Tag: PM

  • Armada Bersatu pula buat laporan polis terhadap Guan Eng, PM

    Armada Bersatu pula buat laporan polis terhadap Guan Eng, PM

    BEBERAPA pemimpin Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memfailkan laporan polis terhadap pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

    Laporan tersebut berkenaan penafian sebelum ini bahawa Lim, ketika menjadi Menteri Kewangan telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

    Bercakap kepada pemberita hari ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayshal mendakwa penjelasan Anwar bahawa kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan bukannya menteri atau Perdana Menteri mengikut subseksyen 44(6) Cukai Pendapatan Akta 1967 adalah mengelirukan.

    Sebaliknya, Wan Ahmad Fayshal mendakwa bahawa Anwar gagal menyebut subseksyen 44(6) yang membolehkan Lim, yang ketika itu Menteri Kewangan, merayu sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua pengarah LHDN, lapor Malaysiakini.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Lim membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika dia menjadi Menteri Kewangan.

    Muhyiddin membuat dakwaan selepas bekas Perdana Menteri itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merakamkan kenyataannya dan antara isu yang dibangkitkan agensi anti rasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

  • PH sempitkan matlamat PRU untuk Anwar sebagai PM

    PH sempitkan matlamat PRU untuk Anwar sebagai PM

    SETELAH sekian lama, akhirnya muncul juga agenda sebenar di poster calon Pakatan Harapan (PH), menyertai pilihan raya semata-mata untuk kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Agenda sempit berkepentingan individu, bukan untuk rakyat.

    Jika agenda reformasi dahulu dilihat serampang dua mata, tidak ‘lurus ke depan’ tetapi hari ini nampaknya semakin keluar cerita sebenar. Hanya bermatlamatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Soalnya betulkah hanya Anwar Ibrahim sahaja layak sebagai Perdana Menteri?

    Atas indikator apa keyakinan ini diterjemahkan sehingga diletakkan sebagai tawaran utama dalam poster calon?

    Namun jika dilihat lebih teliti, tidak semua poster calon PH memasukkan tawaran ini. Apa lagi DAP langsung tidak bersuara walaupun menjadi majoriti dalam meletakkan calon dalam komponen PH.

    Saya percaya PN, BN dan Pejuang juga mempunyai perancangan menamakan Perdana Menteri mengetuai kerajaan yang bakal dibentuk tetapi tidaklah sampai menjadi gula-gula pilihan raya yang utama. Langsung tidak mendahulukan kebajikan rakyat.

    Jika sesempit itu perjuangan PH, sayugia saya tidak rasa kebersamaan mereka dalam cerita prihatin rakyat melibatkan ekonomi dan kestabilan negara akan menjadi perkara utama.

    Salam hormat.

    Mohamad Kamal Mohamed
    Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan

  • Gred guru besar, guru penolong kanan sekolah rendah dinaikkan ke gred maksimum DG54 – PM

    Gred guru besar, guru penolong kanan sekolah rendah dinaikkan ke gred maksimum DG54 – PM

    GRED Guru Besar dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54 yang akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seluruh negara, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata Guru Besar Gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) juga tidak lagi akan diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau Guru Biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based Berasaskan Kecemerlangan (TTBK).

    “Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

    Perdana Menteri berkata isu Gred Guru Besar di sekolah rendah yang hanya dihadkan kepada Gred DG48 dan Guru Penolong Kanan pada Gred 44 sebelum ini, merupakan antara yang dibangkitkan NUTP kepadanya secara peribadi.

    Ismail Sabri berkata Kementerian Pendidikan juga sedang mengkaji struktur perjawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah.

    Selain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48 juga akan diberi peluang dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah rendah, justeru Guru Penolong Kanan di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja. 

    Menurutnya Guru Penolong Kanan yang telah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi juga akan kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54. 

    Perdana menteri turut mengumumkan laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah juga diperluas sehingga ke Gred DG52 dan DG54 memandangkan 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.

    Mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas komitmen padu diberikan guru terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Ismail Sabri memberi jaminan keluh-kesah para pegawai perkhidmatan pendidikan akan sentiasa didengar kerajaan.

    “Ketahuilah, kerajaan amat menghargai pengorbanan semua guru…Sesungguhnya tanpa guru, saya juga tidak mungkin berada di sini, di hadapan warga NUTP sekalian hari ini. Syabas dan tahniah diucapkan!” katanya.

