Tag: pingat emas

  • Selepas kejayaan Bonnie, Malaysia perlu dua lagi pingat emas

    Selepas kejayaan Bonnie, Malaysia perlu dua lagi pingat emas

    KONTINJEN negara kini memerlukan dua lagi pingat emas bagi mencapai sasaran enam emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang sedang berlangsung di sini.

    Kejayaan menakjubkan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, menyumbangkan pingat emas di hari ketujuh temasya pada Khamis (4 Ogos), menyaksikan kem Malaysia kini mengutip keseluruhan empat emas, dua perak dan tiga gangsa.

    Seperti diramalkan jaguh powerlifting dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengungguli kategori lightweight bawah 72 kilogram (kg), sekali gus menyaksikan atlet kelahiran Sarawak tersebut muncul atlet Malaysia pertama meraih emas dalam acara berkenaan di temasya Sukan Komanwel.

    Harapan peminat untuk melihat ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menyumbangkan pingat dalam acara 10 meter (m) platform wanita pada temasya kali ini pula tidak kesampaian, selepas atlet berusia 29 tahun itu hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun.

    Australia terus mendominasi carta pungutan pingat selepas merangkul 50 pingat emas, 42 perak dan 40 gangsa, meninggalkan tuan rumah England di tempat kedua dengan kutipan 42-44-32, manakala Kanada di tangga ketiga hasil pungutan 17-20-22.

    Selepas tamat hari ketujuh temasya, Malaysia kini berada di kedudukan ke-10.

    Prestasi membanggakan trio boling padang layak ke peringkat separuh akhir acara triples wanita esok, ditagih untuk meneruskan kemaraan ke pentas final yang akan berlangsung pada hari sama bagi menyumbangkan pingat kepada kem negara.

    Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad, akan berdepan gandingan New Zealand Nicole Toomey, Tayla Bruce dan Val Smith di separuh akhir.

    Acara final lain yang melibatkan atlet Malaysia pada hari kelapan temasya (5 Ogos) menyaksikan gandingan Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh dan Ooi Tze Liang-Chew Yi We, akan turun beraksi dalam saingan 3m papan anjal seirama lelaki.

    Dua gimnas Ng Joe Ee dan Izzah Amzan pula akan bersaing dalam acara individu all-around wanita final esok. – BERNAMA

  • Badminton berpasukan campuran sumbang emas ketiga, tebus kekalahan di Australia

    Badminton berpasukan campuran sumbang emas ketiga, tebus kekalahan di Australia

    SELEPAS dua hari tanpa kilauan emas, kontinjen negara boleh menarik nafas lega, apabila kembali meraih sebutir emas pada kelima temasya Sukan Komanwel Birmingham di sini hari ini.

    Kejayaan skuad badminton menghadiahkan pingat emas dalam acara berpasukan campuran itu, sekali gus meletakkan kontinjen negara berada di landasan tepat dalam mencapai sasaran enam emas pada temasya sukan berprestij tersebut.

    Pasukan badminton kebangsaan muncul juara edisi Birmingham selepas menumpaskan juara bertahan, India 3-1 di pentas final, sekali gus menebus kekecewaan tumpas 1-3 di tangan lawan yang sama itu pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

    Kredit juga harus diberikan kepada atlet muda judo negara Amir Daniel Abdul Majeed, yang menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori 73 kilogram (kg) lelaki hari ini.

    Kejayaan skuad badminton dan judo negara itu menyaksikan kontinjen negara setakat ini meraih keseluruhan tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

    Australia kekal di kedudukan teratas dalam carta pungutan pingat apabila meraih 42 pingat emas, 32 perak dan 32 gangsa, diikuti tuan rumah England di tempat kedua dengan 31-34-21, manakala New Zealand memenangi 13-7-6.

    Dua pingat emas sebelum ini disumbangkan kem angkat berat negara pada Sabtu lepas (30 Julai).

    Selepas menampilkan pencapaian cemerlang dengan keseluruhan meraih dua pingat emas dan satu perak, kontinjen negara pastinya mengharapkan skuad angkat berat mampu menghadiahkan sesuatu apabila Muhammad Hafiz Shamsuddin turun bersaing dalam kategori 109kg lelaki, pada Rabu.

    Di Stadium Alexander, peminat olahraga tanah air sudah tentu mahu melihat kemampuan atlet berpangkalan di Amerika Syarikat, Shereen Samson Vallabouy apabila bersaing dalam acara 400 meter wanita.

