Tag: pilihan raya

  • Adakan pilihan raya pada hari cuti, gesa Tuan Ibrahim

    Adakan pilihan raya pada hari cuti, gesa Tuan Ibrahim

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa mengadakan mana-mana pilihan raya khasnya pilihan raya negeri (PRN) pada hari cuti bukan pada hari bekerja sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai semalam.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peratusan keluar mengundi DUN Tioman sebanyak 58.39 peratus adalah rendah.

    Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila sebahagian besar pengundi DUN Tioman bekerja di luar kawasan khasnya Lembah Klang dan faktor jarak yang jauh menyukarkan mereka pulang mengundi.

    “Saya mahu menarik perhatian agar pihak SPR supaya pada masa-masa akan datang mengadakan pilihan raya pada hari cuti terutamnya hari Sabtu.

    “Peratusan keluar mengundi di DUN Tioman sangat rendah khususnya kerana pengundi sebahagian besarnya bekerja di Lembah Klang dengan jarak yang amat jauh sekali gus menyukarkan mereka pulang mengundi,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan dalam Facebook beliau.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, peratusan keluar mengundi rendah juga tidak mencerminkan kehendak sebenar pengundi.

    Namun katanya, beliau tetap berharap SPR dapat mempertimbangkan cadangan itu terutamanya menjelang PRN di enam negeri bagi membantu pengundi pulang mengundi.

    “Apapun kita harapkan perkara ini dapat dipertimbangkan oleh pihak SPR supaya pengundian pilihan raya kecil (PRK), PRN diadakan pada hari cuti umum supaya ia akan bantu pengundi-pengundi untuk pulang mengundi,” tambahnya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim merakamkan terima kasih beliau kepada anggota pasukan keselamatan dan SPR kerana berjaya memastikan pilihan raya Padang Serai dan Tioman berlangsung dengan aman damai.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan, jentera dan penyokong Perikatan Nasional (PN) kerana kerjasama kukuh antara mereka berjaya memastikan kemenangan calon gabungan itu di Padang Serai selain mengecilkan undi diterima gabungan BN-PH di Tioman.

  • Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    PRESTASI tidak memberangsangkan PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac 2022 menjadi antara agenda utama Kongres Nasional parti itu yang dijangka berlangsung Jun ini.

    Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siri kekalahan itu menuntut pengubahsuaian terhadap strategi, naratif kepada rakyat, latihan jentera pilihan raya dan penggunaan data yang sesuai dengan cabaran pilihan raya semasa.

    “Kita tidak pernah mengamalkan sikap sindrom penafian dan kita akan bersemuka dengan isu ini secara berdepan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.

    Untuk rekod, PRN Sabah pada 26 Sept 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 Nov 2021) serta Sarawak (18 Dis 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

    Menyentuh pemilihan parti yang akan berlangsung pada 8 April ini, Saifuddin Nasution berkata beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan.

    Katanya ketika ini, beliau masih berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pucuk pimpinan serta rakan dalam parti mengenai jawatan yang sesuai ditandingi.

    Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden PKR Tian Chua untuk tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, Saifuddin Nasution berkata beliau menghormati perdirian pemimpin itu.

    “Saya percaya beliau ada alasan tersendiri untuk tidak bertanding namun yang paling penting, beliau menegaskan akan kekal dalam parti… beliau mahu memperkukuh parti menggunakan keupayaannya (tanpa jawatan dalam parti),” katanya.

    Hari ini, media melaporkan Tian Chua mengesahkan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden namun akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Bahagian Batu selain berhasrat membantu parti mengukuhkan sokongan akar umbi bagi berdepan PRU akan datang. – BERNAMA

  • Tidak mungkin berlaku PRN di Kedah – Firdaus

    Tidak mungkin berlaku PRN di Kedah – Firdaus

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JIKA dinilai daripada situasi semasa, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah tidak mungkin akan berlaku seperti yang terjadi di Johor dan Melaka baru-baru ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad, ketika ini kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap kukuh dengan masing-masing memiliki 15 dan enam kerusi.

    “UMNO pula ada dua kerusi dan kalau mereka keluar, kedudukan kerajaan masih kuat lagi. Jadi kalau nak ada PRN, itu tak mungkinlah.

    “Lagi pun sekarang ini apa yang dilakukan sudah cukup baik. Kemasukan perniagaan, pelaburan ke Kedah antaranya yang tertinggi dengan pencapaiannya juga amat memberangsangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah, Alor Setar, hari ini.

    Mohd Firdaus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Langkawi dari Bersatu menambah, apa yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta barisan exco selama ini merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan dan dipuji.

    “Semuanya sepakat bekerja di bawah satu bumbung dan masing-masing senang berbincang bersama. Antara Menteri Besar dan Exco juga hubungannya cukup baik tanpa ada hierarki.

