Tag: PH

  • PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

    PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) ditubuhkan secara demokratik dan bukan menerusi ‘pintu belakang’ seperti didakwa.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaliknya menyifatkan PH menjadi kerajaan “mi segera tidak masak” setelah pentadbirannya dipenuhi kecelaruan dan kegopohan.

    Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN, atas faktor itu, gabungan PN dibentuk dengan menjatuhkan PH disertai rakan-rakan daripada BERSATU bersama parti lain iaitu PAS, parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO, membuat perubahan kerajaan secara demokratik.

    “Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru. Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan.

    “Ini bukan pintu belakang, tetapi demokratik melalui (kaedah) mengumpul jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini demokrasi,” katanya di hadapan kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir di Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Maeps, Serdang hari ini.

    Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH dalam keadaan teratur tanpa pertumpahan darah, demonstrasi atau pergaduhan antara rakyat dengan pihak berkuasa.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri demi memastikan perpaduan dan kelangsungan pentadbiran PN sehingga kini.

    Hadi turut memuji kejayaan PN menyelesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan salah laku serta isu bantuan yang tidak sampai ke sasaran dalam tempoh masa singkat, meskipun ia ditubuhkan tanpa memiliki manifesto atau janji.

    “Dalam keadaan gangguan yang banyak daripada luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan sampai hari ini,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, semua parti komponen PN perlu berpadu menjelang PRU-15 untuk memastikan gabungan itu dapat membentuk kerajaan yang kukuh, dan menolak peristiwa lama serta ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’.

    “Sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan integriti kita melalui menteri dalam Kabinet serta kerajaan negeri yang kita perintah dalam masa singkat. Mudah-mudahan rakyat dapat melihat,” katanya.

  • PRU-15: PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

    PRU-15: PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

    PAS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik selain Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama itu penting kerana PAS melihat terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi PH jika tidak wujud persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kerana itu saya melihat bahawa perlunya ada kerjasama menyeluruh (antara PN dan BN) yang kami harapkan tetapi PAS bersedia, kalau sekiranya BN buat keputusan sebagaimana yang telah diumum, kami bersedia untuk berlawan (dengan BN),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Himpunan 5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Melaka di Semabok di sini malam tadi.

    Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dipetik sebagai berkata PH berpotensi menang besar pada PRU15 ini berikutan terdapat 27 kerusi berisiko besar jatuh ke tangan PH jika tiada perpaduan antara BN dan PN.

    Mengulas mengenai penggunaan logo yang akan digunakan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim berkata secara prinsipnya PAS akan menggunakan logo PN dan akan membincangkannya secara spesifik.

    “Tentang logo, ada permintaan yang parti terima daripada negeri pantai timur khususnya yang mereka mencadangkan penggunaan logo parti, tapi ini perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat kepimpinan parti,” katanya.- BERNAMA

  • Cadang PN, PH, pembangkang tubuh gabungan sempena PRN Johor

    Cadang PN, PH, pembangkang tubuh gabungan sempena PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam Pilihanraya Negeri Negeri (PRN) Johor perlu berada di bawah satu gabungan atau blok yang sama bagi memastikan kemenangan.

    Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan blok berkenaan dinamakan sebagai Muafakat Rakyat Johor (MRJ) atau Gabungan Rakyat Johor (GRJ) bagi memastikan tidak bertembung antara satu sama lain.

    Jelas beliau, gabungan itu nanti terdiri daripada Bersatu, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

    “Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor.

    “Mana-mana parti yang menentang Barisan Nasional (BN) mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan bersama-sama menyatakan hasrat mereka bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor supaya bersama-sama di bawah satu khemah besar.

    DUN Johor dibubarkan Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini
    yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

    Mengulas lanjut, Razrul Anwar berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang di bawah satu panji adalah relevan dan dilihat formula terbaik untuk menang PRN tersebut.