    Pada masa yang sama, kerajaan juga menurutnya sedang berusaha mengatasi pelbagai isu membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi menjaga aspek keselamatan, elaun penolong kanan sekolah yang perlu dikaji semula dan kekurangan guru yang harus diatasi segera. 

    Beliau berkata kerajaan juga mengambil berat isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak dan perkara itu diberi perhatian serius dalam Bajet 2023 yang akan dibentang Jumaat depan.

    Katanya kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini, selaras dengan perkembangan teknologi semasa. 

    “Masa depan negara terletak di tangan generasi muda yang menerima didikan guru-guru yang memikul tanggungjawab untuk melahirkan warga Keluarga Malaysia yang kreatif, inovatif sehingga mampu bersaing di pentas dunia.

    “Oleh itu saya berharap agar guru-guru terus memainkan peranan yang diberikan dengan berkesan walaupun berdepan pelbagai cabaran, yang adakala membuat guru-guru berasa lelah dan kecewa seolah-olah usaha mereka tidak disokong serta dihargai,” katanya.

    Pada masa sama, beliau turut menyeru semua ibu bapa supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada guru dan pihak sekolah dalam menjayakan usaha mereka meningkatkan pencapaian akademik atau kokurikulum anak-anak. 

    “Sewajarnya, ibu bapa menggunakan saluran yang betul untuk mengatasi sebarang masalah berbangkit, sekali gus membantu menaikkan semangat dan motivasi guru-guru dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya.- BERNAMA

  • Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

    “Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

    “Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

    Pada soalan mengenai slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, Dr Mahathir berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

    “Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

    “Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

    Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

    Ahli Parlimen Bera itu diberi perkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat pencalonan rahsia.

  • Gerakan harap PM baharu terus ambil berat Pulau Pinang

    Gerakan harap PM baharu terus ambil berat Pulau Pinang

    PARTI Gerakan Rakyat Pulau Pinang berharap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dapat terus mengambil berat permintaan dan keperluan penduduk negeri itu.

    Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah penting dan amat diperlukan supaya pelbagai masalah di negeri itu dapat ditangani khususnya dalam kerja mengawal penularan Covid-19.

    Menyifatkan Ismail Sabri berdepan cabaran berat, tambah beliau, Perdana Menteri baharu itu perlu berganding bahu dengan setiap kerajaan negeri untuk meredakan keadaan Covid-19 di negara ini.

    Dalam masa sama jelasnya, Ismail Sabri juga perlu memastikan pelabur asing terus melabur di Malaysia untuk mengelakkan kemerosotan ekonomi susulan daripada ketidakstabilan politik dan keadaan Covid-19 sebelum ini.

    “Pelantikan Perdana Menteri kesembilan kini telah muktamad.

    “Dengan itu, kami menggesa semua pemimpin politik sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang hentikan perbalahan politik dengan segera, tumpukan usaha mengekang penularan Covid-19 dan memacukan semula ekonomi negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dalam masa sama, tambah Tong Keong, Ismail Sabri juga perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menarik pelabur asing ke Malaysia khususnya dan Pulau Pinang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengatasi masalah pengangguran.

    “Beliau juga harus mengambil berat isu kritikal yang dihadapi penduduk Pulau Pinang dan memberi bantuan dalam menangani masalah-masalah itu.

    “Sebagai contoh keadaan Covid-19 di Pulau Pinang ketika ini masih serius selain terdapat masalah kekurangan bekalan vaksin untuk negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, beliau turut berharap Pakatan Harapan (PH) khususnya Kerajaan PH Negeri Pulau Pinang mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan keutamaan membantu rakyat.

    “Mereka perlu memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu dan bersama-sama mengekang pandemik Covid-19 serta membantu rakyat mengharungi cabaran ini,” katanya.

  • Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menjadi perintis peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini selepas merekodkan prestasi amat baik.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan pelaksanaan PPN yang dipengerusikannya petang ini.

    Bagaimanapun, beliau mengingatkan negeri-negeri berkenaan untuk terus mematuhi porsedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing.

    “Tahniah dan syabas saya ucapkan. Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara, lebih banyak negeri dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

    Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

    Selain itu katanya, sidang khas MKN itu juga memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin termasuk membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

    “Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

    “Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.