Tag: PH

  • PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

    PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

    NAIB Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH masih lagi berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan belum ada lagi perbincangan berhubung pembentukan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri itu, setakat ini.

    Menurutnya yang juga Pengerusi PH Johor, keputusan sama ada kerajaan Johor akan mewujudkan kerajaan perpaduan di Johor selaras dengan apa yang berlaku di peringkat Persekutuan masih belum dibuat.

    Bagaimanapun Salahuddin berkata, semangat perpaduan dan kerjasama antara PH dan BN negeri itu sudah mula terjalin membabitkan isu masyarakat setempat.

    “Setakat ini, kita masih belum buat apa-apa keputusan lagi di Johor. Namun semua (PH dan BN Johor) kami faham bahawa semangat perpaduan kerajaan Persekutuan itu sangat mendasari hingga ke negeri ini.

    “Setakat ini saya yakin dan percaya hubungan wakil rakyat Persekutuan dan kerajaan negeri. Saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram setakat ini dapat rasakan kerjasama sangat baik dengan agensi negeri.

    “Contohnya isu rakyat membabitkan kemusahan awam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, banjir kilat di Kampung Pasir dan Jalan Kolam Air, pegawai negeri berikan kerjasama begitu baik.

    “Setakat ni hubungan ini kita rasakan sangat baik cuma secara rasminya, kita tak dapat menentukan apakah bentuk kerjasama di masa akan datang. Namun setakat saya meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari terakhir sidang pada November lalu,PH Johor masih duduk lagi di barisan pembangkang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Parlimen Pulai, di sini, malam tadi.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    Manakala PH pula memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), manakala PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

    Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN Johor menang sembilan kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sekali gus gagal mencapai sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 20 kerusi.

    PH pula menang 15 kerusi Parlimen di Johor termasuk Parlimen Muar yang dimenangi Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Perikatan Nasional (PN) juga meraih dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Mersing dan Pagoh.

  • ‘Dalam dewan menjerit, luar dewan saman kiri kanan’, Bersatu kecam PH

    ‘Dalam dewan menjerit, luar dewan saman kiri kanan’, Bersatu kecam PH

    PERIKATAN Nasional (PN) menganggap ahli parlimen kerajaan bertindak keterlaluan terhadap pihak lain sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar parlimen.

    Menganggap tindak-tanduk beberapa ahli parlimen PH sebagai membimbangkan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau memasuki Dewan Rakyat dengan harapan yang tinggi.

    Hal itu kerana katanya yang memenangi kerusi Tasek Gelugor pada PRU baru-baru ini, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi tempat dasar digubal, serta cadangan kerajaan dibahas secara rasional dan matang.

    “Tetapi sikap beberapa ahli parlimen PH menyebabkan saya bimbang apa yang akan berlaku kepada politik Malaysia pada masa depan.

    “Dalam Dewan (Rakyat), mereka menjerit-jerit menghalang perbahasan, di luar Dewan mereka menyaman kiri dan kanan untuk menghalang kritikan,” katanya lapor Malaysiakini, hari ini.

    Kenyataan Wan Saiful itu merujuk kepada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis lalu yang menyaksikan pertengkaran membabitkan blok kerajaan dan pembangkang.

    Antaranya membabitkan kenyataan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya dilibatkan dalam usul percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Tindakan itu mendorong Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dengan marah berkata, Anwar cukup berani menguji keabsahannya di parlimen dan berbeza sama sekali berbanding pemimpin PN, Muhyiddin Yassin, suatu ketika dulu.

    Beberapa perkataan kasar turut keluar dari mulut ahli parlimen terbabit sehingga mendorong speaker, Johari Abdul, terpaksa campur tangan untuk mengawal keadaan.

    Isu saman pula dipercayai merujuk kepada langkah Anwar – secara peribadi – mengemukakan saman ke atas beberapa pemimpin PN, khususnya PAS, ekoran dakwaan yang dibuat mereka.