    “Kalau ada hierarki, susah kita nak buat kerja tetapi apabila tiada hierarki seperti sekarang ini, kita boleh sembang terus. Jadi tak payah ada yang ‘lompatlah’” katanya.

    Tambahnya, pendiriannya selepas ini akan kekal mengikut keputusan parti untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

    “Dalam keadaan kes Covid-19 tengah tinggi sekarang ini dan ekonomi belum pulih sepenuhnya, tak perlulah buat PRN. Banyak belanja perlu dibuat,” katanya.

  • Calon 18 tahun: MB, KM setuju pinda undang-undang negeri

    Calon 18 tahun: MB, KM setuju pinda undang-undang negeri

    SEMUA Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkaitan calon pilihan raya itu diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 semalam.

    “Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi, beliau turut mengajak semua kerajaan negeri agar menyegerakan pelaksanaan projek berkaitan ekonomi dan perniagaan.

    “Antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

    Ismail Sabri berkata semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif pendigitalan.

    Beliau berkata turut dibincangkan dalam MBKM ialah usaha bersama kerajaan pusat serta negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulihkan kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang 2030.

    Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan sedang mempertimbang pemberian insentif kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek dalam usaha menjamin kelestarian biodiversiti.

    “Pemberian berbentuk pampasan itu merupakan inisiatif untuk menggalakkan kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air,” katanya. 

    Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) bagi meneliti caj serta fi perkhidmatan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi tinggi serta membebankan rakyat. 

    Beliau berkata dalam mesyuarat itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed telah membentangkan Bajet 2022 yang kini di peringkat perbahasan serta Rancangan Malaysia Ke-12 kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri. 

    “Melalui pendekatan Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak agar mengetepikan latar belakang dan fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut COVID-19 serta memulihkan ekonomi,” katanya.  

  • Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    PELAKSANAAN Undi 18 perlu seiring dengan pendidikan mengenai sistem politik dan amalan demokrasi di negara ini khususnya kepada generasi muda, kata pemimpin pertubuhan bukan kerajaan berkaitan belia.

    Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Johar berkata walaupun MBM gembira dengan komitmen kerajaan hari ini untuk melaksanakan Undi 18, namun pada masa sama generasi muda perlu dididik bagaimana untuk menggunakan hak mengundi itu sebaik-baiknya.

    “Dalam menyambut baik perlaksanaan ini, kita harus ingat ia bukan sahaja hak, tetapi merupakan satu tanggungjawab.

    “Generasi muda harus dididik untuk memilih pemimpin yang betul dan beretika dan bukan sekadar mengikut rakan dan emosi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Bagi MBM Jufitri berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Sekolah Politik 2.0 secara maya, dalam membantu memberi pendedahan kepada belia mengenai sistem politik negara dan usaha berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada belia pelbagai kaum.

    “Dengan penyertaan yang memberansangkan ini, ia membuktikan generasi muda amat berminat untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi,” katanya.

    Beliau berkata tanggungjawab memberikan maklumat secukupnya kepada generasi muda sebelum mereka menterjemahkan aspirasi mereka pada kertas undi secara bijaksana, adalah tanggungjawab semua pihak.

    Sementara itu, Jufitri yakin Undi 18 berkenaan mampu dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berasaskan kesungguhan usaha transformasi Parlimen yang diwar-warkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor pula berkata pendidikan sistem politik dan kenegaraan sepatutnya dimasukan dalam sukatan mata pelajaran peringkat sekolah, dan diberikan seawal usia 16 tahun.

    Beliau berkata ia bertujuan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai peranan mereka, tentang pentingnya amalan sistem demokrasi di negara ini dipelihara dan dilaksanakan sebaik-baiknya.

    “Guru-guru harus bersikap natural dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memberi pendidikan ini secara menyeluruh. Ia juga perlu dijadikan sebagai sukatan mata pelajaran bagi mengelakkan guru dan pelajar daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.

    Selain itu Mohd Alif Anas juga mencadangkan kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya pada umur 18 tahun, diselarikan dengan pelaksanaan Undi 18.

    Beliau berkata sekiranya semua pihak seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan perundangan berkerjasama dan berganding bahu mencari titik persefahaman, GPMS yakin Undi 18 ini mampu dijalankan pada PRU 15 nanti.

    Dalam pada itu,  Mohd Alif Anas berkata SPR perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjalankan pilihan raya dalam fasa pandemik.

    “Kita faham kestabilan politik adalah kunci kepada sebuah kerajaan yang cekap. Oleh itu, kita perlu sedar pilihan raya perlu diadakan jika sampai pada waktunya,” katanya.- BERNAMA