Tag: PGA

  • PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

    PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

    Oleh:Bernama

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai haiwan eksotik bernilai RM67,600 di pangkalan haram Bilah Dollah dekat Rantau Panjang di sini, semalam.

    Difahamkan, kesemua haiwan yang diseludup masuk itu adalah untuk pasaran tempatan ekoran mempunyai permintaan tinggi khususnya dalam kalangan peminat dan pemelihara haiwan eksotik.

    Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan selepas sepasukan pegawai dan anggota pasukan itu terserempak dengan sekumpulan lelaki di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram berkenaan.

    Beliau berkata ketika itu kumpulan lelaki terbabit dilihat sedang memunggah kotak-kotak berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan dari dalam perahu ke tebing sungai kira-kira 7 malam.

    “Menyedari kehadiran PGA, kumpulan lelaki itu melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dan meninggalkan kotak-kotak di tebing sungai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Azizan berkata pemeriksaan di sekitar tebing sungai itu menemukan beberapa kotak pelbagai saiz berisi 206 katak, 50 labi-labi, 24 anak ular, tiga burung kakak tua dan seekor iguana.

    Beliau berkata kesemua haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran.- BERNAMA

  • PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN Kegiatan satu sindiket yang menjadikan sebuah premis sebagai stor sebagai tempat menyimpan rokok seludup di Jalan Murni 6, Paloh, Kluang terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam malam tadi.

    Serbuan kira-kira pada jam 9.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA selepas risikan dan siasatan dilakukan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 5,580 karton rokok seludup pelbagai jenama dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun.

    “Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 1,900 karton Halftime Virgina Merah; 1,600 karton Lee merah; 720 karton Luffman classic; 250 karton L.A Bold; 720 karton Touro International; 150 karton Canyon Blast dan 240 karton Surya Gudang Garam.

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau memberitahu, anggaran semua rokok seludup bernilai RM717,132 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM987,456.

    Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
    Kluang untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    Tangkapan dan rampasan itu katanya, berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah ini.

    Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi di premis berkenaan selama kira-kira tiga bulan.

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan.