Tag: petroleum

  • Terengganu harap Kerajaan Persekutuan teruskan bayaran DKKP

    Terengganu harap Kerajaan Persekutuan teruskan bayaran DKKP

    KERAJAAN Terengganu berharap Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang diterima negeri itu sebelum ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar.

    Beliau berkata pihaknya akan berbincang perkara itu dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan mendapatkan penjelasan sama ada agihan DKKP kepada negeri itu sebelum ini merupakan wang royalti petroleum atau sebaliknya.

    “Soal adakah DKKP sama dengan wang royalti, kita akan rujuk semula dengan MOF. Terma wang royalti disebut Menteri Kewangan dan Menteri Undang-Undang pada 2021, namun bayaran yang diterima tidak pernah menyebut istilah royalti sebaliknya hanya DKKP,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu 2023 di Sungai Tarom di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam, yang memaklumkan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.

    Menurut Azalina ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dan Petronas juga tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar kawasan itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanyakan sama ada kerajaan Persekutuan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Dalam perkembangaan lain, Ahmad Samsuri mengumumkan pengecualian bayaran lesen khas nelayan sampan kepada kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu pada tahun ini.

    “Ia sebagai penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada warga nelayan yang mengharungi lautan demi membekalkan makanan kepada rakyat negeri ini,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan salur RM400 juta hasil petroleum kepada Kelantan

    Kerajaan salur RM400 juta hasil petroleum kepada Kelantan

    KERAJAAN Persekutuan telah menyalurkan RM400 juta wang hasil petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan sejak dua tahun lalu.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri, berdasarkan lima peratus hasil petroleum negeri terbabit.

    “Bagi tahun lalu kita salurkan RM200 juta dan tahun 2020 juga RM200 juta.

    “Pembayaran ini dibuat secara langsung dan 100 peratus disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata jumlah pembayaran yang disalurkan ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.

    Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.39 bilion pada tahun ini, meliputi 351 projek untuk pembangunan negeri Kelantan berbanding RM1.8 bilion dengan 340 projek tahun lalu.

    Antara projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan Palekbang membabitkan kos RM250 juta, projek mesra rakyat (RM102 juta) dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berjumlah RM483 juta.

    “Peruntukan meningkat tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan jumlah projek juga meningkat, yang mana projek pembangunan ini merangkumi projek lama dan baharu,” katanya. – BERNAMA