Tag: PGA rampas rokok seludup

  • Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

    Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK sindiket penyeludupan rokok haram menjadikan kawasan kebun durian di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak, Muar terbongkar apabila diserbu polis pada Isnin lalu.

    Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras bersama-sama PGA Muar melakukan serbuan pada pukul 3.30 petang dan merampas 13,600 karton rokok yang disembunyikan dalam sebuah lori 3 tan jenis Hino dan dua van Nissan.

    Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Superitendan Salehin Suleiman berkata, pemeriksaan menemukan beberapa kotak coklat mengandungi 13,600 karton.

    “Dalam 13,600 karton itu pula mengandungi 2,720,000 batang rokok jenis U2 merah. Kita merampas rokok tersebut, tiga kenderaan dan sebuah telefon bimbit.

    “Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM3.4 juta.

    Katanya, serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok seludup yang tidak bercukai sekitar Tangkak dan Muar.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah pemandu van yang mengambil upah untuk menghantar rokok seludup ke lokasi yang ditetapkan mengikut tempahan.

    “Modius operandi Sendikit penyeludupan rokok seludup ini dengan menggunakan sebuah premis lot di kawasan kebun durian sebagai tempat simpanan dan pengedaran rokok seludup bertujuan untuk mengaburi mata pihak polis dan agensi penguatkuasaan.

    “Ini bagi memastikan sendiket penyeludupan rokok seludup ini berjalan lancar,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan suspek ditahan reman sehingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan.

  • Suspek aktif edar rokok seludup di kedai runcit ditahan

    Suspek aktif edar rokok seludup di kedai runcit ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,031 karton rokok pelbagai jenama di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, rampasan dibuat susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan pada pukul 6.30 petang.

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Persona, 1,031 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM203,574.60. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dimin berkata, suspek menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Johor Bahru.

    Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai disekitar daerah Johor Bahru. Orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.