    “Kitakan nak tentang rasuah dan pemimpin tiada integriti. Kenapa tak boleh dalam satu ’cause’. Kita buktikan kepada rakyat Johor akan tindakan maufakat kita. Tidak mustahil muafakat ini akan dapat menumbangkan BN sekali lagi,” katanya.

  • Lantaran kritik Saifuddin, PH Sabah mahu ‘tendang’ Warisan?

    Lantaran kritik Saifuddin, PH Sabah mahu ‘tendang’ Warisan?

    PAKATAN Harapan (PH) Sabah mungkin terpaksa menyingkirkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dari gabungan politik tersebut sekiranya parti itu berterusan memecahbelahkan perpaduan dalam blok pembangkang,

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha PH Sabah, Mustapha Sakmud berkata demikian ekoran kenyataan pemimpin Warisan baru-baru ini yang mengkritik memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan.

    Menurut beliau, kenyataan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking mengenai MoU itu dan serangan berikutnya oleh Ketua Penerangan parti, Awang Ahmad Sah Sahari terhadap Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail adalah satu bentuk ‘provokasi’.

    Mustapha menambah, ucapan Leiking seperti yang dilaporkan dalam media dan kenyataan Awang yang mengkritik Saifuddin hanya membuka ruang kepada polemik politik yang akan melemahkan kerjasama parti pembangkang pimpinan PH.

    “Kenyataan ini hanya mahu menjejaskan usaha PH yang menjadi harapan rakyat dalam memastikan kestabilan politik negara.

    “Kami ingin mengingatkan Warisan bahawa kerjasama politik di peringkat negeri dan nasional adalah kunci untuk meneruskan agenda reformasi dan perubahan,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kepimpinan PH telah memberi ruang yang cukup kepada Warisan untuk menterjemah idealisme perjuangan rakyat Sabah di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

    Beliau berkata, selama ini PH berdiam diri bagi memastikan perpaduan dan kerjasama strategik yang dipelopori dapat dikekalkan demi kebaikan rakyat.

    “Sekiranya Warisan meneruskan usaha memecahbelahkan perpaduan, maka PH perlu menilai semula kerjasama ini dengan merancang dan melaksanakan strategi baharu dalam menghadapi PRU15,” katanya.

    Dalam mesyuarat agung tahunan Warisan minggu lalu, Leiking berkata, PH mengalah kepada Putrajaya selepas menandatangani MoU selain mengatakan pembangkang juga membenarkan kerajaan mewujudkan ‘isu perkauman yang antagonis’.

    Ahli Parlimen Penampang itu juga mendakwa ramai Ahli Parlimen PH tidak berpuas hati dengan MoU itu.

    Ini mencetuskan respons daripada Saifuddin yang menyuruh Leiking membaca perjanjian itu terlebih dahulu dan bukannya bermain isu perkauman.

    Awang kemudian membidas dan mendakwa teguran Saifuddin terhadap Leiking sama seperti tidak menghormati pendirian Warisan dalam MoU sambil menambah PH sentiasa menghormati keputusan Warisan dan Ahli Parlimen lain yang tidak mahu terlibat secara langsung dalam MoU itu.

    Timbalan Ketua PKR Sabah itu berkata, kepimpinan PH tidak pernah menekan atau mempersendakan pemimpin Warisan kerana tidak menandatangani MOU itu.

  • MoU kerajaan-PH terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan

    MoU kerajaan-PH terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan

    MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah berkuat kuasa semalam dan terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan.

    Salinan memorandum persefahaman setebal 17 muka surat itu yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini turut menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

    Menurut memorandum itu, kerajaan hendaklah berusaha dengan ikhtiar terbaik melaksanakan setiap satu dan segala transformasi yang dicadangkan dan dalam aturan masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

    MoU berkenaan juga menyatakan bahawa PH bersetuju untuk mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengan Belanjawan 2022 serta proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

    PH juga bersetuju menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan, rang undang-undang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan selepas proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

    Namun, persetujuan PH itu tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan transformasi dalam aturan masa yang dipersetujui.