    Pemimpin pembangkang yang sudah disaman Anwar ialah Muhyiddin sendiri, selain Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

    Kata Wan Saiful dia yakin generasi baru di negara ini secara umumnya mahukan politik yang lebih matang dan sihat.

    Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu berkata tindakan ahli parlimen yang menjerit, memekik dan melolong tidak bertempat itu memang mengejutkannya.

    “Cukuplah. Marilah kita jadikan Dewan Rakyat sebagai dewan yang benar-benar mulia. Kita berbahas secara mulia. Bawa idea secara mulia. Kritik lawan pun biarlah secara mulia,” katanya.

  • PH tak boleh ambil mudah PN, kata penganalisis politik

    PH tak boleh ambil mudah PN, kata penganalisis politik

    PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh mengambil mudah Perikatan Nasional (PN) walaupun memiliki sebahagian besar kerusi di Dewan Rakyat, kata penganalisis politik, Adib Zalkapli.

    Adib dari BowerGroupAsia (BGA) berkata, PH tidak boleh menganggap banyak kerusinya di Dewan Rakyat sebagai selamat kerana mereka menang kurang daripada 50 peratus undi.

    “PH mempunyai lawan baharu di Selangor dan Kuala Lumpur,” kata Adib pada forum mengenai pilihan raya umum.

    “Sungai Buloh dan Gombak pernah menjadi kerusi selamat untuk PH, kerana pakatan itu sebelum ini memenangi kerusi ini dengan lebih 50 peratus undi. Bagaimanapun, pada PRU15 mereka menang dengan kurang daripada 50 peratus,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Adib, yang merupakan pengarah hal ehwal kerajaan dan dasar awam di BGA juga berkata, pemilihan calon akan menjadi sangat penting sekarang.

    “Pemilihan calon juga isu lain. (Calon dengan) bantuan ‘profil nasional’, seperti yang anda lihat di Sungai Buloh, di mana (bekas menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin berjaya mengecilkan margin.

    “Tetapi isu jentera tempatan juga sama penting, seperti yang berlaku di Titiwangsa,” katanya.

    Adib menegaskan Johari Ghani, yang tewas di kerusi Titiwangsa pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), mengambil pendekatan berbeza dalam kempennya kali ini, memilih untuk mengadakan lebih banyak dialog dengan golongan muda selain strategi yang biasa.

    Hasilnya, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,632 undi dalam pertandingan empat penjuru. Pada PRU14, Rina Harun daripada Bersatu memenangi kerusi itu atas tiket PH.

  • PH-BN setuju kerjasama bentuk kerajaan di Perak

    PH-BN setuju kerjasama bentuk kerajaan di Perak

    BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

    Menerusi satu kenyataan bersama, perincian mengenai ketetapan itu akan diumumkan secepat yang mungkin.

    “BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di DUN Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 November lalu.

    “Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak serta maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” kata kenyataan itu hari ini, lapor Berita Harian.

    PRU-15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak, menjadikan ia keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.

    Keputusan di DUN sama turut menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan 26 kerusi, manakala PH memenangi 24 kerusi.

  • PH diri khemah depan pusat undi, ejen BN lapor polis

    PH diri khemah depan pusat undi, ejen BN lapor polis

    SEORANG ejen kepada calon Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis mendakwa Pakatan Harapan (PH) melanggar undang-undang berkempen selepas mendirikan beberapa khemah di luar pusat pengundian di Parlimen Bayan Baru.

    Soh Yeh Hong, selaku ejen calon BN Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung, berkata, PH melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan mendirikan khemah itu pada hari pengundian.

    Ejen calon BN bagi Bayan Baru, Soh Yeh Hong, menunjukkan laporan polis dibuatnya.

    Dalam kenyataan, Soh berkata, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat PH kerana melanggar peraturan di “banyak” pusat pengundian di Parlimen itu.

    Soh turut mengemukakan rakaman video sebagai bukti menurut Free Free Malaysia Today.