    Selain itu, jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa akan turun beraksi di peringkat final acara berkenaan, pada Rabu.- BERNAMA

  • Emas Muhammad Ziyad: Peraturan untuk dipatuhi, bukan dilanggar

    Emas Muhammad Ziyad: Peraturan untuk dipatuhi, bukan dilanggar

    HAMPIR mustahil untuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengubah keputusan acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan kejayaan gemilang jaguh kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli ‘dirompak’.

    Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berpendapat sukar bagi IPC untuk merombak keputusan tersebut, selain jawatankuasa itu perlu menghormati peraturan Olahraga Para Dunia (WPA).

    “Peraturan adalah peraturan. Peraturan dan undang-undang dibuat untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar,” katanya kepada Bernama.

    “Takkan mereka (IPC dan WPA) nak longgarkan peraturan hanya untuk menyelesaikan kes Malaysia, pada awalnya kenapa kita tidak mengikut peraturan ditetapkan,” tambah Zolkples yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.

    Beliau berkata berhubung pembatalan pingat emas dimenangi Muhammad Ziyad pada temasya berprestij itu, kontinjen negara dan juga rakyat Malaysia tidak seharusnya menyalahkan pasukan Ukraine, sedangkan mereka mempunyai hak untuk melakukan bantahan.

    “Keseluruhan kontinjen, daripada CDM (chef-de-mission) ke urus setia, pengurus pasukan dan jurulatih, mereka semua kena bertanggungjawab. Ini satu kecuaian bagi saya dan kecuaian yang tidak boleh diterima. Sepatutnya mereka menjaga atlet, Muhammad Ziyad tidak sepatutnya dipersalahkan,” katanya.

    Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

    Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

    Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

    Semalam, WPA menolak rayuan dikemukakan Malaysia berhubung keputusan itu, namun pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan susulan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA sejurus temasya berakhir.

    Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

    Difahamkan, ketika kejadian di Stadium Olimpik Tokyo, hujan turun selain keadaan kawasan sesak dengan atlet yang bertanding dalam acara lain menyaksikan Muhammad Ziyad bersama atlet dari Ecuador dan Australia terhalang untuk memasuki bilik menunggu dan didakwa lewat beberapa minit melaporkan diri.

    Sementara itu, Zolkples berharap insiden tersebut menjadi pengajaran paling berguna kepada setiap pegawai kontinjen negara supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan.

    “Tidak kira Paralimpik atau Olimpik, jadikan ini sebagai pengajaran supaya tidak ambil mudah perkara macam ini. Bukannya susah pun menjalankan tugas, pergi mengikut pasukan bukannya nak bersuka ria.

    “Ini bukan pertandingan peringkat sekolah atau Sukma (Sukan Malaysia). Ini Paralimpik temasya yang tertinggi, sepatutnya tidak boleh jadi (insiden) macam ini,” katanya.

    Beliau berkata sewaktu menggalas tugas selaku Ketua Kontinjen ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012, beliau mengarahkan pegawai pengiring untuk memastikan atlet berada di venue pertandingan dua jam awal sebelum acara bermula sebagai persediaan. – Bernama

  • Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    KEPUTUSAN untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

    Ini selepas rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik Ziyad ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi ini.

    Permohonan maaf Ziyad dibuat menerusi akaun Instagram miliknya

    Keputusan itu bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

    Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

    Namun penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).

    Dalam pada itu, Ziyad, 31, dalam reaksi pertamanya berikutan keputusan berkenaan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

    “Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya hari ini.

    Selain itu, Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.

    Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang tuurt meminta Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini.

    Katanya dalam catatan terbaharu di akaun Instagram miliknya, sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima, malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.

    Terdahulu, Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

    Bantahan daripada Kontinjen Malaysia, Australia dan Ecuador akan dibawa ke Mesyuarat Chef de Mission (CDM) pasukan bertanding juga dibawa sekali.

    Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum itu melakukan protes kepada jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status Muhammad Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi (DNS) walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir, yang berlangsung di Stadium Olimpik di Tokyo.

    Ziyad sebelum itu secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya, dengan catatan 17.94 meter.

    Kemenangan beliau bagaimanapun dibatalkan selepas atlet Ukraine, Maksym Koval, membuat bantahan.

    Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.