Tag: Pil kuda

  • Polis berkas lelaki ambil upah RM150 hantar pil kuda

    Polis berkas lelaki ambil upah RM150 hantar pil kuda

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menaham seorang lelaki yang menerima upah sebanyak RM150 bagi setiap penghantaran pil kuda dicekup polis dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Tok Bok, Tendong, Pasir Mas, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, menerusi serbuan pukul 11.30 malam itu, polis turut merampas 400 biji pil kuda yang dianggarkan berjumlah RM4,000.

    Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh badan suspek yang berusia 23 tahun itu, telah menemui satu beg pinggang dipakai oleh lelaki berkenaan.

    “Pemeriksaan lanjut di dalam beg tersebut telah menemui dua peket plastik warna biru yang diikat dengan satu gelang getah mengandungi pil kuda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil upah menghantar pil kuda dengan kadar bayaran RM150 untuk setiap penghantaran.

    Katanya, suspek turut mengaku mengambil bekalan tersebut dari seorang lelaki dikenali sebagai Puyih.

    “Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

    “Semakan turut mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

    Kes berkenaan katanya, disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Heroin base, pil kuda bernilai RM1.4 juta dirampas

    Heroin base, pil kuda bernilai RM1.4 juta dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah merampas sebanyak 40 ketulan mampat dadah jenis heroin base seberat lebih 15 kilogram, Jumaat lalu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan ke selatan tanah air.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan tersebut dilakukan setelah pihaknya menahan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun di Jalan Kampung Changhai, Changlun kira-kira pukul 11 pagi.

    Katanya, selain 40 ketulan mampat heroin base tersebut, pihaknya turut menemukan sebanyak 114 pil kuda berwarna merah dan hijau seberat 12 gram pada bonet kereta itu.

    “Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM1.4 juta. Susulan penahanan itu, pihak kami terus melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Mukim Temin kira-kira tiga jam kemudian, dan menahan seorang pemandu lori berusia 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sama.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah jenis heroin base itu yang sudah diproses dianggarkan boleh menjadi bekalan untuk kira-kira 900,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

    Tambahnya, pihaknya dalam masa sama turut menyita sebuah kenderaan empat roda jenis Mitusbishi Storm, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang.

    “Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini. Selain itu, kita juga berusaha mengenal pasti laluan digunakan bagi membawa masuk dadah ini,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 September lalu hingga 17 September depan bagi membantu siasatan.

    “Ujian urin dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine namun kedua-duanya didapati tidak memiliki rekod jenayah.

    “Setakat ini kami masih menyiasat sama ada dadah itu dibawa masuk melalui laluan haram atau laluan sah ke negara ini. Siasatan juga tertumpu kepada usaha untuk mengenal pasti rangkaian sindiket tersebut,” katanya.

    Selain dadah tersebut, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya turut menyita sebuah kenderaan empat roda jenis Mitusbishi Storm, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang.

    “Kedua-dua suspek didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau namun ujian urin dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    “Kes kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Remaja 15 tahun  ditahan bersama pil kuda

    Remaja 15 tahun ditahan bersama pil kuda

    Oleh Mohd. Lazim Endut

    POLIS menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun serta merampas 111 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,100 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lati, Lemal, Pasir Mas Kelantan, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir, serbuan dibuat pada pukul 9.30 pagi dan penahanan ketiga-tiga suspek berusia 15 hingga 23 tahun itu adalah berkait dengan laporan sebelum ini.

    Katanya, serbuan ke lokasi tersebut dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

    “Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati pintu hadapan rumah berkenaan berada dalam keadaan terbuka, sebelum anggota kita bertindak masuk ke dalam rumah bagi membuat pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, setelah pemeriksaan dibuat, polis mendapati tiga individu berada di dalam rumah tersebut.

    Berikutan itu katanya, polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam sebuah bilik sambil disaksikan kesemua suspek sehingga membawa kepada penemuan satu kotak rokok.

    Beliau berkata, setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui sebanyak 111 biji pil kuda.

    “Kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

    “Melalui saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Hasil soal siasat yang dilakukan salah seorang suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya.

    “Suspek berusia 23 itu turut mengaku mendapat bekalan daripada abangnya yang dikenali sebagai Iskandar,” ujar beliau.

    Mohd Nasaruddin berkata, usaha mengesan Iskandar sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.