Tag: pindaan

  • AUKU tidak dimansuhkan, penting dalam tadbir urus IPT

    AUKU tidak dimansuhkan, penting dalam tadbir urus IPT

    KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) berpendirian bahawa pendekatan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), merupakan langkah yang lebih tepat berbanding memansuhkan terus akta itu.

    Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata AUKU dilihat masih relevan dan penting dalam urusan penubuhan, tadbir urus dan hubungan antara akauntabiliti Institusi Pengajian Tinggi dengan kerajaan serta masyarakat.

    “Kementerian berpandangan bahawa AUKU adalah satu akta yang penting, relevan dan berfungsi dengan baik dan sebarang kelemahan yang terdapat di dalamnya boleh diperhalusi dan ditambah baik melalui pindaan dan bukan melalui pemansuhan.

    “Pengenalan akta baharu bagi menggantikannya hanya akan mengambil kembali dan mengguna pakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada di dalam AUKU. Tindakan ini tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) tentang kesudian kementerian memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan Tinggi Baharu berdasarkan kertas polisi Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU yang ditubuhkan pada 2018 berserta garis masa dan pelan kerja pemansuhan AUKU.

    Berhubung Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU 2018, Mohammad Yusof berkata saranan dan dapatan jawatankuasa tersebut telah diambil tindakan dan terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalusi.

    Ia termasuk mengambil kira pindaan AUKU pada 2019 yang membenarkan mahasiswa untuk berpolitik di dalam dan luar kampus serta bertanding di dalam pilihan raya dengan pelaksanaan fasa pertamanya sedang dimuktamadkan.

    “Ia melibatkan langkah membangunkan beberapa garis panduan yang bersesuaian bertujuan memberi lebih kebebasan kepada pelajar dalam menguruskan aktiviti pelajar dan dalam menyertai kegiatan politik di dalam dan luar kampus dengan cara yang selamat serta teratur.

    “Ia kini dalam peringkat pemurnian sebelum diedarkan ke semua universiti awam untuk tindakan dan pelaksanaan sementara fasa kedu akan melihat keperluan meminda atau memansuh beberapa peruntukan yang seterusnya di dalam AUKU,” katanya.

    Mohamad Yusof berkata kementerian juga sedang meneliti semua peruntukan berkaitan dengan pelajar di dalam AUKU khususnya berkenaan urusan akaun dan kewangan persatuan mahasiswa. – BERNAMA

  • Terengganu lulus enakmen berkait aktiviti bomoh, sihir

    Terengganu lulus enakmen berkait aktiviti bomoh, sihir

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022 yang antara lain memasukkan Seksyen 3A melibatkan aktiviti perbomohan dan sihir.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Satiful Bahari Mamat berkata pindaan enakmen tersebut juga melibatkan Seksyen 33A (orang perempuan berlagak seperti lelaki); Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat); dan Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah).

    “Kita cuba memanfaatkan ruang yang ada dengan memaksimumkan hukuman berdasarkan Peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

    “Dengan adanya pindaan ini kita mengharapkan supaya kesejahteraan umat Islam khususnya di Terengganu lebih terjaga dan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan DUN di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.

    Satiful Bahari berkata mengenai kemasukan seksyen melibatkan perbomohan dan sihir, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memantau perkara tersebut bagi memastikan masyarakat Islam di Terengganu tidak mendapatkan rawatan alternatif yang bercanggah hukum Islam dan hukuman dikenakan hanya melibatkan perawat, bukannya pesakit.

    Bagi seksyen berkaitan orang perempuan berlagak seperti lelaki pula, katanya sebelum ini peruntukan undang-undang sedia ada hanya melibatkan lelaki menyerupai perempuan.

    “Sebab dahulu mungkin tidak ada sangat isu ini (perempuan menyerupai lelaki), tetapi kita tengok sekarang kes ‘pengkid’ dan sebagainya semakin berleluasa jadi kerajaan negeri berhasrat untuk membendung isu ini,” katanya.

    Selain kemasukan empat seksyen tersebut, katanya pindaan pada hari ini juga melibatkan 21 seksyen yang sedia ada dan akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. – BERNAMA