isu terutama) undangan (menghadiri) Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA2023′), Mesyuarat Kewangan Negara, (dan) majlis jamuan hari raya, itu semua itu kerja ‘Little Napoleon’, saya ikhlas bercakap (berhubung isu ini) dan harap Perdana Menteri dengar suara saya,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Menteri Besar Kedah di Seri Mentalon, Alor Setar.

    Mengulas lanjut, Sanusi menjelaskan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Perdana Menteri namun tindakan kumpulan berkenaan yang turut digelar ‘Syaitan Kecil’ untuk memusuhinya, menampakkan beliau adalah tidak mesra kepada kerajaan Pusat ketika ini.

    Persepsi yang cuba dibawa itu jelasnya tidak lain tidak bukan adalah sebagai bahan kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi menyambut baik ura-ura yang mengatakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menurut beliau, ketokohan yang ada kepada Shahidan terutama pengalaman sebagai Menteri Persekutuan mampu menjadi nilai tambah yang boleh menjadi penawaran kepada pengundi.

    “Saya dengar dia nak pergi (bertanding di) Selangor, saya dengar (sahaja) bukan ‘confirm’, (apa yang) saya dengar (adalah PRN nanti beliau akan bertanding) di Selangor.

    “(Ia akan menjadikan PN lebih) kuat khususnya di Selangor, di Kedah ini ada tidak bertambah, tiada tidak berkurang, saya rasa di Selangor orang macam dia diperlukan.

    “Ini kerana (beliau) ada pengalaman jadi Menteri Wilayah, saya alukan kalau beliau sedia tanding PRN, seronok juga ada tokoh veteran macam beliau,” katanya.

    Muhammad Sanusi Md Nor, Napoleon kecil, pejabat perdana menteri, Anwar Ibrahim,

  • PMO perlu jelaskan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

    PMO perlu jelaskan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

    SEORANG Ahli Parlimen meminta Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberikan penjelasan mengenai objektif, persiapan, penyusunan dan keseluruhan kos lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini.

    Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, apa yang menjadi kepentingan adalah penjelasan mengenai pencapaian yang terhasil daripada lawatan bersejarah tersebut.

    Menurut beliau, secara umumnya, terdapat tiga bentuk lawatan ke luar negara, iaitu lawatan rasmi, lawatan perniagaan dan lawatan umrah yang mempunyai objektif, sambutan dan aturan tersendiri.

    Kata Mohd Syahir, bagi sesebuah lawatan rasmi, objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin, sambutannya penuh protokol, kemuncaknya kunjungan hormat ketua negara atau rakan sejawat dan disambut di istana atau pusat pentadbiran negara.

    “Memetik laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2023, ‘Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam’.

    “Namun kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Mohd Syahir menjelaskan, bagi sesebuah lawatan perniagaan pula objektifnya adalah untuk meningkatkan hubungan dagang antara dua negara.

    “Laporan menyatakan pertemuan dengan komuniti perniagaan berjaya diaturkan di Jeddah dan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani walaupun tidak disaksikan bersama oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, ataupun Menteri Kewangan Arab Saudi.

    “Manakala bagi sesebuah lawatan umrah, objektifnya adalah untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.

    “Alhamdulillah, PMX berjaya menunaikan umrah dengan sebaiknya, diiringi isteri, Menteri Luar dan Menteri Komunikasi Malaysia. Semoga beroleh umrah yang mabrur,” katanya.

  • Tiada ‘perang dingin’ antara kerajaan Terengganu dan Pusat

    Tiada ‘perang dingin’ antara kerajaan Terengganu dan Pusat

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujud ‘perang dingin’ antara pimpinan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

    Ia susulan ketidakhadiran beliau dan barisan pemimpin negeri pada program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Terengganu, Khamis lalu.

    Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan pusat dan bersedia memberikan kerjasama dalam apa juga urusan terutama yang melibatkan kepentingan bersama.

    “Apa yang berlaku ialah masalah komunikasi dan saya pun tak mahu panjangkan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera di Kampung Tajin, Hulu Terengganu, di Kuala Berang, hari ini.

    Menurutnya, beliau dan pemimpin negeri tidak hadir ke program lawatan tersebut kerana tidak dimaklumkan bahawa terdapat urusan khusus yang melibatkan kerajaan negeri dalam program lawatan Perdana Menteri, tersebut. — LAGI

    Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berkata pihaknya hanya menyalurkan bantuan dari aspek logistik serta pengangkutan seperti yang diminta oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    “Amalan sebelum ini ialah apabila PMO menghubungi kerajaan negeri untuk apa juga urusan, kita dimaklumkan dengan jelas apa tujuan kedatangan dan siapa yang dilibatkan.

    “Tetapi dalam kunjungan Perdana Menteri baru-baru ini, saya tak dimaklumkan ada urusan khusus dengan kerajaan negeri. Oleh kerana itu, kita hanya membantu dari segi logistik dan pengangkutan… tidak diminta lain daripada itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata setakat ini kerajaan negeri juga belum dipanggil untuk sebarang mesyuarat rasmi dengan kerajaan pusat.

    Bagaimanapun, beliau dijangka menghadiri majlis syarahan amanat Perdana Menteri bersama ketua kerajaan negeri dan menteri-menteri Kabinet, Khamis ini di ibu negara.

    “Saya difahamkan negeri-negeri lain juga belum dipanggil untuk sebarang mesyuarat dengan perdana menteri, yang ada pada Khamis ini dijemput semua menteri besar bersama menteri Kabinet untuk hadir pada majlis syarahan amanat Khamis ini di Kuala Lumpur,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan UMNO Terengganu bahawa berlaku pengagihan wang secara berleluasa oleh PAS kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

    “Itu adalah hak yang diberi dalam undang-undang PRU kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dalam apa juga alasan.

    “Petisyen akan diuruskan dengan cara undang-undang oleh semua pihak,” katanya.

    Pada 3 Jan lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

    Menurut Ahmad, petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu dibuat kerana beliau mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan Parlimen berkenaan. – BERNAMA

  • Jawatan tiga duta khas kekal – PMO

    Jawatan tiga duta khas kekal – PMO

    KERAJAAN bersetuju menyambung pelantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri bertaraf menteri ke Timur Tengah, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Mesyuarat Kabinet semalam juga bersetuju menyambung pelantikan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke China dan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Asia Timur. 

    Pelantikan ketiga-tiga duta berkenaan dibuat tahun lepas semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Abdul Hadi dan Tiong memegang jawatan masing-masing pada April manakala Riot pada Mei. 

    Mesyuarat Kabinet semalam adalah yang pertama dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 21 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Tiada pengumuman Kabinet hari ini – PMO

    Tiada pengumuman Kabinet hari ini – PMO

    SENARAI barisan menteri kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan diumumkan hari ini.

    “Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Banyak pihak membuat spekulasi bahawa senarai nama barisan menteri kabinet itu akan diumumkan hari ini selepas Ismail Sabri menyerahkan senarai cadangannya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang hari ini.

    Kumpulan media dilihat ‘berkampung’ di beberapa lokasi utama kerana menunggu pengumuman itu, termasuk di Istana Abdulaziz dan pejabat perdana menteri di Perdana Putra.

    Ismail Sabri tiba di Perdana Putra pada kira-kira pukul 3.40 petang selepas kembali dari Pahang dan hanya melambaikan tangannya kepada petugas media yang menunggu di sekitar bangunan itu.

    Ismail Sabri, 61, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos lepas, sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai barisan kabinetnya dalam minggu ini.- BERNAMA