    MoU tersebut, yang dipersetujui tiada kerahsiaan dan didedahkan kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan dan kebertanggungjawaban, juga turut menjelaskan kegagalan menunaikan dan melaksanakan mana-mana transformasi adalah satu pelanggaran dan boleh menyebabkan perjanjian ditamatkan.

    Memorandum persefahaman itu juga dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.

    Kedua-dua pihak bersetuju MoU berkenaan tidak akan memberi kesan kepada peranan, hak dan tanggungjawab PH untuk semak imbang, mengawasi, meneliti dan memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap Parlimen termasuk memastikan ketelusan, integriti dan keberkesanan kerajaan dalam mengendalikan isu rakyat. 

    MoU itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen,  kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.  

    Di bawah agenda pemerkasaan COVID-19, dipersetujui Majlis Pemulihan Negara perlu terdiri daripada 50 peratus pakar sektor awam dan swasta dilantik oleh kerajaan sebagai penasihat dengan pembangkang boleh mengemukakan nama.

    Turut dipersetujui kedua-dua pihak adalah bantuan tunai kepada rakyat golongan B40, M40 diteruskan pada tahun hadapan, mempercepatkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), mengusahakan pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank bagi tempoh tiga bulan suku keempat tahun ini.

    Bagi agenda transformasi pentadbiran pula, kedua-dua pihak bersetuju rang undang-undang Antilompat Parti dan/atau undang-undang yang berkenaan akan dibentang dan diluluskan di Parlimen, memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  mempercepat pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan membentangkan dan meluluskan rang undang-undang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun. 

    Agenda Pembaharuan Parlimen pula, kedua-dua pihak bersetuju undang-undang Perkhidmatan Parlimen dibentang dan diluluskan setelah perbincangan, libat urus dan persetujuan Yang di-Pertua kedua-dua dewan diadakan.

    Turut dipersetujui adalah memastikan Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada distruktur semula dan menambah lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengikut keperluan serta memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah seimbang.

    Di bawah agenda kebebasan institusi kehakiman, kedua-dua pihak bersetuju memastikan kebebasan badan kehakiman, transformasi institusi dan tatakelola yang baik dilaksanakan sepanjang masa manakala bagi agenda MA63, kerajaan dan PH bersetuju memperkukuh usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam perjanjian MA63 dan dokumen berkaitan.

    Di bawah agenda pembentukan jawatankuasa pemandu, dipersetujui penubuhan dianggotai 10 individu dengan masing-masing lima wakil dari kerajaan dan pembangkang dan jawatankuasa itu hendaklah bermesyuarat sekali setiap dua minggu atau mengikut jadual yang dipersetujui kedua-dua pihak.

    Memorandum itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi pihak kerajaan, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau – ksemuanya bagi pihak PH.

    Turut menadatangani MoU itu sebagai saksi ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Peter Donald Mojuntin.  – BERNAMA

  • PH cenderung setuju memorandum persefahaman dengan kerajaan

    PH cenderung setuju memorandum persefahaman dengan kerajaan


    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik Malaysiakini, PH berkata, memorandum persefahaman itu adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertingginya dengan Ismail pada 25 Ogos lalu

    “Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

    “Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” katanya.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

    PH berkata pertemuan turut diadakan semalam di antara wakil PH dan wakil perdana menteri.

    Wakil Perdana Menteri terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Manakala wakil PH terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

     “Pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19.

    “Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan,” katanya.

    Majlis Presiden PH juga menyatakan pendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dilakukan kepada dana Covid-19 untuk menangani pandemik ini.

    Selain itu, gabungan itu turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum dengan pihak kerajaan.

    Semalam, Ismail mengumumkan mesyuarat kabinet bersetuju untuk melaksanakan tujuh pembaharuan parlimen dan pentadbiran.

    Tujuh pembaharuan tersebut adalah:

    • *Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
    • *Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
    • *Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
    • *Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
    • *Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
    • *Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
    • *Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.