Tag: Phahrolrazi Mohd Zawawi

  • 206 ‘orang kuat’ Amanah Kedah tinggalkan parti

    206 ‘orang kuat’ Amanah Kedah tinggalkan parti

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Amanah Negara (Amanah) Kedah kehilangan seramai 206 ‘orang kuat’ mereka terdiri daripada pimpinan kanan parti di negeri ini dan aktivis yang cukup aktif apabila mereka memutuskan untuk meninggalkan parti itu berkuat-kuasa serta-merta.

    Menurut bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi, keputusan itu dibuat setelah mereka tidak melihat sebarang maklum balas daripada parti berhubung rayuan dibuat 12 Ketua Kawasan Amanah di Kedah yang mahu supaya dirinya kembali diterima sebagai ahli Amanah, dan diangkat semula ke jawatan Pengerusi Amanah Kedah seperti sebelum ini.

    Katanya antara individu penting yang meninggalkan parti itu adalah Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa; Timbalan Speaker, Jamil Che Dan; Ketua Pemuda Negeri, Mohd. Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepimpinan Pemuda Amanah negeri.

    “Begitu juga dengan beberapa Ketua Kawasan termasuk Merbok, Jerlun dan Pendang. Dalam sidang akhbar sebelum ini pun pernah dinyatakan bahawa pemecatan saya dari Amanah akan memberi kesan kerana kami kemasukan kami ke dalam parti ini untuk menubuhkannya satu ketika dulu dibuat secara kabilah atau ‘en bloc’ melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

    “Maka hari ini diumumkan bahawa sejumlah 206 pemimpin Amanah peringkat negeri dan kawasan di Kedah mengambil keputusan berhenti dari menjadi ahli parti. Mereka ini bersama saya sejak awal penubuhan Amanah dan sekarang masing-masing mengambil keputusan tersebut setelah melihat bagaimana seorang ketua dikeluarkan dari parti.

    “Selepas ini dijangkakan ada lagi yang akan meninggalkan parti tetapi mereka tangguh dulu sementara hari pengundian Parlimen Padang Serai pada 7 Disember. Selepas itu kita akan lihat pertambahan ahli yang akan keluar daripada menjadi ahli Amanah di negeri ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di rumahnya dekat sini, hari ini.

    Amanah sebelum ini memecat Phahrolrazi pada 30 Oktober lalu setelah beliau dikatakan melanggar Perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

    Pemecatan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Phahrolrazi membantah keputusan kepimpinan Amanah Pusat memberi laluan kepada DAP bertanding di Jerai.

    Phahrolrazi menambah, ribuan ahli parti itu di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dijang akan turut mengambil langkah sama tidak lama lagi.

    “Kami bagaimanapun akan tetap berada dalam lingkungan Pakatan Harapan (PH) cumanya bersama parti lain. Parti mana yang akan kami sertai, itu akan diumumkan kemudian setelah kami diterima menjadi ahlinya nanti.

    “Kami akan masuk secara ‘en bloc’ dan disebabkan itu, sudah tentulah ada rundingan perlu dibuat tentang bagaimana mahu memposisikan kumpulan ini yang terdiri daripada pimpinan serta aktivis politik. Perkara ini mahu diselesaikan segera bagi memperkukuhkan PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah keputusan PRU cukup mengecewakan sebelum ini,” katanya.

  • Calon DAP di Jerai: Bangkitkan isu Amanah kuda tunggangan, barua DAP

    Calon DAP di Jerai: Bangkitkan isu Amanah kuda tunggangan, barua DAP

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPIMPINAN Parti Amanah Negara (Amanah) Pusat didakwa tidak pernah sama sekali bertanyakan pandangan daripada kepimpinan Amanah Kedah mahu pun Jerai mengenai keputusan untuk memberikan kerusi Parlimen itu kepada DAP bagi ditukarkan dengan Parlimen Alor Gajah di Melaka yang akan ditandingi Amanah.

    Bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, tindakan meletakkan calon DAP di Jerai tidak sepatutnya dilakukan ketika 75 peratus pengundi Melayu di Kedah, masih lagi mempunyai persepsi dan sentimen tidak boleh menerima DAP.

    Menurutnya, tindakan itu bakal memberikan kesan kepada prestasi Amanah dengan parti itu juga sebelum ini sentiasa dituduh sebagai kuda tunggangan dan barua DAP.

    “Bukan kita tak suka DAP tetapi persepsi pengundi terhadap mereka masih ada. Langkah ini bukan saja akan menjejaskan sokongan rakyat di Jerai malah turut memberi kesan kepada kawasan Parlimen ditandingi Amanah yang lain seperti Sik, Pokok Sena dan Baling.

    “Malah isu sama juga akan dimainkan di negeri-negeri lain. Apabila kita beri kerusi Jerai kepada DAP, seolah-olah kita beri bola tanggung kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka akan menyatakan bahawa Amanah dan PH tidak dapat menjaga kepentingan Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Jerai di Kedah, hari ini.

    Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad bersama beberapa Ketua Bahagian Amanah di Kedah.  

    Dalam Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah malam tadi, Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff diumumkan sebagai individu mewakili PH di Jerai, yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

    Tindakan itu tidak disenangi sebahagian pimpinan Amanah Kedah diketuai Phahrolrazi menyebabkannya dipecat daripada parti berkuat kuasa hari ini.