    Mengikut undang-undang, semua parti perlu menghentikan kempen, tidak mendirikan khemah atau memakai sebarang baju atau apa-apa yang mempunyai lambang parti, kira-kira 50m dari pusat pengundian.

    Mereka yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

  • Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    POLIS menerima laporan mengenai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa berceramah dalam program yang menawarkan cabutan bertuah kepada orang ramai, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, laporan polis itu dibuat wakil parti politik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kira-kira pukul 10 pagi.

    “Sehubungan itu kita merujuk kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya lapor Berita Harian hari ini.

    Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen berkenaan, Chua Jian Boon, terlalu mewah.

    Katanya, menerusi ceramah mega dan perjumpaan dengan masyarakat India di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kulai, malam tadi membabitkan lebih 100 hadiah disediakan.

    Nie Ching berkata, program yang dihadiri Jian Boon itu bersifat sebagai membeli undi.

    “Pada program itu, lebih 10 artis dijemput dan melakukan persembahan, malah sebanyak 100 hadiah juga telah disediakan untuk acara cabutan bertuah termasuk rantai emas untuk lelaki dan wanita.

    “Selain itu, terdapat juga hadiah seunit rantai tangan emas, seunit anting-anting dan 10 unit emas hidung Mukkutti.

    “Hadiah lain ialah lima unit telefon pintar, 10 unit periuk nasi dan pelbagai lagi perkakasan elektrik serta hamper,” katanya.

    Sementara itu, Jian Boon ketika dihubungi BERNAMA, membidas dakwaan Nie Ching itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya memenuhi jemputan dan majlis itu bukan dianjurkan pihaknya.

    Chua bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh.

    “Saya hadir ke program itu atas jemputan dan hanya singgah sebentar sahaja sebelum pergi lokasi lain malam tadi.

    “Saya juga sudah maklum kepada peguam saya dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasat serta saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya.

  • PH tak hormat perkara-perkara jadi tunjang negara – Muhyiddin

    PH tak hormat perkara-perkara jadi tunjang negara – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghormati perkara-perkara yang menjadi tunjang negara.

    Perkara itu ialah, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.

    Kata Presiden Bersatu itu, pengalaman 22 bulan parti tersebut dalam PH cukup menekan dan menyeksakan.

    Sebagai contoh dari aspek ekonomi katanya, ada beberapa ketika Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng langsung tidak mahu menghormati agensi seperti TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan EKUINAS (Ekuiti Nasional Berhad).

    Menurutnya, beberapa peruntukan untuk agensi yang membantu orang Melayu berniaga diambil balik malah dihentikan dan tidak diwujudkan agensi itu.

    “Hanya kemudian selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional, kami hidupkan semula TERAJU untuk menjamin kelangsungan masyarakat Bumiputra di negara kita.

    “Selain itu, Lim Guang Eng juga buat keputusan supaya peruntukan RM2 bilion EKUINAS diambil semula Kementerian Kewangan.

    “Ini menunjukkan bagaimana PH tidak menghormati agensi bumiputra diwujudkan kerajaan dan langkah-langkah diambil langsung tidak memikirkan nasib Bumiputra dalam pembangunan ekonomi negara kita.

    “Ini dua contoh tindakan yang diambil yang saya dapati bercanggah dengan dasar negara kita khusunya pembangunan usahawan bumiputra,” katanya malam tadi.

    Beliau berkata demikian semasa program jelajah PN BEST di Tambun.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau yang ketika itu Menteri Dalam Negeri turut didesak menghapuskan Akta Hasutan yang bertujuan melindungi institusi dan peruntukan dalam Perlembagaan negara.

    Katanya, Akta Hasutan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu yang mana PH menuntut agar akta tersebut dihapuskan.

    Sehubungan itu katanya, beliau mewujudkan satu jawatankuasa di peringkat kementerian yang meneliti tuntutan berkenaan dan ia kemudiannya memutuskan perkara itu perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum boleh dipinda.

