Tag: PKPD

  • 13 lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD

    13 lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD

    SEBANYAK 13 lokaliti di Johor, Kelantan, Sabah, Perak dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Jumaat ini hingga 19 Ogos depan.

    Menurut Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebanyak lima lokaliti dikenakan PKPD di Sabah masing-masing dua di Kunak iaitu Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri, dua di Kota Kinabalu (Kampung Tanjung Aru Lama dan Universiti Apartment 1) serta satu di Sipitang iaitu Kampung Kuala Mengalong.

    Selain itu katanya, lima lokaliti di Perak terlibat PKPD iaitu kilang Comfort Rubber Glove di Simpang dan Matang serta asrama kilang Comfort Rubber Glove di Hujung Matang.

    “Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Menteri Kuala Sepetang di Mukim Matang serta Kampung Belum Baru di Hulu Perak,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Hishammuddin berkata, lokaliti lain dikenakan PKPD ialah Gugusan Semarak, PJU 5 di Kota Damansara; Taman Puteri di Kluang, Johor dan Taman Sri Kebakat di Tumpat, Kelantan.

    Selain itu katanya, PKPD di Bandar Pulai Jaya, Kinta, Perak sejak 26 Julai lalu pula ditamatkan lebih awal bermula tengah malam ini.

    “Selain itu, setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di empat lokaliti akan ditamatkan esok seperti dijadualkan iaitu Kondominium One Borneo di Kota Kinabalu, Kampung Istimewa dan Taman Merpati di Sandakan, Sabah serta FELDA Jengka 12 di Jerantut, Pahang,” katanya.

    Sementara itu, Hishammuddin semasa menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, beliau berkata, sebanyak 41 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

    Katanya, seramai 248 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 25 lagi direman manakala dalam Op Benteng, 10 pendatang tanpa izin ditahan serta tiga kenderaan darat dirampas.

  • PKPD dua minggu di sembilan lokaliti di Sabah, Pahang

    PKPD dua minggu di sembilan lokaliti di Sabah, Pahang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti melibatkan tujuh di Sabah dan dua di Pahang selama dua minggu bermula Isnin ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PKPD di Sabah meliputi lima lokaliti di Kota Kinabalu dan dua lokaliti di Beaufort manakala PKPD di Pahang membabitkan dua lokaliti di Rompin.

    “Lima lokaliti di Kota Kinabalu dikenakan PKPD ialah Lorong Kuala Laut, Likas; Kampung Warisan; Kampung Darau, Menggatal; Kampung Rakyat Baru dan kuarters pekerja Imbas Jaya, Jalan Kionsom.

    “PKPD di Beaufort pula membabitkan Kampung Melulugus dan Lorong 3, Kampung Klias Baru, manakala PKPD di Rompin membabitkan Bandar Melati dan Ladang Senang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hishammuddin yang mengetuai Kluster Keselamatan berkata, tempoh PKPD lima lokaliti di Kota Kinabalu dilaksanakan mulai Isnin hingga 14 Ogos ini manakala tempoh PKPD di empat lokaliti di Beaufort dan Rompin dilaksanakan bermula Isnin ini hingga 15 Ogos.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan hari ini turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKPD di Pos Iskandar, Bera, Pahang dan Kampung Tinusa 2, Sandakan, Sabah yang sepatutnya tamat esok.

    “Tempoh PKPD di dua lokaliti itu akan disambung dua minggu lagi bermula Isnin ini hingga 15 Ogos.

    “Pelanjutan PKPD diputuskan selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kedua-dua lokaliti terbabit,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai PKPD, Hishammuddin berkata, MKN turut menamatkan PKPD di 14 lokaliti di Sarawak, Pahang, Sabah, Kedah dan Negeri Sembilan, esok.