    Tambahnya, isu tersebut amat sensitif kepada pengundi di Kedah namun PH masih berpeluang untuk membuat perubahan dengan memastikan kerusi tersebut dikembalikan kepada Amanah sebelum penamaan calon pada 5 November depan.

    “Jika DAP terus bertanding di sini, maka kami tak dapat memberi kerjasama kepada DAP kerana semua pihak tak merestui mereka bertanding di sini. Malah kami membuat keputusan untuk terlibat dalam proses PRU kali ini,” katanya.

    Menceritakan dari awal mengenai situasi yang berlaku, Phahrolrazi berkata, isu itu mula timbul sejak awal Oktober apabila pihaknya mendapat maklumat mengenai pertukaran kerusi itu.

    “Sebaik mengetahuinya, kami mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Amanah Kedah dan mengambil ketetapan untuk menolak kerusi Parlimen Jerai daripada diberikan kepada DAP. Kami menyatakan dengan tegas akan menarik diri daripada proses PRU-15 jika cadangan itu diteruskan.

    “Keputusan yang agak keras itu kami buat supaya kepimpinan menimbangkan kembali keputusan tersebut. Namun kepimpinan tetap mahu memberikan kerusi itu kepada DAP walaupun kita telah buat mesyuarat beberapa kali, hinggalah kami keluarkan surat tak akan menjalankan apa-apa kegiatan PRU melibatkan parti.  

    “Semalam pun kami tak hadir dalam mesyuarat sebelum mengumumkan calon. Tindakan itu adalah untuk memberi tekanan kepada pimpinan parti namun mereka masih teruskan untuk memberi kerusi tersebut kepada DAP,” katanya.

    Ditanya mengenai ketiadaan kebanyakan pimpinan jawatankuasa negeri bersamanya dalam sidang akhbar tersebut, Phahrolrazi berkata, perkara itu adalah sesuatu yang lumrah dalam politik dan beliau sudah biasa melaluinya.

    “Apabila kami buat mesyuarat menolak keputusan menyerahkan kerusi Jerai kepada DAP, semua setuju 100 peratus. Saya pun dah nyatakan bahawa kereta api kalau nak masuk gaung, yang masuknya kepala dulu manakala gerabak masih lagi di atas.

    “Tetapi dalam politik ini tak semua berani mengambil risiko. Saya sudah melalui perkara ini berkali-kali tetapi hari ini, saya masih ada Ketua Pemuda negeri dan kira-kira tujuh adaripada 15 pimpinan bahagian. Jadi kalau sudah hampir 50 peratus pimpinan kawasan bersama saya, maka kita boleh fahamlah maknanya,” katanya.

    Ditanya mengenai tindakan parti memecatnya berkuat kuasa serta-merta, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dan Ketua Pembangkang Kedah memaklumkan, tindakan tersebut agak menghairankan kerana tindakan dilakukannya itu bukan bertujuan melemahkan PH sebaliknya bagi memastikan PH memiliki peluang lebih cerah di Jerai serta Kedah secara keseluruhan.

    “Saya tidak sedih dengan keputusan parti tersebut kerana sebelum ini pun saya pernah ‘ditendang’ daripada kerajaan dan Pas. Tetapi sebagai antara pengasas parti, saya memiliki satu jumlah yang besar bersama saya ketika bersama Amanah.

    “Mungkin kita boleh sifatkan sebagai kabilah dengan mereka ini bukan saja berada di Kedah malah di Kelantan, Perak dan Selangor. Mereka yang bersama saya dalam Pasma dulu, kini masih wujud dan apabila Amanah pecat saya, maknanya mereka memandang rendah saya.

    “Jangan pandang rendah kerana saya bukan berseorangan dan mungkin Amanah di Kedah akan jadi lebih kecil. Ketika ini banyak sokongan diterima dari seluruh Malaysia malah ada parti lain sudah menghubungi untuk menawarkan tempat tetapi saya tak fikir tentang semua itu lagi,” katanya.

  • Amanah pecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah

    Amanah pecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan pemecatan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi dari menjadi ahli parti berkuat kuasa serta-merta.

    Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, tindakan memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu dibuat menerusi Jawatankuasa Pengurusan Nasional Amanah yang bermesyuarat hari ini.

    Katanya, Phahrolrazi dipecat kerana didapati melanggar Perlembagaan parti,mengingkari keputusan-keputusan parti serta melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

    “Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh akan menjalankan tugas sebagai Pengerusi Amanah Kedah.

    “Pemecatan itu dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b), oleh Jawatankuasa Pengurusan Nasional Amanah yang bermesyuarat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samah menerusi kenyataan berbeza memaklumkan, tindakan Phahrolrazi yang menghasut ahli dan pimpinan Amanah memboikot PRU kali ini amat tidak wajar dan tidak boleh diterima.

    “Kita boleh berbeza pandangan dalam strategi parti dan agihan kerusi namun tindakan menghasut ahli dan pemimpin memboikot PRU amat tidak wajar dan tidak boleh diterima kerana ia seakan tindakan sabotaj dan menjejaskan kepentingan Amanah serta Pakatan Harapan (PH).

    Amanah mengakui dan mengucapkan ribuan terima kasih terhadap jasa beliau selama ini termasuk menjadi pemimpin awal yang sama-sama menubuhkan Amanah di Kedah. Namun tindakan beliau kali ini adalah keterlaluan,” katanya.

    Phahrolrazi merupakan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.