Tag: PM Thailand

  • PM Thailand teruskan tugas Menteri Pertahanan

    PM Thailand teruskan tugas Menteri Pertahanan

    PEMIMPIN Thailand, Prayuth Chan-ocha akan meneruskan tugas sebagai Menteri Pertahanan berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menggantung tugasnya sebagai Perdana Menteri Rabu lalu.

    Ia merupakan kenyataan pertamanya kepada orang ramai menerusi hantaran dimuat naik di media sosial, sejak mahkamah memutuskan untuk menyemak had penggal pentadbirannya.

    Agensi berita Reuters melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan kini memangku jawatan Perdana Menteri Thailand, negara ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara.

    “Saya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Pertahanan untuk rakyat dan Thailand setiap hari,” ciapnya di Twitter rasminya malam tadi.

    Mahkamah Perlembagaan pada Rabu memutuskan untuk mendengar petisyen dikemukakan parti pembangkang yang berhujah bahawa tempoh pentadbiran Prayuth sebagai ketua junta tentera selepas mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2014, harus dikira dalam tempoh keseluruhannya memegang jawatan.

    Perlembagaan menetapkan had penggal lapan tahun untuk perdana menteri.

    Bagaimanapun, masih tidak jelas bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan itu.

    Kontroversi mengenai had penggal Prayuth adalah episod terbaharu dalam hampir dua dekad pergolakan politik yang berselang-seli, termasuk dua rampasan kuasa dan protes ganas, berpunca daripada penentangan terhadap pembabitan tentera dalam politik dan tuntutan untuk perwakilan yang lebih besar apabila kesedaran politik berkembang.

    Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata pada Jumaat Kabinet terus berfungsi seperti biasa.

  • Didakwa perintah lebih tempoh: Mahkamah gantung tugas PM Thailand

    Didakwa perintah lebih tempoh: Mahkamah gantung tugas PM Thailand

    MAHKAMAH Perlembagaan Thailand hari ini menggantung tugas rasmi Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha tertakluk kepada keputusan semakan perundangan terhadap tempoh had pentadbirannya untuk tempoh lapan tahun.

    Ia berdasarkan laporan beberapa media tempatan Thailand tanpa menyebut sumber.

    Sepanjang tempoh itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan akan bertindak sebagai pemangku lapor akhbar Khaosod.

    Mahkamah Perlembagaan dijangka membuat keputusan rasmi dalam masa terdekat.

    Perintah mahkamah itu dipercayai ada kaitan dengan petisyen difailkan ahli Parlimen pembangkang minggu lalu yang meminta badan perundangan membuat keputusan tentang penggal pentadbiran Prayut patut berakhir.

    Penilaian oleh sembilan hakim akan menentukan nasib Prayut sama ada telah melanggar penggal maksimum sebagai seorang perdana menteri dan jika beliau layak dilantik semula ke jawatan itusemasa pilihan raya umum tahun hadapan.

    Perkembangan itu menyusul ketika penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Bangkok masuk hari keempat.

    Mereka menuntut Prayut meletak jawatan selepas mendakwa pentadbiran Perdana Menteri bermula pada 24 Ogos 2014 setelah beliau mula menjawat jawatan berkenaan susulan rampasan kuasa Mei tahun sama.

    Hari ini menandakan genap tempoh lapan tahun pentadbiran Prayut sebagai Perdana Menteri.