Tag: pisau

  • Polis tahan tiga beradik samun bersenjatakan kapak, pisau

    Polis tahan tiga beradik samun bersenjatakan kapak, pisau

    TIGA beradik ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kes samun berkumpulan menggunakan senjata kapak dan pisau kejadian di Kota Bharu.

    Tiga beradik berusia antara 19 hingga 36 tahun itu ditahan iaitu dua daripadanya di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor di Kota Bharu pukul 8.15 malam dan seorang lagi di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Melor, kelmarin.

    Ketiga-tiganya ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pada 15 Julai hingga kelmarin, IPD Kota Bharu menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di sekitar daerah ini.

    “Ketiga-tiga kejadian mempunyai modus operandi sama iaitu suspek masuk ke kedai dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau, lalu mengacukan ke arah pekerja sebelum mengambil wang tunai serta telefon bimbit.

    “Bertindak atas maklumat dan risikan, satu operasi mengesan dan menangkap suspek dijalankan sebelum polis berjaya menahan tiga beradik itu,” katanya menerusi satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan, dua daripadanya mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Beliau memberitahu, hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek, positif dadah.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam tiga kejadian samun bersenjatakan kapak dan pisau di premis perniagaan telefon bimbit di Kota Bharu sejak 15 Julai lalu.

    Katanya, turut dirampas sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini.

    “Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Wanita hamil lima bulan trauma disamun hampir RM30,000

    Wanita hamil lima bulan trauma disamun hampir RM30,000

    SEORANG wanita mengandung lima bulan berdepan detik cemas apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya yang keseluruhannya dianggar bernilai RM30,000 disamun oleh seorang lelaki di rumahnya di Kampung Gong Mengkelih, di sini semalam.

    Siti Nur Rafeeqa Abdul Hamid, 29, berkata dia berada di dalam bilik tidur bersama anak lelakinya berusia lima tahun pada 9.50 pagi sebelum didatangi suspek yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap diumpil menggunakan cangkul.

    “Lelaki itu mengambil pisau di dapur dan mengarahkan saya menyerahkan beg tangan yang di dalamnya berisi rantai, gelang dan cincin emas serta sejumlah wang tunai.

    “Saya tidak berfikir panjang dan terus mengikut arahannya kerana bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

    Suami suri rumah itu, Ruzman Ishak, 46, pula berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja dan dimaklumkan mengenainya kira-kira 10.40 pagi.

    “Suspek turut mengambil sebuah telefon pintar dan melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik saya sebelum ditemukan semula di lorong kubur Kampung Chengal Pusas, Jalan Jeram Pasu di sini kira-kira dua kilometer dari rumah pada 4 petang semalam,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

    Beliau berkata lelaki berkenaan sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.- BERNAMA

  • Kontraktor dituduh cederakan isteri guna pisau

    Kontraktor dituduh cederakan isteri guna pisau

    SEORANG kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya Jumaat lepas.

    Mohd Ghazali Nor Hisham, 33, didakwa mencederakan Aliza Hasan, 32, menggunakan pisau di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang, pada 10.30 pagi, 13 Mei 2022.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau didenda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairi Mohamed Said tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan wang jaminan RM20,000. Mohd Ghazali yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan jaminan.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa atau saksi kes itu serta melapor diri sekali dalam setiap bulan di balai polis berdekatan.

    Kes disebut semula pada 19 Jun untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – BERNAMA