    “Tapi bagi saya, ia desakan yang tidak wajar dan munasabah untuk menghapuskan akta berkenaan kerana akhirnya kedudukan raja akan terdedah dengan perbuatan penghinaan oleh sesiapapun.

    “Walaupun ia tuntutan dari DAP, namun Anwar ada dalam PH dan kalau beliau memperjuangkan dan mendukung Perlembagaan negara kita, seharusnya tindakan (desakan hapuskan akta hasutan) tidak diambil, katanya.

    Muhyiddin berkata, itu antara contoh kerosakan dilakukan PH dalam tempoh 22 bulan dan jika pentadbiran PH diteruskan mungkin akan membawa musibah kepada negara.

    “Sebab tu saya buat keputusan Bersatu dan Majlis Tertinggi Bersatu dan pandangan Tun Mahathir agar parti itu meninggalkan PH.

    “Ya kita tinggalkan dan orang kata kita khianat tetapi saya nak nyatakan bahawa kita tidak sanggup untuk mengkhianati bangsa, agama dan negara.

    “Kalau PH terus berkuasa di Putrajaya, akan berlaku banyak kerosakan dan kemusnahan pada sistem negara yang ada pada hari ini,” tambahnya.

  • Azmin bimbang ekonomi negara terancam jika PH memerintah

    Azmin bimbang ekonomi negara terancam jika PH memerintah

    Oleh BADLISHAH MAT

    EKONOMI negara dibimbangi akan terancam sekiranya Pakatan Harapan (PH) dibenarkan kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor tersebut ditambah jangkaan situasi ekonomi yang lembap pada tahun hadapan.

    Katanya, ekonomi Malaysia akan parah sekiranya mereka tidak meletakkan dasar yang pragmatik, progresif dan meyakinkan pelabur.

    “Saya bimbang ekonomi Malaysia akan  kembali kepada keadaan parah, apa yang PN lakukan hari ini adalah untuk menyiapkan negara berhadapan dengan kemungkinan kesan ketidaktentuan ekonomi tahun depan.

    “Kita harap impaknya tidak terlalu besar kepada negara kerana asas ekonomi kita semakin kukuh, kesan ketidaktentuan ekonomi global pada 2023 akan mengurangkan impak ke atas ekonomi Malaysia,” katanya selepas Majlis Bersama Komuniti Cina di Lunas, Kulim hari ini.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ekonomi negara dilihat semakin meningkat berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini apabila mencapai pertumbuhan 14.2 peratus.

    Kata calon PN Parlimen Gombak itu, kadar tersebut lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua.

    Jelasnya, pendekatan yang tidak sihat oleh PH ketika memerintah selama 22 bulan lalu dengan menekan peniaga menyebabkan ekonomi negara tidak stabil.

    “Oleh itu, PN mengambil pendekatan mesra pelabur serta melancarkan misi perniagaan dengan para pelabur dari luar negara,” katanya.

  • Shafie salahkan PH gagal tuntut semula 40% hasil Sabah

    Shafie salahkan PH gagal tuntut semula 40% hasil Sabah

    KERAJAAN Sabah pimpinan Warisan mampu melakukan lebih banyak dalam menuntut semula 40 peratus hak negeri daripada hasilnya tetapi pemimpin Pakatan Harapan negeri tidak menyokong, dakwa bekas ketua menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

    Menurut Presiden Warisan itu, rakan kongsi PH dalam kerajaan negeri tidak menyokongnya apabila beliau cuba menekan kerajaan persekutuan untuk menunaikan kewajipan mereka.

    Itulah sebabnya beliau percaya saman PH Sabah terhadap Putrajaya, memohon pengisytiharan bahawa formula bahagian hasil 40% negeri itu masih terpakai, hanyalah publisiti untuk menarik perhatian.

    “Tidak perlu ke mahkamah. Semasa PH dalam kerajaan, mereka tidak melakukannya. Sekarang mereka mahu mengheret isu ini, untuk apa, untuk menunjukkan bahawa mereka berani?.

