Tag: pistol

  • Penganggur dengan 14 rekod jenayah ditahan bawa pistol

    Penganggur dengan 14 rekod jenayah ditahan bawa pistol

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MESKIPUN memiliki 14 rekod jenayah, seorang penganggur masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk insaf apabila dia sekali lagi ditahan polis kerana memiliki pistol dan peluru di Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dibuat di Taman Ria Jaya.

    Menurutnya, sepasukan anggota polis pada mulanya terlihat individu berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah lorong dalam taman perumahan itu.

    “Pihak polis mendekatinya namun dia melarikan diri. Tindakannya itu bagaimanapun sia-sia apabila dia berjaya dikejar dan diberkas.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat sepucuk piatol jenis Colt-PT.F.A buatan Amerika Syarikat padanya bersama enam butir peluru jenis PMC. 38 SPL,” katanya.

    Tambahnya, lelaki itu kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

    “Ujian urin ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis MOP.

    “Semakan lanjut mendapati dia memiliki 14 rekod lampau membabitkan termasuk melibatkan kes dadah,” katanya.

    Tambahnya, lelaki tersebut yang beralamat di Taman Sejati direman selama lima hari bermula hari ini hingga 4 Ogos depan.

  • Pistol, kereta ahli sindiket samun mati ditembak polis ditemukan

    Pistol, kereta ahli sindiket samun mati ditembak polis ditemukan

    POLIS menemukan sebuah kenderaan dipercayai digunakan ahli sindiket samun dan pecah rumah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah kondominium di Salak Selatan, pada 18 Jun lalu.

    Pihak menemukan kereta jenis Toyota Estima itu berhampiran tempat kejadian sekitar pukul 1.30 tengah hari pada Selasa.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penemuan itu adalah hasil risikan dan pemeriksaan pihaknya.

    “Pihak polis turut menjumpai satu beg kitar semula di bawah tempat duduk pemandu yang mengandungi sepucuk pistol jenis Smith and Wesson, enam butir peluru hidup di dalam ‘chamber’ dan sebungkus sampul mengandungi tujuh butir peluru hidup.

    “Berdasarkan maklumat risikan, pihak polis percaya senjata api tersebut adalah milik suspek yang mati ditembak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Isnin media melaporkan polis berjaya menumpaskan kumpulan yang disyaki bergiat aktif melakukan 15 kes jenayah samun dan pecah rumah selepas menahan lapan individu termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang pada 18 Jun hingga 20 Jun lalu.

    Seorang lagi anggota kumpulan itu maut dalam kejadian berbalas tembakan.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis CZ 75 Compact daripada salah seorang suspek yang ditahan.

    Azmi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan saki baki sindiket sedang giat dijalankan.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 0321460685 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Hasni Hussin di talian 019-998 4444, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999.

  • Pistol, syabu dirampas dalam bot nelayan

    Pistol, syabu dirampas dalam bot nelayan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar dadah disyaki syabu seberat 12 kilogram di perairan Parit Raja, Pontian, pukul 6.30 pagi tadi.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Maritin Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, rampasan dibuat berikutan hasil maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan asing di perairan tersebut.

    “Sebuah bot ronda maritim telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan sekitar pukul 6.30 pagi sebelum mengesan sebuah bot berwarna coklat tanpa nombor pendaftaran.

    Sepucuk pistol angin dan sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki syabu ditemukan

    “Bot berkenaan dipercayai bot nelayan asing tersebut dikendalikan dua lelaki dan apabila diarahkan berhenti, bot tersebut terus memecut laju dengan menukar arah menuju ke beting Parit Raja, Pontian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, dua suspek itu bertindak melarikan diri ke daratan dan meninggalkan bot tersadai di benteng batu Parit Raja dalam keadaan tenggelam bahagian belakang.

    Hasil pemeriksaan ke atas bot itu katanya, menemukan sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru dalam sebuah beg sandang, satu telefon bimbit dan sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki syabu.

    Beliau memberitahu, semua rampasan tersebut termasuk bot berkenaan dianggarkan keseluruhannya bernilai kira-kira RM628,800.

    “Dadah ini dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia dan jumlah penggunaannya boleh menampung 60,000 penagih dadah,” katanya.

    Satu bungkusan beg plastik merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki syabu disembunyikan dalam tong ikan warna oren

    Kesemua penemuan tersebut dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat, kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, katanya.

    Maritim ujarnya, akan terus mempergiatkan lagi pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kegiatan atau perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

    Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

  • Video pegang pistol tular, 3 remaja ditahan

    Video pegang pistol tular, 3 remaja ditahan

    Oleh: Bernama

    POLIS menahan tiga remaja lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan salah seorang daripadanya memegang senjata menyerupai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di Ipoh, semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan rakaman video ketiga-tiga remaja berusia 20 hingga 22 tahun itu melalui aplikasi Whatsapp, pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

    “Perbuatan tiga remaja tersebut telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.

    “Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berjaya menangkap dua remaja yang terlibat, serta merampas satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto pada kira-kira pukul 2.30 petang.

    “Ketika ditahan, kedua-dua remaja tersebut sedang berkeliaran menaiki motosikal di Jalan Kampung Paloh, manakala seorang lagi remaja yang terlibat telah ditahan pada kira-kira pukul 7 petang,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

    Beliau berkata ketiga-tiga remaja itu mengaku telah membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak, dan salah seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dengan dirakam oleh rakan yang lain sebelum video ditularkan.

    Mior Faridalathrash berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam, dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

    Katanya pihak polis turut berterima kasih kepada pihak masyarakat yang memberikan maklumat dan kerjasama, dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.- BERNAMA