Tag: pinjaman

  • Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    SEORANG jururawat terpaksa berputih mata kerana kerugian wang berjumlah RM198,000 yang baharu dipinjam daripada pihak bank selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Dis lepas.

    Beliau berkata panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

    “Sejurus itu suspek telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan telah memberikan satu pautan untuk mengisi maklumat wanita berkenaan.

    “Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Ramli turut mengingatkan masyarakat bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan melalui panggilan telefon dan sentiasa melakukan semakan dengan balai polis, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan. – BERNAMA

  • 4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    EMPAT sekawan masing-masing seorang lelaki dan tiga wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menawarkan pinjaman tidak wujud minggu lalu.

    Hukuman itu dijatuhi Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan terhadap tertuduh Lee Soon Ching, 21; Liew Hui Juan, 28; Connie Nam, 25, dan Ho Wei Lun, 33, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda manakala barang kes turut diperintah dilupuskan.

    Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama-sama menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud yang mana kesalahan itu dilakukan di B-11-03, Goodfield Resident, Jalan Bukit Minyak Permai 2, Bukit Mertajam kira-kira pukul 4.05 petang pada 7 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-dua sekali.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal.manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ima Syakira.

    Mengikut fakta kes, sebanyak 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung satu sindiket pinjaman wang tidak wujud sejak Januari lalu dengan anggaran kerugian RM401,815.32.

  • Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG peniaga kerugian sebanyak RM12,930 akibat terperangkap dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian itu bermula pada 19 September lalu sebaik mangsa melihat satu iklan pinjaman wang tidak berlesen.

    Ekoran itu katanya, mangsa terus berurusan dengan wakil syarikat terbabit yang memperkenalkan diri sebagai puan Annie.

    Menurutnya, mangsa yang tinggal di Bandar Jengka, Maran itu bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

    “Kemudian, mangsa menyerahkan maklumat diri kepada suspek sebelum diminta membuat beberapa bayaran dengan pelbagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd Wazir, mangsa membuat pembayaran sebanyak 13 kali membabitkan akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

    Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima wang sepertimana yang dipohon lalu dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam setelah merasakan dia ditipu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.