    “Apabila kami menyuarakan tuntutan kami, (bekas ketua PKR Sabah) Christina Liew berkata, oh maaf, ini panggilan parti; KL panggil, jangan. DAP panggil, bukan itu panggilan parti. (Bekas menteri kewangan) Lim Guan Eng berkata, tidak ada wang.

    “Mereka ikut parti mereka, mereka tidak ikut suara Sabah,” katanya. lapor Free Malaysia Today.

    Shafie juga mengkritik Upko kerana menyertai PH, tetap menyalahkan PH kerana Warisan tidak dapat menuntut semula hak Sabah.

    Pada Mac lalu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mendedahkan formula 40 peratus tidak lagi terpakai.

    Bakal Presiden UPKO, Ewon Benedick berkata, wakil rakyat akan meneruskan saman mereka di mahkamah walaupun PH mula berkuasa.

    Pengisytiharan aset sia-sia

    Shafie juga berkata, tiada gunanya pemimpin politik mengisytiharkan harta mereka jika tiada tindakan akan diambil terhadap mereka yang mencurigakan, berjaya memperoleh banyak kekayaan dalam tempoh yang singkat.

    “Bagi calon Warisan, apa yang perlu kita isytiharkan? Apa yang penting ialah kita perlu memenangi pilihan raya. Tidak ada gunanya hanya mengisytiharkan aset kita untuk dilihat oleh orang lain.

    “Ada yang mengisytiharkan harta mereka tetapi sebenarnya aset mereka lebih daripada itu. Adakah tindakan diambil?”

    Shafie menegaskan bahawa beliau tidak kisah mengisytiharkan hartanya dan itu telah berbuat demikian semasa beliau menjadi ketua menteri dan Ahli Parlimen.

    PKR telah mewajibkan calonnya mengisytiharkan harta manakala aktivis anti rasuah juga menggesa calon lain untuk mengikutinya.

    Bagaimanapun, rakan kongsi utama PKR dalam PH, DAP, berkata mereka tidak perancangan untuk membuat calon mereka mengisytiharkan harta.

    Sementara itu, Shafie berkata Warisan akan melancarkan manifesto apabila tiba masanya. Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada gunanya mempunyai ikrar pilihan raya yang tidak ditunaikan.

  • PH sempitkan matlamat PRU untuk Anwar sebagai PM

    PH sempitkan matlamat PRU untuk Anwar sebagai PM

    SETELAH sekian lama, akhirnya muncul juga agenda sebenar di poster calon Pakatan Harapan (PH), menyertai pilihan raya semata-mata untuk kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Agenda sempit berkepentingan individu, bukan untuk rakyat.

    Jika agenda reformasi dahulu dilihat serampang dua mata, tidak ‘lurus ke depan’ tetapi hari ini nampaknya semakin keluar cerita sebenar. Hanya bermatlamatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Soalnya betulkah hanya Anwar Ibrahim sahaja layak sebagai Perdana Menteri?

    Atas indikator apa keyakinan ini diterjemahkan sehingga diletakkan sebagai tawaran utama dalam poster calon?

    Namun jika dilihat lebih teliti, tidak semua poster calon PH memasukkan tawaran ini. Apa lagi DAP langsung tidak bersuara walaupun menjadi majoriti dalam meletakkan calon dalam komponen PH.

    Saya percaya PN, BN dan Pejuang juga mempunyai perancangan menamakan Perdana Menteri mengetuai kerajaan yang bakal dibentuk tetapi tidaklah sampai menjadi gula-gula pilihan raya yang utama. Langsung tidak mendahulukan kebajikan rakyat.

    Jika sesempit itu perjuangan PH, sayugia saya tidak rasa kebersamaan mereka dalam cerita prihatin rakyat melibatkan ekonomi dan kestabilan negara akan menjadi perkara utama.

    Salam hormat.

    Mohamad Kamal Mohamed
    Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan